Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad
Saya mengecam serangan terbaru terhadap Teresa Kok yang dibuat menerusi cat merah yang dicurah dan bangkai ayam yang dilemparkan di Pusat Khidmatnya.
Serangan ini berlaku selepas wujud tawaran untuk menampar Teresa daripada sekumpulan NGO tertentu sebagai respon terhadap video Tahun Baru Cina Teresa ‘Onederful Malaysia’ yang mereka dakwa menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.
Jurucakap kumpulan yang sebelum ini mengancam untuk menampar Teresa dan memotong dua ekor ayam di atas gambar pimpinan Pakatan Rakyat mengaku beberapa anggota mereka terlibat di dalam beberapa insiden sebelum ini termasuk isu kepala lembu beberapa tahun yang lepas.
Amatlah sedih apabila kumpulan yang mendakwa mempertahankan Islam mengambil tindakan yang tidak diajar agama kita.
Islam mengajar kita menjaga adab kita di dalam berbeza pendapat dan berlaku adil kepada semua insan termasuk bukan Islam.
Saya berharap pihak yang selama ini begitu lantang di dalam mengeluarkan kenyataan terhadap mereka yang membantah tindakan kerajaan dan sebagainya akan turut mengeluarkan pandangan mereka tentang tindakan golongan-golongan ini.
Saya juga menyeru Kerajaan UMNO-BN yang sering bercakap soal wasatiyyah atau kesederhanaan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan ini yang didokong oleh mereka yang rapat dengan UMNO-BN.
* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor