Categories
NASIONAL

Rafizi dedah emel lobi projek Zaid masih terbawa-bawa perangai Umno

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 26 FEB: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bekas Menteri Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim pernah mencuba mempengaruhi keputusan Kerajaan Selangor berhubung beberapa projek diusahakan rakan atau pihak bersabit Zaid sendiri.

Bagaimanapun Rafizi ketika itu bertugas sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata, cubaan untuk melobi itu tidak dilayan selepas Rafizi mengadakan perbincangan dengan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

rafizi-TI-01“Pada 25 Jun 2010, dalam satu emel, Datuk Zaid secara terang-terangan memohon pejabat saya campur tangan dengan melobi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk meluluskan cadangan yang dibuat rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau itu.

“Saya memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar dan kami bersetuju bahawa adalah tidak menepati prosedur pejabat kami untuk membenarkan pimpinan parti melobi atau mempengaruhi keputusan kerajaan negeri, terutamanya bila melibatkan harta awam,” dakwa Rafizi dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Kata Rafizi, beliau membalas emel terbabit pada 13 Julai 2010 bagi memaklumkan kepada Zaid mengenai prosedur yang diguna pakai pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Kerajaan Negeri dalam menangani permohonan pembangunan bersama harta Kerajaan Selangor.

Kata Rafizi lagi, budaya menggunakan kedudukan politik dalam parti bagi mempengaruhi keputusan kerajaan merupakan budaya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang jelas bertentangan dengan hasrat Pakatan Rakyat (PR.

“Keputusan melibatkan harta dan tender diserahkan kepada jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan mengikut prosedur yang termaktub,” kata Rafizi lagi.

Justeru itu Rafizi menasihatkan Zaid agar menjelaskan kenapa beliau sendiri masih terbawa-bawa dengan budaya korup Umno dan BN tetapi pada masa sama cuba bercakap soal ketelusan, integriti dan mempersoalkan budaya politik yang dibawa PKR.

Sementara itu memetik twitter Zaid berkenaan isu itu beliau menganggap ia adalah cerita rekaan dan akan menjelaskan isu berkenaan dalam sidang media yang diadakan kelak.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.