Categories
SELANGOR

Pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara sokong MoU air

Oleh : LIZAWATI MADFA

KAJANG, 7 MAC: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akhirnya sebulat suara menyatakan persetujuan dan memberi restu kepada Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang ditandatangani kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, kesepakatan itu diambil selepas sesi taklimat khas MoU air yang dijelaskan sendiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di sini, semalam.

Katanya, keputusan itu juga diambil dengan mengambil kira perkara utama iaitu jaminan bahawa rakyat tidak akan terbeban dengan tarif air yang tidak munasabah pada masa hadapan.

KLSCAH HKR 112 Azmin Ali

“Kita mahukan industri air diselaraskan selepas selama ini diuruskan secara tidak selaras dan berasingan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 200 hadirin sewaktu majlis pelancaran Bilik Gerakan PR di Daerah Sungai Kantan, di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau turut menyertai perbincangan bersama Abdul Khalid dengan pimpinan PR yang lain iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Minggu lalu, MoU penstrukturan air dimeterai antara kerajaan Selangor dan kerajaan pusat yang membolehkan pengambilalihan ekuiti empat syarikat konsesi air yang menerima pampasan RM9.65 bilion.

Ia penting bagi mengelakkan tarif air meningkat hingga sehingga 70 peratus seperti yang didesak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebelum ini.

Beberapa pimpinan PR sebelum ini dilihat tidak bersetuju dengan MoU yang ditandatangi Abdul Khalid dan kerajaan pusat yang diwakili  Menteri di Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.