Categories
SELANGOR

Batal konsert, sejak bila polis dengar arahan PR?

Oleh: NAEEM RAFFI

BANGI, 29 APR: Pembatalan konsert ‘Thirst 2015: We Are All Stardust’ adalah keputusan PDRM bukannya rentetan arahan Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya mahu tindakan yang diambil polis daerah Serdang itu dihormati dan tidak dikaitkan dengan Kerajaan Negeri.

“Polis tidak benarkan (konsert) bukan berpunca dari bantahan yang dibuat Adun PAS. Tengok kembali surat polis.

Konsert Future Music Festival Asia 2014“Sejak bila polis dengar arahan Adun PAS? Sejak bila pula polis akur dengan (arahan) PR?,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara (PAnTUMN) 2015 di Dewan Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di sini, semalam.

Pada 24 Mac lalu, Hanim dalam surat bantahannya kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata, pihaknya membantah konsert tajaan syarikat arak Heineken itu ekoran bimbang insiden sama berulang seperti Future Music Festival Asia di Bukit Jalil, tahun lalu yang mengakibatkan kematian enam remaja akibat pengambilan dadah berlebihan.

Pembatalan konsert tersebut kemudian dibuat PDRM dan ia sepatutnya berlangsung, pada 25 April lalu.

Konsert Bukit JalilSementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Ahmad Yunus Hairi turut mempertahankan tindakan Hanim dan berpendapatan semua pihak berhak mengemukakan notis bantahan kerana ia salah satu cara menyuarakan pandangan.

“Siapa saja punya hak sampaikan pandangan mereka selagi tidak berbentuk arahan. Saya tidak melihatnya sebagai arahan dan dalam apa juga keputusan, kita akan melibatkan jabatan berkaitan.

“Dalam isu ini, kita bertindak secara profesional. Walaupun ada surat bantahan daripada Adun dan tindakan daripada jabatan yang ada autoriti (PBT dan PDRM), sudah tentu ia dilihat dari segenap segi,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN patut halang konsert dicemari dadah, alkohol

Oleh: Afix Redzuan

SHAH ALAM, 17 MAC: Kesal dengan kejadian penyalahgunaan dadah dan alkohol dalam Konsert Future Music Festival Asia 2014, Ikram Siswa menggesa Kerajaan Pusat menjalankan sisatan terperinci kes terhadap berkenaan termasuk penganjur konsert.

Ini kerana, konsert tersebut mendapat kritikan hebat memandangkan penggunaan barang terlarang sehingga mengakibatkan enam individu meninggal dunia.

Konsert Bukit JalilPresidennya, Marwan Abdullah dalam satu kenyataan media berkata, golongan remaja dan belia seharusnya menjauhi serta memerangi penggunaan dadah ini habis-habisan kerana ia memudaratkan semua pihak.

“Digesa jabatan atau agensi yang berkenaan membuat siasatan terhadap semua pihak terlibat termasuk penganjur bagi mengetahui bagaimana boleh terdapat unsur dadah dan alkohol dalam konsert tersebut.

“Tindakan tegas perlu diambil supaya perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Jelasnya, masyarakat patut beralih mendekati hiburan yang lebih mendidik jiwa dan mengajak kepada nilai kebaikan tanpa ada unsur haram yang boleh memudaratkan masyarakat serta bebas daripada pergaulan bebas.

“Kita juga menyeru masyarakat supaya sepatutnya prihatin menyemarakkan budaya ilmu dan nilai daripada berhibur kerana ilmu yang sebenarnya membina kekuatan sesebuah tamadun atau negara,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, enam individu meninggal dunia sementara tiga lagi kritikal kerana disyaki mengambil dadah secara berlebihan ketika berhibur di konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

EZY

Categories
NASIONAL

Penganjur konsert tidak sensitif saat negara hadapi musibah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Pihak bertanggungjawab meluluskan konsert Future Music Festival Asia 2014 dikesali kerana dianggap tidak peka kepada situasi sukar dan sedih yang sedang dihadapi negara sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata situasi sukar dan sedih itu bertambah buruk lagi apabila berlaku kejadian lima individu meninggal dunia dan empat lagi kritikal kerana didakwa mengambil dadah berlebihan ketika menghadiri konsert itu, di Bukit Jalil, pada 14 Mac lalu.

“Ketika diberikan gambaran bahawa kita semua prihatin dengan pelbagai masalah khususnya kehilangan pesawat MH370 dan kemarau sehingga terpaksa diadakan catuan air, selain berlakunya kebakaran hutan yang menyebabkan timbulnya jerebu. Sebagai umat Islam, kita mengambil kira kejadian ini adalah peringatan.

khalid samad parlimen tie 01“Pada masa sama, kita adakan program yang jelas hanya hiburan semata-mata dengan unsur maksiat, minuman arak dan dadah, yang mana ini jelas menunjukkan sikap tidak prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.

“Persoalan yang lebih besar bagaimana dadah boleh dibawa masuk dan program yang seperti tidak mempunyai kawalan. Mereka datang untuk berseronok tanpa batas dan ini semua amalan yang menghalang bantuan Allah. Ini amat malang,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Khalid berkata, kejadian kematian dalam konsert akibat dadah itu juga menunjukkan kegagalan kerajaan mencari penyelesaian berkesan untuk membenteras dadah di negara ini.

Konsert Future Music Festival Asia 2014“Sedikit sebanyak, ini boleh dikatakan kegagalan kerajaan untuk mewujudkan suasana yang baik dan selamat bagi rakyatnya. Kerajaan harus mencari jalan bagaimana boleh memperkuatkan lagi penguatkuasaan dan sempadan kita supaya dadah sukar dibawa masuk,” katanya.

Terdahulu, enam individu meninggal dunia, manakala empat lagi dalam keadaan kritikal kerana didakwa mengambil dadah berlebihan iaitu methamphetamine ketika menghadiri konsert berkenaan.

-NFN-