Categories
SELANGOR

Anugerah Sukan Selangor rai atlet cemerlang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MAC : Atlet cemerlang yang berjaya mengharumkan Selangor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa diraikan dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2013 di Hotel Concorde, di sini malam tadi.

Acara tahunan yang dianjurkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada orang perseorangan dan persatuan atas jasa perkhidmatan mereka ke arah kemajuan sukan.

sukanIa juga bertujuan sebagai pemangkin semangat kepada generasi (atlet) baru untuk meningkatkan kualiti dan mengharumkan nama negeri ke peringkat tertinggi.

Majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu itu disempurnakan Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah dan diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Eksekutif MSN, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Ahmad Yunus dalam ucapannya berkata kemajuan dalam bidang sukan menjadi semakin penting pada masa kini kerana ia mampu mewujudkan perpaduan sejagat, memupuk keamanan serta meningkatkan imej sesebuah negeri.

Katanya bidang sukan adalah landasan terbaik dalam usaha membangunkan modal insan yang cergas, kreatif, berdaya saing dan membina jati diri kukuh demi memastikan kelangsungan keutuhan sesebuah negara.

“Bagi memastikan matlamat tersebut dapat direalisasikan, bidang sukan perlu menyediakan peluang penyertaan dan penglibatan seluas-luasnya kepada golongan muda yang merupakan pewaris kepimpinan negara di masa hadapan.

“Konsep sukan untuk semua yang dipelopori negeri Selangor juga mengiktiraf para atlet dari kalangan orang kelainan upaya (OKU) sebagai insan yang turut menyumbang ke arah perpaduan masyarakat melalui bidang sukan,” katanya.

Anugerah Sukan tahun ini mempertaruhkan lapan kategori utama, antaranya Anugerah Olahragawan dan Olahragawati, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan, Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan, Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik dan Anugerah Khas.

Atlet karate-do, Senthilkumaran a/l Silvarajoo dipilih sebagai Olahragawan Selangor 2013, manakala Anugerah Olahragawati pula dirangkul Khoo Chai Lin yang mempunyai rekod cemerlang dalam sukan renang.

Olahragawan dan Olahragawati 2013 masing-masing menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.