Categories
NASIONAL

Teresa Kok: “Cukup-cukuplah…”

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 20 FEB : Selepas lebih dua minggu diserang, Teresa Kok menggesa agar segala putar-belit berhubung penerbitan sebuah klip videonya sempena Tahun Baru Cina dihentikan.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, serangan dan ugutan yang diterimanya membuktikan bahawa terdapat pihak yang berniat jahat memburukkan kredibiliti pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

YB Teresa Kok Purple Mic 01Katanya, pihak yang bertanggungjawab berkenaan jelas memutar-belitkan apa-apa kenyataan wakil rakyat dan pemimpin PR untuk dijadikan isu perkauman.

“Lihat sahaja klip video saya yang tidak mengandungi unsur perkauman boleh diputar-belitkan sehingga saya menghadapi ugutan sebegini.

“Saya percaya pemimpin PR yang lain juga akan menghadapi masalah yang sama seperti saya dalam bulan-bulan atau tahun-tahun yang akan datang,” katanya dalam status Facebooknya semalam.

cat teresa kokKenyataan itu dikeluarkan ekoran penemuan bangkai ayam di pejabatnya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur selain tangganya turut disimbah cat berwarna merah.

Terdahulu, dalam satu sidang media, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP berkata beliau kini semakin bimbang dengan keselamatan dirinya ekoran beberapa siri kejadian terhadapnya.

“Tetapi, walau apa pun dugaan, saya masih perlu meneruskan kerja saya dan menghadiri majlis untuk bertemu rakyat.

“Saya tidak mempunyai pengawal peribadi. Tetapi apabila saya menghadiri majlis, akan ada lebih ramai orang bersama saya,” katanya.

Sehubungan itu, Teresa berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh dan dapat menahan suspek yang bertanggungjawab.

Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur melumurkan darah ayam ke gambar beliau selain menawarkan ganjaran wang untuk menamparnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.