Categories
KENYATAAN MEDIA

Jenayah rogol : Wan Junaidi hina masyarakat Cina, India

Oleh : G MANIVANAN

Kenyataan angkuh dan dangkal yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkaitan jenayah rogol kanak-kanak jelas menunjukkan beliau bukan sahaja menghina masyarakat Cina dan India tapi tidak sensitif.

Beliau menyatakan mangsa rogol dan keluarga dari kaum Cina dan India hanya menerima jenayah yang berlaku lantas menjadi penyebab mengapa jumlah kes yang dilaporkan adalah rendah.

Kenyataan tidak berfakta dan berbaur perkauman sebegini perlu segera dihentikan. Jenayah rogol terhadap kanak-kanak adalah satu penindasan nyata yang berlaku dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana sifat perkauman. Tidak ada ibu bapa yang akan menerima hakikat anak mereka dirogol dan kemudian mendiamkan diri tanpa tindakan lanjut undang-undang.

Fungsi Kementerian Dalam Negeri yang sepatutnya menjaga keharmonian dan keselamatan dalam negara tercemar apabila ditunjangi Timbalan Menteri seperti beliau. Ini bukanlah pemikiran dan jawapan yang waras maka wajarlah dipersoalkan oleh semua rakyat Malaysia. Tuntas, kita merasa gusar dan bimbang dengan kecenderungan perkauman beliau yang menebal disamping bersikap hentam keromo dalam melaksanakan tugas.

Datuk Wan Junaidi dilihat tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang berat sebegini. Beliau membuktikan ketidak-mampuan untuk menjadi pemimpin nasional yang bermaruah. Kenyataan beliau bukan sahaja menghina kaum-kaum lain di Malaysia, tetapi amat malang apabila turut memalukan umat Islam yang sentiasa cintakan kedamaian.

Justeru, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak haruslah segera menunjukkan pintu keluar kepada Wan Junaidi dari kabinet Malaysia. Keadaan negara yang mudah terdedah kepada religious and racial tenses, akan bertambah runcing dengan tindakan dan kenyataan perkauman dan tidak sensitif dari seorang Timbalan Menteri.

Jika Najib Tun Razak serius untuk melaksanakan Transformasi 1Malaysia, Wan Junaidi harus diarahkan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau juga perlu dipecat dari kedudukan dan jawatan Timbalan Menteri yang membuktikan beliau sombong, tidak upaya dan berbahaya kepada masa depan Malaysia.

SALAM REFORMASI

 # G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar

Leave a Reply

Your email address will not be published.