Oleh: Afix Redzuan
SHAH ALAM, 17 MAC: Kesal dengan kejadian penyalahgunaan dadah dan alkohol dalam Konsert Future Music Festival Asia 2014, Ikram Siswa menggesa Kerajaan Pusat menjalankan sisatan terperinci kes terhadap berkenaan termasuk penganjur konsert.
Ini kerana, konsert tersebut mendapat kritikan hebat memandangkan penggunaan barang terlarang sehingga mengakibatkan enam individu meninggal dunia.
Presidennya, Marwan Abdullah dalam satu kenyataan media berkata, golongan remaja dan belia seharusnya menjauhi serta memerangi penggunaan dadah ini habis-habisan kerana ia memudaratkan semua pihak.
“Digesa jabatan atau agensi yang berkenaan membuat siasatan terhadap semua pihak terlibat termasuk penganjur bagi mengetahui bagaimana boleh terdapat unsur dadah dan alkohol dalam konsert tersebut.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Jelasnya, masyarakat patut beralih mendekati hiburan yang lebih mendidik jiwa dan mengajak kepada nilai kebaikan tanpa ada unsur haram yang boleh memudaratkan masyarakat serta bebas daripada pergaulan bebas.
“Kita juga menyeru masyarakat supaya sepatutnya prihatin menyemarakkan budaya ilmu dan nilai daripada berhibur kerana ilmu yang sebenarnya membina kekuatan sesebuah tamadun atau negara,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, enam individu meninggal dunia sementara tiga lagi kritikal kerana disyaki mengambil dadah secara berlebihan ketika berhibur di konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
EZY