Categories
SELANGOR

Selangor beri anugerah khas pangsapuri terbaik

SHAH ALAM 22 FEB : Kerajaan Selangor akan memberi penganugerahan khas kepada pangsapuri yang berjaya mengurus dan menyelenggara bangunan dengan baik.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata anugerah itu diwujudkan bagi menggalakkan persaingan sihat di kalangan pengurusan bangunan agar mengamalkan pengurusan, penyenggaraan dan perkhidmatan terbaik.

pangsapuriKatanya, program tersebut adalah sebahagian dari Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni (Ceria) yang dilancarkan pada tahun 2009.

“Anugerah terbahagi kepada dua kategori iaitu Anugerah K-STAR dan Anugerah Ceria.

“Kesemua anugerah ini dinilai di bawah Program Komuniti Bestari (K-STAR) Pangsapuri Negeri Selangor sejak November tahun lepas dan anugerah akan disampaikan pada Himpunan Perdana JMB Negeri Selangor 2 Mac depan di Bangi,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara panel penilai terdiri dari Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan, Bangunan Dan Setinggan, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pesuruhjaya Bangunan di Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Anugerah K-STAR khusus untuk pangsapuri-pangsapuri yang telah dijual pada harga RM72,000 ke bawah.

Manakala, Anugerah CERIA untuk pangsapuri yang telah lebih setahun dibaik pulih di bawah Program Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA).

“Sekurang-kurangnya 11 kawasan pangsapuri telah disenarai pendek untuk dipertimbangkan bagi menerima Anugerah K-STAR.

“Sementara untuk Anugerah CERIA sebanyak 43 kawasan pangsapuri akan dipertimbangkan untuk diberikan anugerah,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.