Categories
KENYATAAN MEDIA

Laluan sukar untuk Rekonsiliasi Nasional & Konsensus Nasional

Oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Hari ini mencatat satu lagi titik hitam kepada sistem kehakiman negara.

Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II telah diterima apabila panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi menerima rayuan pendakwaan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas beliau.

Sebaik hukuman ini dibacakan, semangat Rekonsiliasi Nasional yang dicanang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak langsung lebur dan tenggelam bersama arus hipokrasi.

Ternyata semangat palsu ini gagal diterjemahkan dengan jujur sungguhpun Ketua Pembangkang telah menyahutnya dengan agenda Konsensus Nasional.

Detik hitam ini tanpa kita disedari telah mencambah rasa prejudis pendokong dan penyokong KEADILAN khasnya dan Pakatan Rakyat amnya, terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Walau kita akui kepentingan rakyat harus dikedepankan, namun penindasan dan pendakwaan yang bersifat ‘mala fide’ ini terus menyukarkan keadaan dan mengusutkan lagi ruang kematangan berpolitik.

Justeru saya menggesa agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibebaskan terus daripada pendakwaan-pendakwaan yang bersifat serangan peribadi seperti ini.

Malaysia sewajarnya sudah melepasi tahap kematangan berpolitik dan mampu fokus kepada agenda pembangunan negara, bukan lagi serangan-serangan politik kotor yang mensasarkan batang tubuh pemimpin.

Rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat diminta bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan. Konspirasi terancang ini harus diteliti dan ditangani secara bijak dan praktikal.

* Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah Menteri Besar Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.