Categories
SELANGOR

Ahli Parlimen Serdang kesal projek Park ‘n Ride gagal siap ikut tempoh

Oleh : AFEEQA AFEERA

SERDANG, 14 MAC: Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming melahirkan kekesalan terhadap Kementerian Pengangkutan berhubung projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat (Park ‘n Ride) di Stesen Komuter Serdang yang masih terbengkalai sehingga kini.

Beliau yang melakukan tinjauan di kawasan itu pagi tadi, berkata projek berkenaan sepatutnya siap pada 2 Januari 2013, namun gagal dilaksanakan berikutan masalah aliran tunai dan kewangan yang dihadapi kontraktor dilantik.

Katanya, kontraktor terbabit, Anjung Global Sdn Bhd tidak mempunyai kelayakan dalam sektor pembinaan bangunan kerana mereka hanya syarikat yang tertumpu kepada penyelenggaraan awam dan pembersihan umum.

IMG_6432a“Pihak kementerian sebenarnya tidak menyatakan syarikat kontraktor yang dilantik, jadi saya terpaksa ambil inisiatif sendiri untuk semak siapa yang terbabit.

“Apabila saya semak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mereka (Anjung Global) disenaraikan sebagai syarikat yang buat penyelenggaraan awam dan pembersihan umum serta tidak berpengalaman dalam projek begini.

“Jadi, memang tidak begitu mengejutkan apabila mereka tidak boleh siapkan projek yang menelan kos RM8.4 juta ini,” katanya yang sudah membangkitkan perkara itu di Parlimen, pada 12 Mac lalu.

Pada masa sama, Kian Ming turut mempersoalkan tindakan kementerian yang melantik syarikat kontraktor tidak berkelayakan untuk menyiapkan projek mega berkenaan sehingga mengalami kelewatan.

Katanya, kelewatan projek itu menyusahkan orang ramai yang ingin meletakkan kenderaan bagi menggunakan perkhidmatan komuter dan menyebabkan kesesakan serius di waktu puncak apabila banyak kereta diletakkan di bahu jalan.

“Projek ini bermula tiga tahun lalu dan pada 29 Mac 2011, MCA mengumumkan projek berkenaan akan siap pada tahun 2013 tetapi tiada pemantauan dibuat.

“Seharusnya, sebelum buat sebarang pengumuman, mereka perlu buat semakan dengan kontraktor berkenaan projek itu supaya satu jawapan komprehensif dapat diberikan kepada rakyat,” katanyai.

IMG_6440aDalam satu jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan pusat memaklumkan pihaknya melalui Perbadanan Aset Keretapi akan meneruskan projek berkenaan sehingga siap melalui ‘kontraktor penyelamat’ yang dilantik, pada 27 Februari lalu.

Proses kerja berkenaan dijangka akan bermula pada 17 Mac ini bagi tempoh 12 bulan dan dijangka siap sepenuhnya, pada 16 Mac 2015.

Pembinaan kemudahan Park ‘n Ride Serdang membabitkan pembinaan bangunan tempat letak kereta setinggi empat tingkat yang akan menyediakan 400 petak letak kereta.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.