Oleh: NAZLI IBRAHIM
PETALING JAYA, 29 MAC: Sehingga jam 1.00 tengah hari tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu-satunya calon yang sudah menghantar borang pencalonan bagi bertanding untuk jawatan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kali ini.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga sudah menghantar borang bagi jawatan nombor dua parti itu.
Enam nama yang sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden kali ini, Datuk Mansor Othman, Fuziah Salleh, Surendran, Suresh Kumar, Mustaffa Kamil Ayub dan Baru Bian.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzli, berkata pada masa ini proses penamaan calon Pemilihan PKR yang bakal ditutup jam 5.00 petang nanti berjalan lancar dan meriah.
“Penamaan calon akan ditutup pada jam 5.00 petang ini dan kita dapati prosesnya berjalan lancar serta meriah dengan kain rentang calon serta ada yang memakai lencana,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Wan Azizah ketika menyentuh isu sama berharap pertandingan kali ini dijalankan dalam suasana kekeluargaan dan calon diingatkan atidak membuka ruang untuk anasir jahat daripada luar mengambil kesempatan memecah belahkan keharmonian parti.
“PKR sentiasa meraikan calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini. Harapan saya semoga berjalan dalam suasana penuh kekeluargaan, sekali gus menyuburkan demokrasi dalam PKR,” katanya.
-NFN-