Categories
SELANGOR

Khalid Samad sedia sertai debat kalimah Allah anjuran SAMM

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 FEB: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bersedia menjadi panel dalam program debat yang membincangkan isu penggunaan kalimah Allah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang dijangka berlangsung, pada 10 Febuari ini.

Khalid berkata, debat yang mempertemukan beliau dengan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar itu wajar diadakan tanpa kehadiran penyokong dua belah pihak bagi mengelakkan berlaku ketegangan atau kejadian tidak diingini.

“Saya rasa lebih baik jangan diadakan di dewan, sebab kita tidak mahu kalau ada pihak yang sengaja mengganggu program debat itu daripada berjalan lancar. Tambah lagi, dua belah pihak ada penyokong dan penyokong tegar.

khalid samad“Sebaiknya kita adakan di studio TV Selangor dengan masing-masing membawa dua atau tiga orang sahaja serta moderator sama yang dipilih Datuk Seri Noh Omar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, beliau berharap isu itu dapat dibahaskan secara ilmiah dan perundangan seperti yang diketahui Noh adalah pengamal perundangan di negara ini.

“Dia kata ingin sekolahkan saya, jadi saya bersedia. Tidak payah ramai tetapi dia boleh bagi kuliah atau ‘private tutorial’ di studio yang rakyat boleh ikuti secara langsung seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, SAMM dalam satu kenyataan medianya menyatakan kesediaan mempertemukan Khalid dan Noh dalam satu debat anjuran NGO itu bagi membincangkan isu kalimah Allah, pada 10 Febuari ini.

Program debat yang masih belum ditentukan tempatnya itu diadakan daripada susulan pembatalan program Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Perundangan’ yang dibatalkan pada saat akhir.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.