Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 lancar Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan ‘Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi’ untuk menggesa semua tujuh tuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal, digugurkan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

“Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata yang benar demi kepentingan awam?” kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dipetik Harakah Daily, hari ini.

Mejar Zaidi-702548Maria berkata Bersih 2.0 akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera untuk menyeru supaya pertuduhan Zaidi digugurkan.

Katanya, Bersih 2.0 menganjurkan kempen itu melalui media sosial supaya ribuan rakyat bersatu menyuarakan ketidakpuasan mengenai tindakan mahkamah terhadap Mejar Zaid.

“Bersih 2.0 percaya ramai rakyat berasakan Mejar Zaidi tidak harus dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran,” kata Maria.

Rombongan Bersih 2.0 terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Semenanjung Utara, Datuk Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat. Mandeep Singh dan Adam Adli, serta Bendahari Ikram, Mustafa Basri melawat Mejar Zaidi di rumahnya di Bertam, Kepala Batas 24 Februari lalu.

Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau dikenakan tiga lagi tuduhan membuat kenyataan media tanpa kebenaran dan menghantar dua SMS yang berbau politik.

Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin kehilangan pencen dan faedah lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published.