Categories
SELANGOR

MB: ‘Mala fide’ BN terhadap Anwar leburkan semangat muafakat

SHAH ALAM, 7 Mac: Usaha permuafakatan antara gagasan politik yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan rakyat sebagai mangsa kepada sikap politik keanak-anakan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas ketidakadilan terhadap Anwar sebagai hipokrasi Barisan Nasional.

“Sebaik hukuman ini dibacakan, semangat Rekonsiliasi Nasional yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak langsung lebur dan tenggelam bersama arus hipokrasi.

“Ternyata semangat palsu ini gagal diterjemahkan dengan jujur sungguhpun Ketua Pembangkang menyahutnya dengan agenda Konsensus Nasional,” katanya pada kenyataan, malam ini.

Beliau menyifatkan niat jahat pemerintah itu hanya memburukkan lagi situasi politik negara dan detik hitam itu menunjukkan politik sempit yang menjurus kepada pembunuhan peribadi.

“Detik hitam ini tanpa kita disedari mencambah rasa prejudis pendokong dan penyokong KEADILAN khasnya dan Pakatan Rakyat amnya, terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Walau kita akui kepentingan rakyat harus di kedepankan, namun penindasan dan pendakwaan bersifat ‘mala fide’ terus menyukarkan keadaan dan mengusutkan lagi ruang kematangan berpolitik,” katanya.

Abdul Khalid menggesa Anwar dibebaskan daripada pendakwaan peribadi dan menyeru BN supaya bersaing melalui politik berteras idea dan agenda pembangunan negara.

“Malaysia sewajarnya sudah melepasi tahap kematangan berpolitik dan mampu fokus kepada agenda pembangunan negara, bukan lagi serangan politik kotor yang mensasarkan batang tubuh pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menggesa semua pihak untuk tidak didorong emosi dan bersama menangani konspirasi terhadap Anwar itu secara bijaksana.

“Rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat diminta bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan. Konspirasi terancang ini harus diteliti dan ditangani secara bijak dan praktikal,” katanya.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.