Categories
NASIONAL

MH370: Bentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen, tolak siasatan lepas jumpa kotak hitam

SHAH ALAM, 28 MAC: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang meminta kabinet membuat keputusan menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai pembangkang dalam sidang Parlimen tanpa mengira sama ada kotak hitam ditemui atau tidak.

Katanya, tindakan segera untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai Pembangkang adalah mustahak atas dua sebab.

“Pertama, keyakinan pihak dalam dan luar negara terhadap Malaysia dan Kerajaan Persekutuan akan dapat dipulihkan kerana langkah pembentukan jawatankuasa berkenaan akan memberi mesej jelas bahawa negara tidak cuba menyembunyikan sesuatu dan bersungguh ingin memberi pendedahan lengkap serta telus berkenaan tragedi MH370.

kit siang parlimen 01“Kedua, kerja awal perlu dijalankan dengan segera untuk melancarkan siasatan ke atas tragedi MH370,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily, di sini, hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diketuai pembangkang juga perlu membentuk gugusan siasatan Parlimen berbilang negara berkenaan bencana MH370 yang menyatukan sumber dan kepakaran 26 buah negara kerana Malaysia adalah peneraju operasi SAR.

“Saya menyeru menteri dalam mesyuarat kabinet esok (hari ini) menolak cadangan untuk menjalankan siasatan hanya selepas kotak hitam ditemui.

“Pertama, hal ini menunjukkan bahawa kita seperti ingin menghindari siasatan penuh dan kedua kerana ia akan dilihat dunia sebagai satu percubaan oleh kerajaan Malaysia untuk meneruskan dasar tidak berketanggungjawaban dan telus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.