Oleh : AFIX REDZUAN
KAJANG, 21 MAC: Calon Pakatan Rakyat (PR) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengharapkan keberkatan hari Jumaat supaya diberikan kemenangan, pada 23 Mac ini.
Dengan nada tenang, beliau menyeru penyokong mendoakan kejayaan PR untuk terus berusaha membawa perubahan dan melawan kezaliman.
“Hari ini jumaat, antara dua khutbah itu berdoalah untuk kemenangan. Bukan untuk kita, bukan untuk saya, bukan untuk Anwar tetapi untuk negara kita.
“Kemenangan itu adalah untuk perubahan kita bersama,” katanya pada majlis sarapan pagi ‘Nasi Lemak Kopi O’ bertempat di Restoran MZ Sri Tanjung, Sungai Jelok, di sini, hari ini.
Majlis anjuran PAS Pandan itu diketuai ADUN Cempaka, Iskandar Abdul Samad, selain turut dihadiri ADUN Bangi, Shafie Ngah; Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah dan ADUN Sri Andalas, Xavier Jayakumar.
Pada masa sama, Wan Azizah menjelaskan, beliau dimaklumkan berkenaan sabotaj terhadap papan tanda dan poster kempen calon bertanding.
Katanya, PR menolak semua bentuk provokasi termasuk melempar cat merah.
“Kita tidak main baling cat merah. Kita berbincang, berbahas mengenai isu dan itu yang penting.
“Saya masih ingat mereka baling cat merah kepada bas, baju melayu Anwar habis kena cat,” katanya.
Beliau mengambil kesempatan bersalaman dan bergambar bersama pengunjung restoran serta meluangkan masa bersama penduduk setempat pad aprogram berkenaan.
-NFN-