Categories
SELANGOR

19 angkat sumpah ahli majlis MBPJ, ikrar terus khidmat cemerlang

Oleh: Afix Redzuan

PETALING JAYA, 19 FEB: Seramai 19 orang daripada 25 mengangkat sumpah pengakuan penerimaan jawatan dan menandatangani surat akujanji integriti sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk sesi baru 2014-2015.

Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis dibuat dihadapan Datuk Bandar, Datin Paduka Alina Ahmad di sini hari ini dengan dimulakan oleh Ir Lee Suet Sen dan diikuti dengan 18 ahli yang lain.

ahli majlisTempoh perkhidmatan Ahli Majlis daripada PAS, DAP dan NGO bermula dari 5 Februari 2014 sehingga 31 Disember 2015 sementara Ahli Majlis dari PKR akan berkhidmat untuk tempoh setahun dari 5 Februari 2014 hingga 31 Disember 2014.

Dalam pada itu, Halimey Abu Bakar, 40, bersyukur dan gembira apabila dilantik semula menjadi Ahli Majlis untuk sesi kali ini.

Katanya, pelantikan semula ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan kerja tertangguh sebelum ini dan akan memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah kemasyarakatan serta gejala sosial.

“Pelantikan semula ini saya gembira kerana saya ingin laksanakan tugasan saya yang tertangguh sejak 2008 hingga 2011.

“InsyaAllah dengan musim baru ini saya akan cuba selesaikan perkara yang belum diselesaikan dan ditambah baik,” katanya.

Bagi Ang Ming Ern, 34, ini merupakan penyertaan pertama beliau dalam pasukan Ahli Majlis MBPJ dan berharap banyak masalah di kawasan bandar dapat diselesaikan.

“Saya gembira untuk turut serta. Saya rasa kami boleh bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan perbezaan untuk kebaikan bandar ini.

“Saya rasa isu yang paling penting adalah kebersihan dan keselamatan. Ini keutamaan kita, selepas itu kita akan tengok isu lain untuk diketengahkan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.