Oleh: Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM, 19 MAC : Kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus memperoleh keyakinan rakyat apabila kajian Universiti Selangor (UNISEL) mendapati 72.6 peratus responden yang disoal selidik menyatakan keyakinan terhadap integriti dan akauntabiliti beliau menerajui kepimpinan Selangor.
Ketua Penyelidik dalam Kajian Soal selidik Pola Pengundian dan Isu Semasa, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, berkata hanya 21.3 peratus responden menyatakan sederhana dan 6.1 peratus lemah.
Katanya, daripada segi pengurusan kewangan negeri, 70.4 peratus menyatakan Abdul Khalid baik mengurus perbelanjaan kewangan negeri, manakala 24.2 peratus menyatakan sederhana dan hanya 5.4 peratus berpendapat lemah.
Kajian itu menunjukkan responden yakin Abdul Khalid mampu mengurus isu Kerajaan Negeri dengan 62.9 peratus menyatakan baik, 29.4 peratus berpendapat sederhana dan hanya 7.7 peratus menyatakan adalah lemah.
Responden juga menyatakan 73.5 peratus tidak bersetuju bahawa masalah bekalan air Selangor disebabkan oleh Kerajaan Selangor manakala hanya 26.5 peratus menyatakan setuju.
Kajian itu membabitkan 60.3 peratus responden yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan 39.9 peratus berada di luar Kajang iaitu semua 394 responden pelbagai latar belakang yang dijalankan, antara 12 sehingga 16 Mac lalu.
-NFN-