Categories
KENYATAAN MEDIA

Kes PJ Sentral: Dokumen Azmin perlu untuk siasatan dalaman PKNS

Oleh Azlan Md Alifiah 

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang menjalankan penyiasatan dalaman terhadap anak syarikatnya PKNS Holdings Sdn Bhd terutamanya dalam transaksi yang berkaitan projek PJ Sentral Development (PJ Sentral).

Pemangku Pengurus Besar PKNS, Haji Azlan Md Alifiah berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Audit Dalaman PKNS untuk menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan maklumat dan dokumen daripada ahli-ahli lembaga pengarah PKNS Holdings yang mewakili PKNS iaitu YB Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Kita memerlukan maklumat-maklumat ini antara lainnya untuk mengukuhkan kes rayuan PKNS di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan PKNS terhadap Nusa Gapurna Development Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corp  Sdn Bhd  (MRCB) bagi pelanggaran perjanjian pemegang saham ke atas pegangan dalam PJ Sentral.

PKNS juga akan memfailkan injunksi untuk menghentikan Nusa Gapurna dari melengkapkan transaksi jualan saham PJ Sentral kepada MRCB sementara menunggu rayuan.

Projek PJ Sentral melibatkan pembangunan komersil di kawasan seluas  9,854 ekar yang menempatkan Ibu Pejabat PKNS. Pada 6 September 2007, PKNS menjual  8.05 ekar kepada Bisraya Pembinaan Sdn Bhd dan dana itu digunakan bagi membiayai pembangunan Ibu Pejabat PKNS yang baharu di kawasan tanah berbaki itu.

Anak syarikat PKNS iaitu PKNS Holdings (PHSB) telah menjalinkan kerjasama dengan Nusa Gapurna dan membentuk sebuah syarikat untuk membangunkan PJ Sentral dengan pegangan saham 30-70.

Menerusi syarikat kerjasama itu, PHSB telah diwakili oleh YB Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria yang masing-masing merupakan Ahli Lembaga Pengarah sejak dari tahun 2011 dan 2012.

Pada Februari 2013, Nusa Gapurna telah mengadakan perjanjian dengan MRCB untuk menjual 70% pegangan saham dalam PJ Sentral kepada MRCB melalui reverse takeover proposal.

Pada 22 April 2013, Nusa Gapurna mengeluarkan notis kepada PHSB memaklumkan syarikat itu akan terlibat dalam penjualan saham PJ Sentral kepada MRCB dengan harga pertimbangan berjumlah RM85.3 juta.

PHSB kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.

* AZLAN MD ALIFIAH ialah Pemangku Pengurus Besar PKNS

Leave a Reply

Your email address will not be published.