SHAH ALAM 2 MAC: Sikap boros diamalkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi punca kemelut ekonomi dan beban kewangan yang ditanggung rakyat.
Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata perbelanjaan yang berlebih-lebihan menjadi salah satu punca negara dan rakyat terpaksa menangung kemelut ekonomi yang teruk.
Kata Tian, tindakan Najib membayar jutaan ringgit kepada perunding luar negara selain mengeluarkan belanja besar bagi penggunaan pesawat mewah adalah pembaziran.
“Tindakan Najib gemar membazirkan dan menggunakan wang kerajaan sewenangnya, sedangkan rakyat menanggung tekanan ekonomi hasil daripada langkah kerajaan menarik balik subsidi dan menaikkan harga barang.
“Ini akibatnya apabila pentadbiran negara dan kewangan tidak dijalankan secara cekap, pemimpin boros membelanjakan wang rakyat melalui tindakan tidak jelas hasil dan manfaatnya,” kata Tian dipetik Keadilan Daily.
Beliau merujuk laporan portal Indonesia baru-baru ini yang mencatatkan kedudukan Najib Razak dalam carta ‘top 5′ pemimpin dunia yang berbelanja paling boros.
Najib juga dilaporkan sebaris dengan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang akan merayakan ulang tahun ke-90 pada tahun ini dengan biaya Rp 11,8 miliar.
EZY