Oleh Fazallah Pit
SHAH ALAM 1 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap meletakkan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai keutamaan berbanding pertandingan peringkat parti yang ditandinginya.
Beliau yang membuat pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR malam tadi, mengingatkan ahli parti supaya terlebih dahulu memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang, kekal di tangan PKR.
“Tak guna perjuang jawatan parti kalau tak dapat pertahan N25 (Kajang). Kekalahan bermakna kejatuhan buat parti kita.
“Saya sama sekali tidak akan mengutamakan diri lebih daripada parti,” katanya ketika membuat pengumuman berkenaan di kediaman rasminya yang dihadiri ratusan penyokongnya, malam tadi.
Berulang kali menegaskan kemenangan PRK Kajang sebagai tumpuan utama, Abdul Khalid berkata, pengukuhan parti jauh lebih penting dari kepentingan mana-mana individu.
Beliau juga mahu PKR terus kukuh dan tidak ketinggalan berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN).
“Jangan heboh sangat pasal pertandingan peringkat parti sampai abaikan PRK Kajang,” katanya.
– FZL