Categories
SELANGOR

Kempen Pengurangan Kompaun MBSA sehingga 80 peratus

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekali lagi menawarkan pengurangan kompaun sehingga 80 peratus kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata tawaran istimewa sepanjang bulan Mac ini khusus bagi memberi peluang kepada orang ramai menjelaskan tunggakan kompaun sebelum dikenakan tindakan tegas.

Katanya, kempen itu juga bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak melengahkan masa untuk menjelaskan bayaran kompaun yang dikenakan ke atas mereka.

“Jadi, kami menyeru orang ramai supaya mengambil peluang kempen pengurangan kompaun selama sebulan ini untuk membuat semakan dan seterusnya menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.

“Mereka boleh membuat bayaran sama ada di kaunter utama MBSA di Shah Alam, pejabat cawangan dan melakukan pembayaran secara atas talian,” katanya dalam satu kenyataan.

MBSA-Shahrin AhmadAntara senarai kompaun yang diberikan pengurangan adalah Undang-Undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2005 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSA) 2007.

Turut diberikan pengurangan kompaun adalah kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Bagaimanapun, pengurangan kompaun itu tidak akan membabitkan kesalahan kompaun di bawah Akta dan juga Undang-Undang Kecil seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (kompaun pembiakan jentik-jentik), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBSA) 1982 & 2007 dan Undang-Undang Pusat Siber dan Kafe Siber 2007.

Orang ramai juga tidak boleh memohon pengurangan kompaun bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kerja Tanah (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing, Kompaun Penundaan serta Amaun Kompaun yang sama atau melebihi RM1,000.

Bagi membuat pembayaran, mereka boleh mengunjungi kaunter MBSA di Tingkat G, Wisma MBSA atau pejabat cawangan yang terletak di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Sementara itu, bagi pembayaran secara atas talian, orang ramai boleh melayari laman web MBSA di www.mbsa.gov.my untuk pembayaran melalui kaedah kad kredit atau FPX.

Untuk sebarang pertanyaan, mereka boleh hubungi Jabatan Pengurusan Hasil dan Pelaburan, MBSA di talian 03-55222882.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.