Categories
SELANGOR

PRK DUN Kajang: AMK wujud pemantau khas media sosial dekati anak muda

SHAH ALAM, 3 FEB: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menubuhkan pasukan pemantau khas laman media sosial menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kajang bagi menjelaskan kepada golongan muda akan keperluan PRK itu diadakan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata AMK mensasarkan untuk mendekati golongan anak muda di Kajang bagi memastikan kemenangan PKR dalam PRK itu nanti.

Katanya, AMK menerima reaksi positif daripada golongan anak muda selepas pasukan pemantau itu ditubuhkan.

shamsul“Kita sudah wujudkan pasukan pemantau untuk berikan penjelasan berkenaan isu berbangkit dan cuba mendekati golongan ini,” kata Shamsul dipetik daripada FMT News.

Shamsul berkata, PKR akan memulakan gerak kerja mereka di Kajang sebelum penamaan sesi calon.

Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan seperjuangan dalam Pemuda PAS dan DAP yang mengeluarkan kenyataan akan membantu PKR di Kajang.

“Ini menunjukkan bahawa tiga parti tidak ada masalah untuk bekerjasama bagi menjayakan misi,” katanya.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR melepaskan jawatannya, pada Januari 27 lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), PKR memenangi kerusi terbabit dengan majoriti 6,824 dalam pertembungan enam penjuru.

Keputusan PRK Kajang itu tidak akan memberikan sebarang kesan dalam DUN Selangor lantaran Pakatan Rakyat berjaya memenangi 44 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.