Categories
BERITA UTAMA

‘Rencana Kajang’ versi UMNO semarakkan Reformasi 2.0

Oleh: Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Pendahuluan

Dalam kegelisahan dan ketidaktentuan berhubung insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang menuju ke Beijing, China sejak 8 Mac 2014, ahli keluarga dan kenalan kepada seramai 239 penumpang dan anak kapal pesawat telah cukup menderita menanti-nantikan berita.

Malahan, juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah yang berusia 53 tahun dituduh sebagai penyokong fanatik politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka timbulnya kecurigaan menaruh syak wasangka terhadap krew anak kapal tersebut bahawa dia berkemungkinan merampas pesawat tersebut dan menyebabkan kehilangan pesawat sebagai “protes politik” ekoran kehampaan terhadap hukuman terhadap Anwar Ibrahim pada 7 Mac 2014, sehari sebelum MH370 lenyap begitu sahaja tanpa sebarang kesan.

Logo-KPRUiiiDemikianlah Anwar Ibrahim sekali lagi dipersalahkan, seolah-olah sebanyak 239 nyawa berharga tanpa ternilai tersebut digadaikan kerana Anwar Ibrahim. Semua salah Anwar!?

Selepas tercetusnya insiden kehilangan pesawat MH370, kesemua perhatian tertumpu pada peristiwa tersebut.

Bahawasannya, Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berprihatin dengan perkembangan usaha pencarian pesawat MH370 yang penuh dengan misteri. Walau bagaimanapun, KPRU berpendapat bahawa perjalanan dan keputusan kes rayuan terhadap kes fitnah II Anwar Ibrahim, membawa implikasi yang tidak terukur terhadap keadilan dan kesaksamaan badan kehakiman dan sistem perundangan negara ini, bahkan juga menghambatkan perkembangan sistem demokrasi dan pembentukan landskap politik sistem dwi-parti turut harus dititikberatkan.

Betapa janggalnya, Anwar Ibrahim dipancarkan cahaya semula setelah munculnya “penemuan” bahawa juruterbang MH 370 berkaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan khususnya sebagai penyokong beliau.

Roda masa terus mara melangkah ke hadapan tanpa berpatah balik, sejarah diingati dan dijadikan iktibar tetapi tidak mandir. Namun, pada 7 Mac 2014, rakyat Malaysia sekali lagi menyaksikan pengulangan sejarah sedih pilu, seolah-olah kembali ke tahun 1998.

Anwar Ibrahim sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara dengan begitu gegas sekali ekoran kejayaan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafee Abdullah dalam Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2012. 7 Mac sekali lagi menandakan hari kegelapan Badan Kehakiman di Malaysia.

Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut mengejutkan sekali, khususnya berhubung dengan perjalanan kehakiman yang tidak masuk akal. Ia serta-merta menimbulkan kontroversi, bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan, malahan di arena antarabangsa.

Pemimpin-pemimpin luar negara, termasuk Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, Gabenor Bangkok Sukumbhan Paribatra, bekas Presiden Indonesia Yusuf Habibie, serta cendekiawan Islam terkemuka Dr Yusul al-Qaradawi masing-masing membuat panggilan telefon kepada Anwar Ibrahim bagi melahirkan keprihatinan berhubung ketetapan mahkamah yang tergegas tersebut.

Tambahan pula, Anwar Ibrahim turut dikunjungi oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Yun bersama dengan pegawai politiknya di kediaman beliau untuk menunjukkan keprihatinan mereka dan komited untuk menyampaikan hal tersebut kepada Presiden Obama secepat mungkin.[1]

Pada pendapat KPRU, keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac itu sesungguhnya ‘Rencana Kajang’ (Kajang Move) versi UMNO yang bertujuan merampas kembali prakarsa daripada tangan Pakatan Rakyat (PAKATAN) atau secara khusus KEADILAN yang mengambil inisiatif untuk membentuk lanskap politik Malaysia melalui Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

Dalam artikel KPRU bertajuk ‘’Kajang Move’ kickstarts PAKATAN’s Road to Putrajaya 2.0’ [2]sebelum ini, KPRU telah menunjukkan bahawa Rencana Kajang merupakan langkah strategik yang diambil oleh PAKATAN dengan mengadakan peraturan sendiri dan muncul sebagai ‘game master’ tanpa diduga UMNO BN.

UMNO BN kini yang ketangkusan idea untuk bertindak balas secara bertamadun melalui politik pilihan raya, maka pemimpin PAKATAN terpaksa dijadikan sebagai sasaran serangannya, seolah-olah dengan tindakan menumbangkan pemimpin-pemimpin PAKATAN, perjalanan PAKATAN menuju ke Putrajaya akan menemui jalan buntu, maka UMNO akan menguasai tampuk pemerintahan buat selama-lamanya tanpa cabaran.

Selepas Anwar Ibrahim, siapa lagi?

Pada hakikatnya, ia bukan sesuatu yang aneh dan ganjil apabila badan kehakiman dipergunakan untuk mengenakan pemimpin yang tidak bersehaluan politik dengan UMNO. Pada 23 Januari tahun ini juga, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dijatuhkan hukuman penjara 1 bulan dan denda RM1,000 selepas didapati bersalah tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraya Malaysia (Pulapol), 2 tahun lalu.

Walau bagaimanapun, ketetapan mahkamah tersebut tidak menjejaskan kelayakan Tian Chua sebagai ahli parlimen, kerana menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz, kelayakan sebagai ahli parlimen hanya akan hilang sekiranya mereka yang berkenaan dihukum penjara lebih setahun dan denda RM2,000.

Namun, bagi Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh pula, beliau berkemungkinan berhadapan dengan kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen akibat didapati bersalah atas kesalahan menghasut dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac, iaitu 4 hari selepas rakan sepejuangannya, yang juga merupakan anak gumannya, disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun.

KPRU menjangka bahawa lebih ramai pemimpin PAKATAN atau aktivis sivil berprofil tinggi bakal diambil tindakan undang-undang, di antaranya termasuklah Tian Chua, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Hishamuddin Rais dan sebagainya.

Sesungguhnya, pada tahun 2001 selepas Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara, rakyat Malaysia pernah menyaksikan tindakan kuku besi yang diambil oleh Kerajaan pada masa itu di bawah genggaman bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad yang menguasai pentadbiran Malaysia selama 22 tahun sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Menurut laporan Human Rights Watch pada tahun 2004, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah digunakan untuk sekali gus meredamkan suara bantahan terhadap penahanan Anwar Ibrahim yang semakin kuat di kalangan masyarakat.

Dalam tempoh 2 minggu sahaja, seramai 10 orang aktivitis berprofil tinggi, termasuklah aktivitis hak asasi manusia Badaruddin Ismail, aktivis sosial dan bekas pemimpin pelajar Hishamuddin Rais, pemimpin kanan KEADILAN seperti Tian Chua dan lain-lain lagi, telah diheret dengan alasan bahawa protes kekerasan berniat menggulingkan kerajaan telah dirancang, malahan terdapatnya pencubaan untuk mendapatkan senjata dan bahan letupan.[3]

Kini, memandangkan nasib yang menimpa Anwar Ibrahim, Tian Chua dan Karpal Singh, tindakan seterus yang bakal diambil oleh Najib yang begitu terdesak mempertahankan kedudukannya dalam parti UMNO adalah tidak sukar diduga.
Persoalannya, adakah rakyat jelata rela lagi sudi didiamkan dan dieksploitasi serta dimanipulasi oleh rejim kejam ini selamanya dan sudi mengakur kepada segala perbuatan yang tidak munasabah lagi membelakangi prinsip keadilan? Ataupun, pengamal-pengamal undang-undang dalam badan kehakiman yang sepatutnya menjunjung tinggi prinsip keadilan sudi dijadikan alat kerajaan dengan buta hati sekadarnya bagi menentang mereka yang tidak berpolitik sehaluan?

Krisis MH307 membayangkan ketidakupayaan pentadbiran Najib

Pada keesokan hari kes rayuan berkaitan Anwar Ibrahim digegaskan dan ditetapkan keputusannya, masyarakat sejagat dunia pula tergegar dengan misteri kehilangan pesawat MAS MH370, yang sehingga kini masih tidak ditemui.

Apa yang lagi mendukacitakan, kecekapan kerajaan dalam menangani krisis tersebut telahpun menimbulkan pertikaian di arena antarabangsa.

Pada pandangan KPRU, sesungguhnya kebenaran dan ketepatan liputan-liputan media antarabangsa seharusnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum kesimpulan dibuat dengan sewenang-wenangnya, namun adalah sukar menafikan bahawa prestasi Malaysia dalam mengendalikan insiden kehilangan pesawat MH370 yang membawa sebanyak 239 penumpang termasuk krew pesawat patut diperbaiki dan ditambahbaikkan.

Dari segi pengendalian krisis yang kekurangan profesionalisme, perhubungan awam yang lemah, penyebaran maklumat yang kekurangan effisiensi, sehinggalah pemeriksaan imigresen yang longgar, aspek-aspek tersebut seolah-olah membayangkan pelbagai penyakit kronik yang lama dijangkiti dan membelenggu negara Malaysia selama ini tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan rapi, malahan tidak dipandang serius sekali pun.

Rupa-rupanya, pelan transformasi bercita-cita tinggi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Wawasan 2020 yang dipandu oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir yang senantiasa disanjung tinggi dan dikagumi, sekadarnya solekan bagi menyembunyikan muka pucat lesi.

Masih ingatkah kita terhadap pesanan mantan Perdana Menteri Tun Ahmad Abdulllah Badawi bahawa, tidak cukup sekadar mempunyai infrastruktur kelas dunia pertama, kita juga perlukan minda kelas dunia pertama untuk terus maju ke depan?

Adakah pemimpin Negara ini, termasuklah Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinetnya terlalu sibuk berpolitik sehingga mengaibkan transformasi yang menuju ke mercu Wawasan 2020?

Kes Fitnah yang tidak berhujung

Anwar Ibrahim telahpun mengalami gangguan yang begitu konsisten daripada pihak pemerintah selama bertahun-tahun, malahan secara terang-terangan demi meredam atau memiutkan suara ketidakpuasan dan bantahan terhadap rejim menindas ini.

Saga berterusan antara kerajaan dengan beliau pula sering membabitkan mahkamah. Nyata sekali, kes Fitnah I dan II adalah tindakan politik yang menyamar sebagai prosedur undang-undang, ia adalah lebih kepada ‘penganiayaan bermotifkan politik’ daripada ‘pendakwaan’ (persecution instead of prosecution).

Dalam kes rayuan yang baru-baru diputuskan dan menyabitkan kesalahan Anwar Ibrahim serta menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun tersebut, terdapat pelbagai keraguan yang harus diberi penekanan, khususnya berhubung dengan tindakan tergesa-gesa mempercepatkan kes rayuan tersebut:-

Prosiding mahkamah yang tergesa-gesa

Pada asalnya, kira-kira 2 minggu sebelum pendengaran kes tersebut diadakan, iaitu pada 21 Februari, pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan telah memaklumkan kepada pejabat pegum bela untuk mengosongkan tempoh antara 7 hingga 10 April bagi pendengaran kes tersebut dan pegum bela pun bersetuju dengan tarikh tersebut.

Namun, pada 27 Februari, defendan dimaklumkan bahawa kes rayuan tersebut akan didengar pada 6 dan 7 Mac 2014, malah peguam bela Karpal Singh hanya mendapat notis 7 hari untuk membuat persediaan.

Di samping itu, prosiding kes tersebut didengar sehingga pukul 6 atau 7 petang pada kedua-dua hari, malahan Majlis Peguam pun menyifatkan prosiding sebegini adalah amat jarang berlaku.

Lazimnya, Mahkamah Rayuan akan menangguhkan penghakiman selama beberapa hari mahupun beberapa bulan sebelum membuat keputusan, terutamanya bagi prosiding perbicaraan yang bertempoh panjang dan melibatkan isu besar.

Dalam kes rayuan Anwar Ibrahim pula, Hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil kira-kira 90 minit untuk mempertimbangkan penghujahan dan kemudian menetapkan keputusan sebulat suara untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Septermber 2012 yang membebaskan Anwar Ibrahim tanpa disabit kesalahan, pada kira-kira pukul 5 petang.

Selepas itu, pihak pendakwa dan Mahkamah Rayuan masih bertegas meneruskan pendengaran mitigasi dan hukuman, sedangkan lazimnya mahkamah akan ditangguh pada pukul 5 petang.

Peguam Karpal Singh telah minta agar Mahkamah ditangguh sehingga minggu berikutnya bagi mendapatkan laporan perubatan mengenai keadaan kesihatan defenden memandangkan ia adalah relevan dalam mempertimbangkan hukuman yang bakal dikenakan terhadap anak guamannya.

Namun demikian, Mahkamah Rayuan menolak permintaan tersebut dan hanya memberi masa satu jam kepada peguam defenden bagi penyediaan mitigasi dan hukuman. Pada kira-kira pukul 7 petang, Mahkamah Rayuan pun menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar Ibrahim.

Perjalanan dan ketetapan Mahkamah Rayuan telah menimbulkan kecurigaan sama ada ia dirancangkan awal lagi bagi merampas hak Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon dalam PRK DUN Kajang pada 11 Mac 2014, di mana hari pengundian ditetapkan pada 23 Mac

Integriti bukti yang dipertikaikan

Tumpuan utama pihak pendakwa dan peguam defenden bergantung pada integriti bukti, iaitu sampel air mani, memandangkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mendapati ia tidak selamat untuk membuat sabitan kerana sampel itu mungkin telah diganggu dan lalu membebaskan Anwar Ibrahim.

Menurut Danthong Breen dari Union for Civil Liberty, Bangkok, keadaan keaslian bukti DNA seperti yang didakwa oleh ahli kimia Dr. Seah Lay Hong adalah konflik dengan jangkaan kerosakan yang mungkin berlaku akibat kelewatan yang tidak dapat dijelaskan dalam keseluruhan proses pemeriksaan DNA.

Tambahan pula, pemeriksaan yang dijalankan oleh ahli kimia juga mengesan DNA pihak ketiga selain daripada DNA Mohd Saiful Bukhari dan Anwar Ibrahim dalam sampel tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa sampel tersebut sememangnya telah dikontaminasi.

Selain itu, dalam prosiding perbicaraan pada 6 dan 7 Mac, sekurang-kurangnya seorang pakar dalam bukti DNA sepatutnya bersiap sedia untuk menjawab pertanyaan teknikal mengenai bukti tersebut, memandangkan prosiding tersebut sememangnya tertumpu pada isi teknikal bukti DNA.

Dukacitanya, Mahkamah Rayuan hanya membincangkan pendapat-pendapat Timbalan Pendakwa RAYA Noorin Badaruddin mengenai fakta-fakta kes dengan begitu tergesa-gesa dan pantas sekali, malah ulasan-ulasan tersebut tidak dapat dinilai oleh sesiapa dalam mahkamah disebabkan pengetahuan teknikal yang terhad.

Akhirnya, Hakim Datuk Balia Yusof Wahi telah memutuskan bahawa defenden bersalah atas pertuduhan dan keputusan tersebut adalah keputusan sebuat suara panel hakim. Penting sekali, Hakim Mahkamah Rayuan itu menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat tafsiran salah berhubung integriti sampel, justeru membuat kesilapan dalam keputusan sebelum itu.

Pendakwa yang berkepentingan peribadi: Siapakah Shafee Abdullah?

Selain daripada permasalahan teknikal berkaitan pengesahan DNA dan sebagainya, satu lagi aspek yang tidak harus terlepas tumpuan adalah mengenai pelantikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafee Abdullah bagi mewakili pihak pendakwa, iaitu pihak kerajaan.

Untuk makluman umum, Shafee merupakan seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO, di mana beliau ialah Penasihat Perundangan (Legal Advisor) bagi UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia, masing-masing sejak tahun 1996 dan 1998 sehingga kini, seperti yang ditunjukkan dalam vitae kurikulumnya yang terpapar dalam laman sesawang ASEAN.

Tambahan pula, beliau pernah mewakili beberapa pemimpin UMNO dalam kes mahkamah terdahulu, misalnya menjadi peguambela bagi bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam satu kes fitnah, dan sebagai peguam bagi Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kes Datuk T.Beliau juga didakwa pernah dilantik oleh Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor untuk tugasan sulit di luar negara antara 2 hingga 25 April 2012.

Dalam kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan membebaskan Anwar Ibrahim, secara spesifiknya, pertikaian terhadap pelantikan Shafee wujud bukan sekadarnya disebabkan hubungan rapat beliau dengan UMNO, tetapi juga kerana kepentingan peribadinya dalam kes tersebut.

Shafee adalah antara individu yang hadir ketika Saiful Bukhari Azlan, iaitu “mangsa yang mendakwa diliwat”, bertemu Najib Razak di kediaman Perdana Menteri. Meninjau kembali pemecatan Anwar Ibrahim dan juga kes fitnah I pada tahun 1998, Shafee pada ketika itu memainkan peranan sebagai penasihat kepada Mahathir.

Selaku salah seorang penguambela bagi Anwar Ibrahim, Sivarasa Rasiah yang juga merupakan Ahli Parlimen Subang, pernah membuat aduan bahawa Shafee telah melanggar, antara lain, Peraturan 3, 4, 5, 10, 16, 17, 18, 28, dan 36 Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 dengan menerima fiat Peguam Negara untuk bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes Mahkamah Rayuan terhadap Anwar Ibrahim.

Selain itu, Naib Pengerusi KEADILAN, N. Surendran juga mempersoalkan keputusan pelantikan Shafee sebagai pendakwa raya dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana tidak pernah dalam sejarah perundangan Komanwel seseorang berstatus seperti Muhammad Shafee (peguam peribadi Perdana Menteri) dilantik sebagai pendakwa raya, malah hal tersebut bakal mengakibatkan keyakinan umum terhadap sistem kehakiman negara semakin parah.

Kini, kes rayuan terhadap kes fitnah II pun diputuskan dan malangnya, Anwar Ibrahim sekali lagi disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

Kebimbangan dan keraguan pengamal-pengamal undang-undang terhadap kredibiliti Shafee pula menjadi disahkan menjadi kenyataan.

Menarik sekali, Tan Sri Muhammad Shafee pernah mendedahkan keinginannya untuk memegang jawatan penasihat undang-undang Negara dan pendakwa raya.

Persoalannya, adakah kejayaan Shafee dalam memenangi kes rayuan terhadap kes fitnah II dan memaksa Anwar Ibrahim sekali lagi “kembali” ke penjara, malahan sekali gus menamatkan riwayat politik Ketua Pembangkang yang dipandang sebagai “musuh utama UMNO” bakal dibalas budi dengan jawatan Peguam Negara yang diimpi-impikan beliau?

Kenaikan pangkat Hakim dan Pendakwa Raya kes fitnah Anwar Ibrahim

Sesungguhnya, kajian selanjutnya yang dibuat oleh KPRU telah mendapati perkembangan yang amat menarik sekali, bahawa tiga orang hakim yang terlibat dalam perbicaraan kes fitnah Anwar Ibrahim pada tahun 2003 lalu telah dinaikkan pangkat, secara kebetulan.

Dua Hakim Mahkamah Tinggi, iaitu Augustine Paul dan Arifin Jaka yang merupakan antara 4 hakim Mahkamah Tinggi telah dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Hakim di Mahkamah Rayuan, Pajan Singh Gill yang menolak permohonan ikat jamin Anwar Ibrahim mengenai kes fitnah I juga dinaikkan pangkat menjadi Hakim di Mahkamah Persekutuan.Abdul Gani Patail, iaitu Peguam Negara sejak tahun 2002 sehingga kini, turut terlibat dalam kes fitnah I Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Kanan Pendakwa Raya.

Merenung kembali, Abdul Gani pernah didakwa memalsukan keterangan dalam kes “mata hitan” Anwar Ibrahim pada 1998. Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Mat Zain Ibrahim sebelum ini mengesahkan bukti-bukti yang digunakan terhadap Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah 1998 dipalsukan.

Beliau yang menyiasat insiden mata lebam Anwar Ibrahim juga pernah membuat pendedahan dalam surat-surat terbukanya kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Beliau mengesahkan pemalsuan bukti itu dilakukan pegawai penyiasat polis pada masa itu, Tan Sri Musa Hassan dan ketua pasukan pendakwa raya, Tan Sri Abdul Gani Patail. [8]

Selain itu, Augustine Paul pula bertanggungjawab mengendalikan kes rasuah yang membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang bermula pada November 1998.

Dalam tempoh perbicaraan, nama Hakim Mahkamah Tinggi tersebut senantiasa muncul dalam liputan media berikutan keputusan yang “tidak relevan” ditetapkan oleh beliau. Beliau menjatuhkan hukuman 6 tahun terhadap Anwar Ibrahim.

Pada tahun 2003, Augustine Paul telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan pada tahun 2005 pula dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Hakim Arifin Jaka – Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 9 tahun terhadap Anwar Ibrahim pada 8 Ogos 2000, selepas menetapkan bahawa Anwar Ibrahim disabit kesalahan melibat bekas pemandu keluarganya – dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada tahun 2003.

Akhir sekali, Hakim Pajan Singh yang merupakan antara 3 hakim yang menolak kes rayuan Anwar Ibrahim pada April 2003 turut dilantik sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2003, iaitu selepas 4 bulan berlalunya kes rayuan Anwar Ibrahim.

Melihat kembali sejarah hitam tersebut. Melihat kepada perkembangan sistem kehakiman dan keadilan negara yang penuh dengan kemusyikilan, tidak susah untuk kita fahami, mengapa gerakan Reformasi 2.0 bakal dilancarkan jumaat (21 Mac 2014) ini di Stadium Kajang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.