Categories
SELANGOR

Bas komuniti percuma MBSA mula beroperasi

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 MAC : Dalam usaha untuk memperkasakan lagi sistem pengangkutan awam di kawasan Shah Alam, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini menyediakan perkhidmatan bas komuniti secara percuma untuk kegunaan orang ramai.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata inisiatif MBSA itu khusus bagi menyediakan kemudahan awam bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah seperti warga industri, pelajar, kakitangan kerajaan serta mereka yang memerlukan perkhidmatan bas berkenaan untuk berurusan.

MBSA-Shahrin AhmadKatanya, dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat, penyediaan bas komuniti itu diharap dapat membantu meringankan beban masyarakat.

“Dengan adanya perkhidmatan bas komuniti secara percuma ini diharap dapat membantu masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, berurusan di pejabat atau agensi kerajaan, pasar, pusat rawatan dan sebagainya.

“Perkhidmatan bas komuniti ini juga adalah komitmen berterusan pihak MBSA yang sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan, kesenangan dan kesejahteraan masyarakat awam khususnya yang tinggal di kawasan pentadbiran kami,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Shahrin berkata, perkhidmatan bas komuniti itu akan bermula di Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 dan akan melalui beberapa seksyen seperti 2, 7, 11, 16, 17 dan 18.

IMG_9451 (Custom) (Custom)Perkhidmatan itu akan beroperasi sebanyak tiga kali sehari dari Hentian Pusat Bandar, Seksyen 14 pada jam 7.30 pagi, 11.30 pagi dan 4.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti, MBSA di talian 03-55105133 sambungan 381 atau 432.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.