Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teresa: Pameran kempen Sayangi Sawitku diperluas

KOTA KINABALU, 24 FEB: Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim berkata pameran kempen Sayangi Sawitku akan diperluas di semua lapangan terbang yang menjadi laluan utama pelancong di seluruh negara.

Beliau berkata kempen berkenaan bertujuan untuk mempamerkan contoh-contoh produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit untuk pengetahuan semua di samping mengetengahkan usaha-usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan industri sawit negara termasuk dalam pemuliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Ruang pameran ini juga akan membantu meningkatkan pengetahuan para pelancong sebagai pengguna minyak sawit negara serta menyokong aktiviti pelancongan, termasuk dalam sektor ekopelancongan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran Kempen Sayangi Sawitku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini malam tadi.

Beliau berkata walaupun industri sawit banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara, namun industri ini terus dikaitkan dengan penebangan hutan dan kemusnahan biodiversiti alam sekitar.

“Kempen antiminyak sawit yang didasari fakta-fakta yang tidak betul berhubung dengan industri sawit serta perlindungan perdagangan di Kesatuan Eropah (EU) telah mengundang dan menyebabkan Parlimen Eropah untuk mencadangkan pemberhentian penggunaan biofuel yang berasaskan sawit dalam sektor pengangkutan EU menjelang 2030.

“Seperti sedia maklum, minyak sawit adalah saingan utama kepada minyak sayuran lain di pasaran antarabangsa termasuk minyak sayuran keluaran EU. Dalam hal ini, minyak sawit sentiasa menjadi sasaran kerana ia lebih baik dari segi produktiviti dan lebih serba boleh untuk digunakan dalam makanan dan bukan makanan berbanding minyak sayuran yang lain,” tambahnya.

Kok berkata faedah kesihatan dan kebaikan minyak kelapa sawit telah terbukti secara saintifik oleh pelbagai klinikal kajian yang dilakukan oleh saintis dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan juga institusi penyelidikan terkenal di seluruh dunia.

“Kesemua penyelidikan saintifik mendapati bahawa minyak sawit mempunyai manfaat kesihatan yang lebih tinggi selain dapat meningkatkan kesihatan umum pengguna. Minyak Sawit didapati kaya dengan vitamin A dan E, beta karoten, bebas asid lemak trans, bebas kolesterol, dan kandungan asid oleik yang tinggi, yang merupakan sumber nutrien yang baik dan selamat untuk pengguna,” katanya.

“Oleh itu kita mesti mempromosikan manfaat positif minyak sawit negara sebagai minyak sawit mapan lima bintang untuk dunia,” katanya,

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: 3.75 juta lagi sarung tangan dihantar ke China

PUTRAJAYA, 7 FEB: Dewan Perniagaan Laluan Sutera Malaysia-China menyumbang 3.75 juta sarung tangan klinikal dan 20,000 sut pelindung untuk kegunaan perubatan bagi menunjukkan solidariti kepada China yang sedang berhadapan dengan penularan wabak koronavirus 2019.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata barangan itu akan dihantar ke wilayah terjejas di Hunan, Hainan, Shandong, Guandong dan Hubei.

“Kami sangat prihatin dan bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat wabak koronavirus di China dan saya percaya lebih ramai rakyat Malaysia akan tampil membantu,” katanya selepas menyaksikan simbolik penyerahan barangan itu kepada republik berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, jurucakap Kedutaan China Tang Tang dan Presiden Dewan Perniagaan Laluan Sutera Malaysia-China Tan Sri Ong Tee Keat.

Baru-baru ini, Kok berkata Malaysia akan menyumbang 18 juta sarung tangan klinikal kepada China dalam inisiatif bersama melalui Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia dan pengeluar sarung tangan getah di negara ini.

Kumpulan pertama satu juta sarung tangan itu dihantar pada 3 Februari lepas ke Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, menerusi penerbangan AirAsia yang ditugaskan oleh kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari bandar raya itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia hantar 18 juta sarung tangan ke Wuhan

PUTRAJAYA, 31 JAN: Sebanyak 18 juta sarung tangan perubatan akan disumbangkan oleh 10 syarikat sarung tangan Malaysia untuk pekerja penjagaan kesihatan di Wuhan, China yang kini berhadapan dengan wabak koronavirus 2019.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata sarung tangan perubatan getah asli dan getah nitril akan dihantar ke China secara berperingkat dengan penghantaran pertama dalam perjalanan ke Wuhan.

“Dua syarikat, Top Glove dan Supermax telah menyumbangkan 2.3 juta sarung tangan melalui pejabat dan pengedar tempatan mereka ke Wuhan.

“Syarikat-syarikat sarung tangan lain yang menyokong usaha kemanusiaan itu adalah Hartalega, MREPC, Smart Glove, Kossan, YTY, Brightway, Koon Seng dan Careplus,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan penyerahan sarung tangan perubatan oleh wakil syarikat terlibat kepada Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Malaysia ketika ini adalah peneraju dunia dalam pengeluaran sarung tangan perubatan dengan kira-kira 180 bilion keping dieksport ke seluruh dunia.

Pada tahun 2018, eksport sarung tangan Malaysia menyumbang RM17.7 bilion kepada negara manakala pada tahun 2019, eksport mencecah RM18 bilion.

Pada tahun 2014, Malaysia menghantar lebih 20 juta sarung tangan getah perubatan ke lima negara Afrika (Liberia, Sierra Leone, Guinea, Nigeria dan Congo) yang berhadapan dengan penularan virus Ebola.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gaji minimum naik RM100 munasabah – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Kenaikan RM100 terhadap gaji minimum kepada RM1,200 berkuat kuasa 1 Januari depan di 57 bandar raya dan bandar adalah munasabah pada ketika ini dan tidak akan menjejaskan keuntungan majikan secara ketara.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata kementerian itu menyokong kenaikan itu berikutan ia selari dengan peningkatan kos sara hidup yang lebih tinggi di bandar raya dan bandar pada kadar inflasi semasa.

“Sudah pasti adalah satu realiti yang diakui bahawa seseorang tidak boleh menggaji pekerja sepenuh masa dengan gaji di bawah RM1,200 di bandar raya dan bandar di Malaysia pada masa ini. Langkah meningkatkan kadar gaji minimum adalah usaha yang diambil kira bagi mengurangkan kemiskinan bandar dalam kalangan pekerja tempatan dan asing.

“Ia juga bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan untuk menetap dan bekerja di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, Kok berkata, menerusi prinsip kesaksamaan, peningkatan RM100 untuk gaji pekerja asing adalah selaras dengan standard antarabangsa, terutamanya untuk mengelak diskriminasi mengenai gaji dan layanan terhadap pekerja tempatan dan asing.

Di bawah Teras Ketiga Manifesto Pakatan Harapan: Merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, parti itu mengetengahkan janji untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, Kok berkata kenaikan RM100 bagi pekerja di bandar adalah antara pendekatan awal yang diambil kerajaan ke arah matlamat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkah kerajaan banteras rasuah mula berhasil – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kerajaan akan terus bekerja keras dengan mandat yang diberikan rakyat untuk mengubah negara ini menjadi sebuah negara berintegriti, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dalam kenyataan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa semalam, beliau menggariskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membasmi gejala rasuah di dalam negara.

Antara lain, beliau menyentuh langkah kerajaan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), pengisytiharaan aset oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN), dasar tiada penerimaan hadiah oleh kerajaan serta beberapa kes rasuah berprofil tinggi.

Kok berkata amalan rasuah hanya boleh dikurangkan secara berperingkat di mana kepimpinan teras sesebuah negara itu bersih dan bebas rasuah.

Mengulas langkah antirasuah, katanya, beberapa agensi kerajaan penting tidak lagi berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kini agensi berkenaan melaporkan kepada Parlimen.

Ini termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Jabatan Audit Negara.

Kok berkata pelbagai langkah diambil kerajaan dan usaha SPRM membasmi rasuah sudah mula membuahkan hasil.

Beliau berkata Malaysia mula membersihkan nama daripada skandal rasuah di mata dunia dengan beberapa kes rasuah terhadap beberapa bekas pemimpin kanan negara.

“ Biar kita jangan lupa dengan berbilion ringgit yang hilang dalam projek utama dan skim pelaburan semasa negara diterajui oleh kerajaan terdahulu,” katanya merujuk kepada kerugian yang dialami oleh Felda dan Tabung Haji.

Memetik kes rasuah di bawah kementeriannya, Kok berkata Lembaga Getah Malaysia (MRB) dilanda masalah rasuah yang besar membabitkan pegawai kerajaan dan kroni sebuah parti politik.

Menurut Laporan Audit Negara, Kok berkata, kerajaan terdahulu telah memperdaya dan memaksa MRB menjual 2,800 ekar tanahnya di Sungai Buloh pada harga di bawah pasaran sebanyak RM1.5 bilion pada 2010.

Kok berkata usaha mencegah rasuah oleh kerajaan tidak terlepas pandangan.

Menurut Kajian Persepsi Rasuah SPRM Siri 13/2018 mengenai persepsi rakyat mengenai kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah telah meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepadda 70.8 peratus tahun lalu, katanya.

Beliau berkata indeks seperti Edelsmann Trust Barometer Global menunjukkan tahap keyakinan orang ramai terhadap kerajaan telah meningkat kepada 60 peratus tahun ini berbanding 46 peratus pada 2018.

Beliau berkata, tahun lalu, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International menunjukkan Malaysia kini berada pada kedudukan 61 daripada 180 buah negara

Menurutnya, dengan pelancaran Pelan Antirasuah Nasional tahun ini serta pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi, Malaysia kemungkinan akan memperbaiki ranking dalam CPI.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan beri pinjaman mudah kepada industri perladangan buluh

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah untuk menggalakkan industri perladangan buluh tempatan menanam buluh dalam usaha mengurangkan kebergantungan eksport terhadap komoditi utama seperti sawit dan getah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, pinjaman mudah itu akan berjumlah RM10,000 setiap hektar dengan bayaran balik apabila pinjaman itu matang dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan ada menyediakan khidmat pinjaman mudah di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan tetapi ia hanya untuk tanaman getah.

“Penanaman buluh amat mudah berbanding komoditi lain yang memerlukan pembajaan dan penjagaan rapi. Ia boleh tumbuh di banyak kawasan dan akan matang dalam tempoh tiga tahun.

“(Dengan pinjaman mudah ini), kami mahu menggalakkan lebih ramai menanam buluh untuk industri hiliran. Saya berharap lebih banyak sektor swasta terlibat dan bekerjasama dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran produk buluh di bangunan utama Parlimen di sini hari ini.

Kok berkata, sudah tiba masanya Malaysia meneroka sumber pendapatan komoditi tambahan selain membantu menjana hasil tambahan untuk pekebun kecil di negara ini.

Katanya selain memenuhi keperluan domestik, negara juga boleh merebut peluang perdagangan buluh di peringkat antarabangsa yang semakin meningkat terutamanya di pasaran Jepun.

Beliau berkata, negara matahari terbit itu sedang mencari sumber bahan bakar lain untuk menggantikan sumber tenaga daripada loji nuklearnya.

Katanya sumbangan daripada industri buluh juga masih kurang yang mencatatkan nilai eksport produk buluh pada 2018 sebanyak RM9.9 juta berbanding saiz pasaran buluh global yang dianggarkan sebanyak US$68.8 bilion setahun.

Kok berkata, MPI dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan kerajaan negeri Perak, sedang membangunkan industri buluh secara kluster dengan menubuhkan tapak semaian buluh di Ulu Kinta seluas 1.7 hektar.

Beliau menjangka sebanyak 100,000 anak benih buluh dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan daripada tapak semaian tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM100 juta bantu pekebun sawit peroleh MSPO

JERANTUT, 4 OGOS: Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta membantu pekebun kecil kelapa sawit mencapai tahap Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bagi meningkatkan nilai komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok memohon supaya pekebun kecil merebut peluang untuk mendapatkan pensijilan itu secara percuma, yang kini dilanjutkan tarikh permohonan sehingga 31 Disember.

“Apa yang penting, mereka berdaftar sebelum tarikh akhir kerana tempoh memproses permohonan boleh mencapai sehingga empat bulan. Mereka yang sudah mendaftar (proses belum selesai sehingga akhir tahun) masih mendapat manfaat ini.

“Setakat ini, jumlah mereka yang mendapat pensijilan MSPO masih rendah menyebabkan kita menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kebaikan pensijilan ini seperti yang dilakukan di Pahang sebelum saya ke Sabah,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog bersama Penanam Sawit Pahang di dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.

Setakat 30 Jun lepas, hanya 42 peratus atau 2.45 juta hektar daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO meliputi 2.1 juta hektar ladang dan 386,000 hektar milik pekebun kecil dengan paling tinggi di Kedah, Sarawak dan Sabah, katanya.

Bagi tempoh sama, 244 kilang buah sawit di negara ini dan 124 daripada 162 kelompok penanam sawit mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat sijil itu dengan penyertaan 12,000 pekebun kecil melibatkan keluasan kebun 44,000 hektar.

“Di Pahang, hanya 36 peratus kawasan yang ditanam kelapa sawit mendapat pensijilan MSPO, iaitu masih rendah dan saya akan berjumpa Menteri Besar tidak lama lagi bagi mendapatkan sokongan untuk membantu kami meningkatkan jumlah ini.

“Mungkin kita tidak sempat mencapai sasaran 100 peratus memperoleh MSPO pada akhir tahun ini, namun kita berharap boleh mencapai jumlah peratusan tinggi supaya pihak antarabangsa melihat usaha kerajaan dan penanam sawit dalam isu ini,” katanya.

Teresa berkata, pensijilan MSPO membolehkan kelapa sawit Malaysia dieksport ke lebih banyak negara di Eropah dan Jepun, selain pasaran sedia ada iaitu India dan China, sekaligus menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka yang terlibat dalam industri itu.

“Pensijilan MSPO memastikan penanaman kelapa sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian yang baik yang diterimapakai di peringkat antarabangsa.

“Pengeluaran minyak sawit secara mampan penting bagi perdagangan global minyak sawit kerana negara maju memberi keutamaan pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Komuniti setempat diminta sokong kempen ‘Sayangi Sawitku’

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan berharap dapat memperluaskan kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada seluruh masyarakat du negara ini dalam usaha meraih sokongan terhadap hasil serta produk komoditi berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, persatuan di peringkat komuniti perlu memainkan peranan masing-masing bagi menggalakkan lebih banyak sokongan awam terhadap kempen serta produk minyak sawit negara.

“Salah satu persatuan itu terdapat di Seputeh iaitu Persatuan Penduduk Taman Desa yang aktif mempromosikan kesedaran berhubung khasiat dan kebaikan minyak sawit serta produknya.

“Ini juga adalah satu usaha pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media prapelancaran acara ‘Merdeka Fun Run 2019’ bagi kempen Sayangi Sawitku, di sini, hari ini.

Teresa berkata, beliau juga sudah menulis kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada bulan lalu supaya maklumat berhubung khasiat dan manfaat nutrisi minyak sawit dimasukkan ke dalam silibus pendidikan sekolah.

Acara sehari ‘Merdeka Fun Run’ yang akan diadakan 24 Ogos ini akan turut mengetengahkan pameran minyak sawit oleh pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri sarung tangan digesa pergiat usaha terokai pasaran Afrika

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Industri sarung tangan Malaysia digesa mempergiatkan lagi usaha menerokai potensi pasaran luas di Afrika, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Katanya, kesedaran berhubung kepentingan dan permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat kerana ia digunakan sebagai barisan pertama pertahanan oleh petugas perubatan terhadap pelbagai penyakit berjangkit seperti ditunjukkan dalam kes wabak Ebola di Afrika, baru-baru ini.

Pada 2018, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai US$100 juta (US$1=RM4.12) ke 49 daripada 55 negara di benua Afrika, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dengan Ketua Misi Afrika di Malaysia, pada Selasa malam.

“Eksport ke benua itu terus berkembang dan permintaan terhadap sarung tangan terus meningkat ekoran kesedaran berhubung kepentingannya.

“Malaysia ialah rakan kepada negara Afrika dengan hubungan diplomatik kukuh, oleh itu penggiat industri perlu meneruskan usaha pemasaran untuk memperkukuhkan lagi hubungan positif supaya kedua-dua pihak dapat meraih manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo memberitahu Bernama, eksport sarung tangan getah ke benua itu dijangka meningkat sebanyak 50 peratus kepada kira-kira US$150 juta tahun ini.

Beliau berkata, Afrika sebuah benua yang amat besar dengan populasi 1.2 bilion penduduk dan mempunyai 22 misi diplomatik di Malaysia.

Katanya, daripada eksport sarung tangan bernilai US$100 juta ke negara Afrika tahun lalu, 72 peratus atau US$72.2 juta adalah dalam bentuk sarung tangan perubatan, diikuti sarung tangan getah semula jadi dan sarung tangan pembedahan lain.

Jau Foo berkata, Mesir, Afrika Selatan dan Kenya ialah negara pengimport utama.

Katanya, pada 18 Julai tahun ini, penggunaan sarung tangan getah di Afrika adalah rendah iaitu dua pasang per kapita, berbanding dengan China (5), Brazil (12), Eropah (50) dan Amerika Syarikat (75).

“Oleh itu, benua Afrika mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pasaran baharu untuk pertumbuhan.

“Dengan peraturan baharu mereka, peningkatan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat dan peningkatan kuasa ekonomi, kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan, termasuk sarung tangan,” katanya.

Jau Foo berkata, permintaan global untuk sarung tangan getah tahun ini dijangka meningkat 12 peratus kepada 300 bilion keping sarung tangan dengan hasil eksport dijangka sebanyak US$4.95 bilion.

Malaysia dijangka berkongsi pasaran terbesar kira-kira 63 peratus mendahului Thailand (18 peratus) China (10 peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tubuh jawatankuasa khas pantau harga MSM – Teresa

 

GEORGE TOWN, 13 JUN: Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama Khas yang diketuai oleh Kementerian Perusahaan Utama bagi memantau dan memastikan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil apabila negara melaksanakan bahan api biodiesel B20 pada tahun hadapan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata hari ini, jawatankuasa khas itu, yang juga merangkumi Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri, akan membincangkan subjek berkenaan sebelum dilaksanakan menjelang 2020.

“Jadi, semalam semasa mesyuarat kabinet, semua kementerian dalam jawatankuasa bersama itu telah bersetuju untuk bekerjasama kerana ia melibatkan undang-undang serta peraturan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kedua FMM-MPOB mengenai Perlaksanaan Biodiesel (B7) di Sektor Industri di sini.

Katanya, Malaysia berhasrat untuk menubuhkan satu dana penstabilan biodiesel untuk membantu memantapkan harga bahan api bio, serta menjadikan bahan api itu lebih menarik kepada pengguna.

“Kami akan berbincang dengan kementerian-kementerian lain bagi mewujudkan satu mekanisme baharu untuk memastikan bahawa apabila harga MSM tinggi, kita masih dapat menstabilkan harga bahan api bio di pasaran,” katanya.

Ini disebabkan orang ramai melahirkan kebimbangan bahawa peningkatan penggunaan bahan api bio akan menyebabkan harga minyak sawit melonjak.

Menurut Teresa lagi, bagaimanapun, sebelum sebarang mekanisme dilaksanakan, kementeriannya akan berunding dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat-syarikat petroleum dan pengeluar kereta untuk memastikan bahawa pelan tersebut akan berjalan lancar selepas perlaksanaan biodiesel B20.

“‘Perlaksanaanya akan membolehkan minyak biodiesel B20 disediakan di semua stesen minyak di seluruh negara bagi kegunaan pasaran,” katanya.

Minyak sawit adalah pilihan terbaik bagi mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil, kerana ia mempunyai potensi yang besar sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui (RE).

“Indonesia, yang merupakan pengeluar dan pengeksport minyak sawit yang terbesar, telah menggunakan biodiesel B20 selama bertahun-tahun dan tiada sebarang maklum balas negatif daripada industri automotif. Malahan, mereka kini sedang menguji B100 di Sumatera dan merancang untuk beralih ke B30 tidak lama lagi,” katanya.

Pada Disember 2018, Malaysia memperkenalkan biodiesel B10 untuk pasaran domestik, meningkatkan campuran asal daripada tujuh peratus (biodiesel B7) kepada 10 peratus.

Ia juga melaporkan sebelum ini bahawa Dasar Automotif Negara sedang menjalankan kajian semula yang merangkumi pembangunan biodiesel sebagai agenda penting kepada pelan kecekapan tenaga pengangkutan, untuk membolehkan peratusan campuran biodiesel yang lebih tinggi dalam beberapa dekad akan datang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Teresa Kok teraju misi promosi minyak sawit ke pasaran utama Eropah

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Menteri Industri Utama, Teresa Kok sedang mengetuai misi promosi dan ekonomi minyak sawit ke London (United Kingdom), Brussels (Belgium), Berlin (Jerman), dan Rom (Itali) pada 3 hingga 13 Mei ini.

Kementerian Industri Utama dalam satu kenyataan berkata, delegasi beliau akan terdiri daripada para pegawai kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

“Sepanjang misi, beliau akan berbincang dengan para pegawai dan pemegang kepentingan yang berpengaruh dari kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang juga merupakan rakan perdagangan penting minyak sawit di kesatuan tersebut.

“Misi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mempromosikan minyak sawit dan produk-produk berasaskan kelapa sawit di dalam pasaran utama termasuk bagi menangani sentimen anti minyak sawit di rantau berkenaan,” katanya.

Ia juga akan membantu Malaysia memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala dengan pasaran penting itu dan memahami perspektif mereka mengenai pelaksanaan domestik Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) dan sektor minyak sawit secara menyeluruh.

Teresa juga akan melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak, sebuah pusat promosi dan penyelidikan di bawah Lembaga Getah Malaysia yang terletak di UK.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Penangguhan duti minyak sawit galak eksport

SANDAKAN, 1 MEI: Duti eksport minyak sawit mentah ditangguhkan bermula 1 Mei hingga 31 Disember, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata penangguhan duti itu dijangka mampu menggalakkan eksport minyak sawit ke luar negara, selain ke pasaran baharu.

“Kementerian menyambut baik syarikat pengeluar dan pengeksport menggunakan peluang ini untuk mengeksport minyak sawit.

“Dengan cara ini, kita akan dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil kelapa sawit,” katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Penanam Sawit di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Teresa berkata beberapa pasaran baharu negara lain juga berminat mengimport minyak sawit, termasuk benua Afrika, Arab dan Rusia.

“Namun, semua itu perlukan masa untuk dijalankan, dan berharap dengan duti percuma ini akan mengalakkan lebih banyak eksport minyak sawit,” katanya.

Mengenai dialog itu, Teresa berkata antara masalah yang dihadapi penanam sawit ialah harga rendah, tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan cukai.

Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil untuk menangani isu itu ialah memberikan gambaran yang jelas tentang manfaat minyak sawit, khususnya di pasaran Eropah.

– BERNAMA