Categories
NASIONAL

Najib-Shafee membisu, soalan di Parlimen turut dibisukan?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Penolakan soalan jawab lisan oleh Dewan Rakyat mengenai perkembangan siasatan berhubung pembayaran terus RM9.5 juta kepada Tan Sri Dr Shafee Abdullah daripada akaun dipercayai milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat dikesali.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata, penolakan dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 23(1)(C), iaitu sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa ‘sangkaan’.

“Amat memilukan apabila mendapati isu yang serius seperti ini wajib dijawab dan diperjelaskan kerana berkaitan isu kebebasan dan hukuman penjara seorang individu.

“Parlimen Malaysia pula menganggap isu ini sebagai sangkaan,” katanya dalam satu sidang media di Lobi Pusat Media Dewan Rakyat, hari ini.

Manivanan berkata, soalan yang dikemukakan adalah ‘Sama ada pihak PDRM telah mula menyiasat laporan polis mengenai dana RM9.5 juta daripada Perdana Menteri (YAB Pekan) kepada Tan Sri Dr Shafee Abdullah, serta perkembangan terkini dan tindakannya’.

Beliau berkata, sehingga kini, Najib dan Shafee membisu tanpa mengaku atau menolak dakwaan tersebut selain laporan polis dilakukan untuk siasatan.

Shafee didakwa menerima bayaran yang dikaitkan dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM4.3 juta pada 11 September 2013 dan RM5.1 juta pada 17 Februari 2014.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Sri Nancy Shukry memaklumkan dalam Parlimen Shafee dibayar gaji RM1,000 untuk tugasnya sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes perbicaraan Anwar.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, sepatutnya JPM mengemukakan jawapan sama ada isu itu sudah atau belum disiasat.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cabutan bertuah tonjol kisah ‘suka dalam duka’ Umno

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 APR: Semakin menghampiri pilihan raya, penolakan ahli Umno terhadap parti itu semakin teserlah, kata Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Menurutnya, Umno terpaksa memberi habuan mewah menerusi cabutan bertuah bagi menarik kehadiran ahlinya menyertai sambutan ulang tahun parti itu ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Mei ini.

“Ini terbukti apabila Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan tujuh kereta termasuk sebuah  Proton Perdana dan 10 motosikal menanti ahli Umno dalam bentuk cabutan bertuah.

“Penasihat Umno wajar diberikan kepujian kerana dapat menyedari bahawa perhimpunan kali ini hanya akan menjadi medan protes ahli mereka sendiri.

“Maka, ahli Umno akan hadir beramai – ramai dan akan menunggu sehingga selesai sambutan Ulang Tahun ini. Acara ini akan digunakan sebagai senjata persepsi politik yang menunjukkan sokongan padu terhadap Umno menuju PRU 14 akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivanan berkata, pendekatan diguna pakai Umno itu hanya mencerminkan ‘suka dalam duka’ yang dihadapi pemimpin tertinggi parti itu.

“Realiti tetap realiti, kerana seramai mana yang hadir untuk cabutan bertuah itu, tidak akan sesekali menjauhkan penderitaan rakyat termasuk ahli Umno sendiri dengan harga barang dan kos sara hidup meningkat, kualiti kehidupan merudum, bebanan cukai GST serta pemansuhan subsidi terhadap barang-barang keperluan,” katanya.

-nR-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pendekatan untuk menutup kegagalan pentadbiran Umno-BN

OLEH G MANIVANAN
Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mahukan rakyat negara ini menukar cara pemikiran mereka berhubung pembelian rumah ketika muda dan menanggung hutang jangka panjang yang besar.
1. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di bawah pentadbiran Najib Razak dan Menteri-Menteri kabinetnya senantiasa memberikan jawapan untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan UMNO BN.
2. Tidakkah rakyat Malaysia begitu terbeban dengan peningkatan harga barangan makanan seperti ubi kentang, bawang, bayam, sawi, kubis dan sebagainya termasuk sardin, iaitu makanan orang miskin. Malah gaji untuk menampung kehidupan di bandar telah memaksa rakyat mempelbagaikan kerja sampingan lain seperti memandu perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Bagaimana mereka hendak membeli rumah sedangkan rumah mampu milik pun hanya mampu dilihat sahaja. Apakah punca sebenar? Punca sebenar adalah kegagalan pimpinan negara untuk mentadbir kewangan negara dengan sebaiknya.
3. Jika seseorang tidak mampu membeli sesebuah rumah, ianya kerana bergantung kepada nilai harga rumah yang begitu tinggi dan ketidakmampuan untuk membelinya.
Harga rumah yang tinggi nilainya menunjukkan kegagalan kerajaan UMNO BN untuk mengawal harga barangan asas pembuatan seperti simen dan pasir. Kegagalan untuk mengawalnya mengakibatkan keuntungan berlipat kali ganda dan wujudnya ‘orang tengah’ yang mengaut keuntungan berganda.
4. Ketidakmampuan untuk membeli wujud kerana kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi tanpa kawalan yang munasabah. Misalannya, mahasiswa yang baru sahaja menamatkan pengajian telah dibebani dengan hutang pengajian (PTPTN). Apabila mendapat kerja, gaji yang diterima pula tidak setimpal ditambah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan harga barangan yang mendadak.
Inilah antara faktor – faktor menjurus kepada kegagalan kerajaan UMNO BN untuk menyediakan satu pelan atau model bagi membantu golongan muda @ mahasiswa untuk melalui kehidupan yang sewajarnya tanpa tekanan.
5. Perbandingan dengan negara UK sepertimana dikatakan oleh YB Johari Abdul Ghani menunjukkan sikap terpilih, di mana kerajaan UMNO BN menjawab mengikut keselesaan dan kepentingan mereka sahaja.
Keputusan untuk golongan muda menetap di UK tidak boleh dibandingkan dengan negara kita kerana kita mempunyai tradisi kehidupan yang berbeza. Kita orang Timur yang mempunyai adat istiadat tersendiri, seperti hasrat mendirikan rumah tangga, mengamalkan konsep kekeluargaan, menjaga ibubapa dan sebagainya. Maka membeli rumah menjadi salah satu elemen yang terpenting dalam kehidupan orang Timur.
Kerapkali Menteri UMNO BN sedaya upaya cuba untuk menutup kegagalan dan kelemahan mereka, tanpa disedari mereka membuka ruang untuk kita mencari kelompangan mereka. Semakin banyak alasan diberikan, semakin banyak yang akan terbongkar. Saya tersenyum, mengingati peribahasa Melayu ‘bagai kelip-kelip terbang malam’.
Salam Reformasi.
# G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar
Categories
SELANGOR

Segerakan pembinaan Hospital Kapar

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan pembinaan Hospital Kapar bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepatutnya menyelesaikan soal tanah lebih awal yang kini menyaksikan Sime Darby mahu kerajaan membeli tanah seluas 50 ekar pada harga RM45 juta.

“Hospital ini ingin dibina bukan tujuan komersil tetapi untuk kepentingan awam.

“Ada banyak projek persekitaran yang melibatkan Sime Darby. Sepatutnya ada rundingan antara kerajaan dan Sime Darby atas kebenaran projek yang diberikan kepada mereka,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Manivanan sebelum itu mengemukakan soalan mengenai status terbaru pembinaan Hospital Kapar dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dalam jawapannya berkata Sime Darby hanya memaklumkan tapak itu perlu dibeli kerajaan dalam mesyuarat pada 5 Mei lalu.

Katanya, soal pembelian tanah itu tidak disebutkan pada peringkat awal.

Isu pembinaan Hospital Kapar dibangkitkan sejak PRU-11 namun sehingga kini masih belum dimulakan.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Pusat, MAS wajib pertahan nama baik anak kapal MH370

Oleh : G Manivanan

Saya melahirkan rasa amat sedih dan berkongsi kedukaan dengan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa berhubung tragedi MH370. Penerbangan Boeing 777 dari Kuala Lumpur ke Beijing itu dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, dan di satu kawasan yang jauh terpencil dimana tiada jiwa yang dilaporkan selamat. 

Satu laporan yang dipetik dari The Telegraph tulisan Jonathan Pearlman begitu mencalar hati kita semua. Walaupun tulisan tidak menyebut nama juruterbang secara langsung, namun persepsi negatif  telah dibina berdasarkan artikel tersebut. Kapten Zaharie Ahmad Shah didakwa terlibat dengan perbuatan membunuh diri yang membawa kepada nahas pesawat terbabit. Berita ini turut dilaporkan semula oleh portal Malaysian Insider edisi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Saya percaya bahawa Kerajaan Malaysia dan Penerbangan Malaysia wajib mempertahankan imej dan nama baik Kapten Zaharie serta seluruh anak kapal. Artikel tersebut ternyata melukakan hati ahli keluarga mereka khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Saya yakin Kapten Zaharie serta anak kapal telah melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan penumpang sehingga ke saat terakhir.

Sebagai anak-anak kapal yang berpengalaman, Kapten Zaharie serta kesemua krew mewakili dan mencerminkan imej Penerbangan Malaysia yang bertaraf dunia. Penerbangan Malaysia pastinya mempunyai rekod prestasi personal mahupun kerja kesemua mereka untuk dijadikan rujukan. Imej dan kompetensi Penerbangan Malaysia sebagai majikan juga turut musnah akibat kenyataan yang diterbitkan.

Satu laporan yang adil dan berperikemanusiaan haruslah diberikan kepada juruterbang, anak kapal serta semua penumpang, sekurang-kurangnya sehingga kotak hitam ditemui. Spekulasi dan teori konspirasi hanya akan mengheret emosi mereka yang masih hidup dan mewujudkan rasa tidak senang dalam hubungan diplomatik antarabangsa.

Inilah waktunya rakyat negara ini bersatu tanpa mengira latar belakang dan dikurniakan kekuatan serta keberanian menghadapi musibah ini. Saya berharap bahawa ahli keluarga anak-anak kapal serta penumpang MH370 kekal sejahtera dan saya doakan ketabahan buat mereka untuk hari mendatang.

# G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jenayah rogol : Wan Junaidi hina masyarakat Cina, India

Oleh : G MANIVANAN

Kenyataan angkuh dan dangkal yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkaitan jenayah rogol kanak-kanak jelas menunjukkan beliau bukan sahaja menghina masyarakat Cina dan India tapi tidak sensitif.

Beliau menyatakan mangsa rogol dan keluarga dari kaum Cina dan India hanya menerima jenayah yang berlaku lantas menjadi penyebab mengapa jumlah kes yang dilaporkan adalah rendah.

Kenyataan tidak berfakta dan berbaur perkauman sebegini perlu segera dihentikan. Jenayah rogol terhadap kanak-kanak adalah satu penindasan nyata yang berlaku dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana sifat perkauman. Tidak ada ibu bapa yang akan menerima hakikat anak mereka dirogol dan kemudian mendiamkan diri tanpa tindakan lanjut undang-undang.

Fungsi Kementerian Dalam Negeri yang sepatutnya menjaga keharmonian dan keselamatan dalam negara tercemar apabila ditunjangi Timbalan Menteri seperti beliau. Ini bukanlah pemikiran dan jawapan yang waras maka wajarlah dipersoalkan oleh semua rakyat Malaysia. Tuntas, kita merasa gusar dan bimbang dengan kecenderungan perkauman beliau yang menebal disamping bersikap hentam keromo dalam melaksanakan tugas.

Datuk Wan Junaidi dilihat tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang berat sebegini. Beliau membuktikan ketidak-mampuan untuk menjadi pemimpin nasional yang bermaruah. Kenyataan beliau bukan sahaja menghina kaum-kaum lain di Malaysia, tetapi amat malang apabila turut memalukan umat Islam yang sentiasa cintakan kedamaian.

Justeru, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak haruslah segera menunjukkan pintu keluar kepada Wan Junaidi dari kabinet Malaysia. Keadaan negara yang mudah terdedah kepada religious and racial tenses, akan bertambah runcing dengan tindakan dan kenyataan perkauman dan tidak sensitif dari seorang Timbalan Menteri.

Jika Najib Tun Razak serius untuk melaksanakan Transformasi 1Malaysia, Wan Junaidi harus diarahkan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau juga perlu dipecat dari kedudukan dan jawatan Timbalan Menteri yang membuktikan beliau sombong, tidak upaya dan berbahaya kepada masa depan Malaysia.

SALAM REFORMASI

 # G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar

Categories
SELANGOR

KJ boleh jadi selebriti politik, sembunyi tekanan Anwar sertai DUN Selangor

Oleh : NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 29 JAN: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilihat tidak dapat menyembunyikan tekanan dengan langkah politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata PKR melalui sokongan PAS dan DAP bersetuju meletakkan Anwar sebagai calon atas semangat Pakatan Rakyat (PR) selepas perletakan jawatan Lee Chin Cheh.

Katanya, reaksi Khairy yang memperolokkan Anwar adalah sebahagian daripada usaha Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan perhatian rakyat berkenaan politik Selangor, selain tekanan awal oleh pimpinan parti itu terhadap PR.

Adun kapar G Manivanan“Umno-BN cuba membina persepsi negatif atas pencalonan Anwar melalui laman Twitter dan media sosial lain dalam usaha menolak hakikat parti itu sudah tidak relevan lagi di Selangor.

“Memang wujud tekanan dan persepsi berbeza atas pencalonan ini, namun Anwar mengambil langkah progresif dan berani selepas meneliti keperluan dan permintaan untuk menyediakan perkhidmatan lebih efektif kepada rakyat sebagai persediaan Selangor menjadi model pentadbiran di Putrajaya kelak,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Manivanan berkata, Anwar dan PKR komited dengan janji untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus dan berani walaupun berdepan kritikan dan teguran.

Katanya, PKR menerima baik perbezaan pendapat antara komponen PR dan yakin bahawa hubungan itu sangat erat serta tidak mudah goyah ekoran satu lagi cubaan politik baru.

“Saya menyedari wujud usaha menggeserkan hubungan erat dalam PR, namun meyakini bahawa setia kawan yang terbina sejak penggal lalu akan menjadi sandaran untuk bersama menempuh, sekali gus meningkatkan kembali pemahaman dan keyakinan rakyat terhadap matlamat kami.

anwar-gst“Kami tidak akan layu dek kerana label dan momokan kosong yang menjadi acahan Umno-BN bagi mengalih isu semasa. Khairy juga selaku Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia Sukan tidak harus ghairah menjadi populis dalam keadaan pentadbiran pusat lebih tenat dengan melupakan kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Khairy boleh memilih untuk menghiburkan pengikutnya di laman sosial dan menjadi selebriti politik, tetapi jangan sesekali cuba menyembunyikan tekanan dan keresahan dengan penyertaan Anwar ke Selangor dan saya yakin Umno-BN akan cuba menyerang peribadi calon PR,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Khairy tertekan dengan langkah politik PKR

Oleh : G Manivanan

Ketua Pemuda Umno, Y.B Khairy Jamaluddin tidak dapat menyembunyikan tekanan dengan langkah politik Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Rakyat secara umum mengetahui Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), dengan dukungan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik(DAP) telah bersetuju bersama atas semangat Pakatan Rakyat untuk meletakkan Ketua Umum Keadilan, Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Dewan Undangan Negeri N25 Kajang, yang kosong akibat perletakkanjawatan Saudara Lee Chin Cheh.

KHAIRYReaksi pantas Khairy Jamaluddin sebagai selebriti media sosial telah dijangka, dengan segera memperolok-olokkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keputusan tersebut yang secara jelas mendedahkan bahawa Umno Barisan Nasional cuba mengalihkan perhatian rakyat yang berminat untuk mengetahui senario politik di Selangor ini. Saya tidaklah memandang berat komen kosong dari Khairy Jamaluddin tersebut, tetapi inilah bentuk tekanan awal yang dizahirkan oleh pimpinan Umno Barisan Nasional.

Semenjak awal lagi, Umno Barisan Nasional telah cuba membina persepsi negatif terhadap perkembangan tersebut melalui tweet-tweet dan sebaran media sosial kerana menyedari impak atas penyertaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam kancah politik Selangor secara khususnya, yang hampir pasti memberi pukulan lebih hebat kepada mereka pada masa ini sudah tidak lagi relevan di Selangor.

Anwar Mahu Jadikan Selangor Sebagai Model Pentadbiran Di Putrajaya

Memang wujud tekanan dan persepsi berbeza dari semua golongan, dan Keadilan berbesar hati untuk menerima perbezaan tersebut. Benar akan berlaku sebuah Pilihanraya Kecil yang menurut sesetengah pihak, sebagai membazirkan wang rakyat, namun, meneliti keperluan dan
permintaan untuk menyediakan perkhidmatan lebih efektif kepada rakyat maka Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah progresif dan berani sebagai persediaan Selangor menjadi model pentadbiran di Putrajaya kelak.

manivannamTindakan ini mungkin tidak popular, tetapi Keadilan meyakini ianya adalah strategi terbaik dan penuh perancangan serta dedikasi supaya apa yang diperjuangkan selama ini kembali ke landasan yang tepat dan ini adalah harga yang perlu dibayar untuk sebuah perubahan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Keadilan komited dengan janji untuk sebuah pentadbiran yang lebih telus dan berani walaupun berdepan kritikan dan teguran.

Pentadbiran Pakatan Rakyat yang memasuki usia enam tahun di Selangor serta Pulau Pinang bukanlah seperti anak-anak kecil yang merangkak. This child is growing, dan bersedia menempuh fasa baru yang lebih matang dan mencabar. Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini adalah pemimpin, yang bersedia berkongsi pengalaman luasnya di dunia politik untuk manfaat bersama rakyat Selangor. Kini, beliau berpeluang berperanan lebih jelas dalam pentadbiran Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Hubungan Pakatan Rakyat Erat Dan Tidak Mudah Goyah

Keadilan menelusuri lima belas tahun penubuhannya dengan isu dan cubaan politik yang pelbagai. Malah dari tempoh waktu itu, enam tahun parti ini membina setiakawan dan pakatan yang erat dengan PAS dan DAP. Keadilan menerima baik perbezaan pendapat dan yakin bahawa hubungan ini sangat erat dan tidak mudah goyah dek satu lagi cubaan politik baru.

Saya menyedari wujud usaha untuk menggeserkan hubungan erat dalam Pakatan Rakyat, namun meyakini bahawa setiakawan yang terbina sejak
penggal yang lalu akan menjadi sandaran untuk Pakatan bersama menempuh sekaligus meningkatkan kembali pemahaman dan keyakinan rakyat terhadap matlamat kami.

Iltizam untuk memberikan reformasi pentadbiran kepada rakyat Malaysia, nyata mengatasi segala-galanya. Keadilan bersama PAS dan DAP tidak akan layu dek kerana label-label dan momokan kosong yang menjadi acahan Umno Barisan Nasional bagi mengalih isu semasa. Serta Khairy, dalam peranan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia Sukan tidak harus ghairah menjadi populis, sedangkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan UMNO Barisan Nasional lebih tenat dan melupakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Khairy boleh memilih untuk menghiburkan pengikutnya di laman sosial dan menjadi selebriti politik, tetapi jangan sesekali cuba
menyembunyikan tekanan dan keresahan dengan penyertaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Undangan Negeri Selangor. Tekanan Khairy begitu dirasai, dan saya yakin tekanan ini sedang membara dan sedikit masa lagi Umno Barisan Nasional akan berhabis-habisan menyerang peribadi calon Keadilan di N25 Kajang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Keadilan komited untuk terus melawan bagi menjadi pemangkin perjuangan rakyat. Lawan Tetap Lawan !

Salam Reformasi

# G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar

Categories
SELANGOR

Manivanan seru contohi akhlak Nabi Muhammad SAW

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KLANG ,19 JAN: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan menyeru masyarakat Malaysia mencontohi akhlak dan peribadi Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan baginda.

Manivanan berkata, keperibadian dan akhlak mulia yang dimiliki Nabi Muhammad SAW itu juga wajar dijadikan model kepada semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Adun kapar G Manivanan“Lahirnya Nabi Muhammad SAW ke dunia adalah satu rahmat untuk sekalian alam. Justeru, apa yang saya harapkan supaya Maulidur Rasul ini akan dapat memupuk kesedaran kita untuk sentiasa berusaha membaiki akhlak dan mengukuhkan jati diri sebagai seorang manusia serta mengadaptasi nilai baik peribadi baginda dan ajarannya dalam kehidupan ini,” katanya.

Manivanan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang di sini, hari ini.

Manivanan dalam ucapannya turut mengambil kesempatan supaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini mengamalkan sikap saling berkasih sayang.

“Baginda sangat menganjurkan sikap mengasihi dan berbuat baik sesama manusia sebab itu diingati bukan sahaja sebagai pemimpin agama Islam tetapi juga sebagai anak, suami, ayah serta ketua negara yang mempamerkan peribadi mulia juga terpuji sehingga digelarkan Al-Amin kerana sikap jujur yang ditunjukkan,” katanya.

Sementara itu dianggarkan 1,600 orang daripada 37 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan awal pagi tadi yang mewakili masjid, surau dan pejabat kerajaan serta swasta sekitar kawasan Selat Klang.

-NFN-

MB: Aedes tak kenal ahli politik, jangan politikkan isu denggi – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk

11112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan masalah demam denggi yang melanda Selangor.

2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) yang dirasmikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

3. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bersarapan dan bergambar bersama 38 murid tahun enam Sekolah Rendah Agama Ar-Razi dalam Program Akademi Imam Muda Da’ie, baru-baru ini.

4. Penggunaan lampu solar di kawasan kampung di DUN Ijok di sini diharap dapat mengurangkan kebimbangan penduduk terhadap berlakunya kes jenayah terutamanya di waktu malam.

5. Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan telah membuat laporan polis berkenaan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang memfitnah beliau ada mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Islam.

6. Kira-kira 200 peserta mewakili 20 kontinjen dari pelbagai peringkat termasuk sekolah tadika, rendah dan menengah berarak bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435 Hijrah peringkat DUN Selat Klang semalam.

7. Unit Rondaan Berbasikal (Unit Renjer) ditubuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mempertingkatkan aktiviti pencegahan masalah jenayah dan memperkasakan aspek keselamatan di sekitar bandar raya Shah Alam.

Categories
SELANGOR

SMS fitnah hina Islam, Ahli Parlimen Kapar buat laporan polis

NORHAYATI UMOR

KLANG 10 NOV : Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan sudah membuat laporan polis berkenaan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang memfitnah beliau ada mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Islam.

Adun kapar G ManivananBeliau berkata, pihaknya membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan polis kini sudah mengesan nombor telefon terbabit didaftarkan atas nama seorang perempuan warga Indonesia.

“Saya syaki SMS ini dihantar oleh orang terdekat dengan saya yang tidak berpuas hati.

“Sebelum ini, saya banyak menerima ugutan untuk mencederakan saya, tetapi saya tidak hiraukan bagaimanapun, isu membabitkan agama adalah isu yang serius,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Majlis Sambutan Maal Hijrah DUN Selat Klang, di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang tidak berpuas hati dan bertindak menjatuhkan reputasinya supaya tampil berjumpa dengannya agar dapat menyelesaikan masalah.

Manivanan berkata, beliau turut menafikan dakwaan bahawa ada mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam ucapannya di sebuah tokong baru-baru ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Kata Manivanan, beliau langsung tidak berucap dalam majlis terbabit.

Katanya, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) itu menyebabkan orang ramai salah faham.

“SMS itu dihantar baru-baru ini di sekitar Parlimen Kapar terutamanya di DUN Sementa.

“Ia menyasarkan kepada Ketua Kampung dan Imam Masjid, jadi mereka meminta saya memberi penjelasan,” katanya.

Manivanan menjelaskan beliau tidak pernah menghina mana-mana agama sebaliknya menjalinkan silaturahim tanpa mengira agama.

“Saya menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi dan saya kagumi agama Islam.

“Malah, daripada zaman sekolah saya sering ke masjid untuk belajar bersama-sama rakan dari agama Islam,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Liong Sik bebas bukti Gani Patail tidak efektif

PKFZ-1

SHAH ALAM 25 OKT : Rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kegagalan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membabitkan pendakwaan kes berprofil tinggi susulan pembebasan bekas menteri, Tun Dr Ling Liong Sik dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata kegagalan Gani Patail dalam kes besar seperti PKFZ membuktikan beliau tidak efektif dan berkemampuan melaksanakan tugasnya.

Manivan di dalam portal The Malaysian Insider berkata Gani Patail disifatkan sebgaai ego apabila tidak mahu mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata Gani tidak cekap dalam melaksanakan tugasnya apabila pertuduhan yang dibuat dalam pendakwaan itu bersifat tidak kukuh dan lemah.

Tony Pua berkata, kegagalan dalam PKFZ itu adalah yang kedua selepas kegagalan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan pembebasan  anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila mereka enggan percaya pada kerajaan dengan menyatakan ‘ikan besar’ yang ada kaitan dengan pemerintah elit Barisan Nasional (BN) tidak akan dijatuhkan hukuman bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung PKFZ dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskannya selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Liong Sik, 70, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali PKFZ dan beliau diperintah membela diri, pada 9 Mac 2013,

Beliau didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan fakta berkenaan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun iaitu tambahan harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 iaitu RM25 sekaki persegi berjumlah RM1.088 bilion dan mengetahui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebagai penentu nilai itu sudah mengambil kira kadar kupon.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.