Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapa Bersih 4 dan mana martabat Parlimen Malaysia?

Oleh: OOI HENG

Setelah rombakan kabinet yang penuh kontroversi dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai 2015, salah satu hujah utama yang dilontarkan untuk mempertahankan tindakan drastik ini adalah bahawa tindakan seeumpama mematuhi prinsip kebertanggungjawaban kolektif (collective responsibility).

Hujah ini sah. Tiada pertikaian. Prinsip kebertanggungjawaban kolektif mendasari sistem parlimen berdemokrasi yang dipraktiskan oleh sistem perundangan di Malaysia. Malahan, perlembagaan persekutuan juga memaktubkan betapa pentingnya prinsip ini dihayati oleh cabang-cabang kuasa merangkumi kabinet dan parlimen Malaysia.

Apa yang menjadi pertikaian adalah, prinsip kebertanggungjawaban kolektif mempunyai tiga komponen yang mencorakkan makna sebenar pengoperasian kabinet dan parlimen. Sedangkan hujah yang dipropagandakan sebagai hujah arus perdana selama ini hanyalah menyentuh satu komponen dan mengetepikan dua komponen yang lain.

Tiga komponen yang dimaksudkan di sini ialah:

Pertama, berlainan dengan sistem presidential di mana warganegaranya memilih kedua-dua ahli kongres dan Presiden, dalam sistem kabinet yang dipraktis di Malaysia, rakyat memilih ahli Parlimen.

Selepas itu, parti atau gabungan parti yang memegang majoriti kerusi di parlimen membentuk kabinet. Perdana Menteri lahir daripada parti atau gabungan parti yang memegang majoriti kerusi dan melantik anggota kabinetnya.

Kedua, setelah dibentuk kabinet, ahli parlimen yang merupakan anggota kabinet dibezakan daripada ahli parlimen yang lain. Hal ini kerana anggota kabinet secara kolektifnya mewakili cabang eksekutif sedangkan ahli parlimen yang lain, secara kolektifnya, mewakili cabang perundangan.

Maka, dalam perbincangan prinsip kebertanggungjawaban kolektif, harus diingatkan bahawa Perdana Menteri diberi kuasa membentuk kabinetnya, dan kemudian, kabinet ini harus bertanggungjawab secara kolektif kepada parlimen.

Hal ini juga bermaksud, semua ahli parlimen, merangkumi ahli parlimen pihak pemerintah, pihak “bebas” dan pihak oposisi, mewakili parlimen dan harus berdepan dengan kabinet secara kolektif juga.

Jangan kerana Malaysia belum pernah mengalami pertukaran parti atau gabungan parti pemerintah di peringkat persekutuan, ahli parlimen backbencher terlalu asyik melihat diri sebagai sebahagian daripada parti atau gabungan parti pemerintah sehingga mengetepikan peranan sebenar ahli parlimen backbencher.

Ketiga, prinsip kebertanggungjawab kolektif cuba mengingatkan anggota kabinet bahawa kuasa mereka diamanahkan oleh rakyat dan pada masa yang sama, proses demokrasi yang menyaksikan kabinet lahir daripada parlimen melalui pilihan raya bermakna, legitimasi pengoperasian kabinet bergantung kepada sejauh mana kabinet mempraktiskan prinsip ini dalam keseluruhannya, khususnya apabila seorang Perdana Menteri dilanda kontroversi.

Hal ini bermaksud, daripada kuasa Perdana Menteri melantik anggota kabinet, kepada kuasa parlimen menyemak kuasa kabinet, dan kuasa rakyat menuntut letigimasi kabinet dan parlimen dipertahankan melalui perhimpunan jalanan secara aman, ketiga-tiga kuasa tersebut memenuhi semangat sistem demokrasi berparlimen yang dipraktiskan di Malaysia.

Hal ini juga bermaksud, Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos 2015, menonjolkan gerakan rakyat mempraktiskan dan melengkapkan prinsip kebertanggungjawaban kolektif dalam konteks demokrasi berparlimen.

Kes 1MDB dan RM2.6 bilion telah memalukan Malaysia di persada antarabangsa. Rakyat Malaysia berada di seluruh pelosok dunia. Pada ketika kabinet berdepan dengan krisis legitimasinya, kebangkitan rakyat yang cintakan Malaysia dapat mengembalikan maruah Malaysia dan mengangkat martabat parlimen, sekali gus menyelesaikan krisis legitimasi dalam konteks dan proses demokrasi berparlimen.

Saudara saudari ahli parlimen backbencher, mari kita bersama-sama bertemu di perhimpunan Bersih 4.

# Ooi Heng adalah Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Categories
BERITA UTAMA

‘Rencana Kajang’ versi UMNO semarakkan Reformasi 2.0

Oleh: Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Pendahuluan

Dalam kegelisahan dan ketidaktentuan berhubung insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang menuju ke Beijing, China sejak 8 Mac 2014, ahli keluarga dan kenalan kepada seramai 239 penumpang dan anak kapal pesawat telah cukup menderita menanti-nantikan berita.

Malahan, juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah yang berusia 53 tahun dituduh sebagai penyokong fanatik politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka timbulnya kecurigaan menaruh syak wasangka terhadap krew anak kapal tersebut bahawa dia berkemungkinan merampas pesawat tersebut dan menyebabkan kehilangan pesawat sebagai “protes politik” ekoran kehampaan terhadap hukuman terhadap Anwar Ibrahim pada 7 Mac 2014, sehari sebelum MH370 lenyap begitu sahaja tanpa sebarang kesan.

Logo-KPRUiiiDemikianlah Anwar Ibrahim sekali lagi dipersalahkan, seolah-olah sebanyak 239 nyawa berharga tanpa ternilai tersebut digadaikan kerana Anwar Ibrahim. Semua salah Anwar!?

Selepas tercetusnya insiden kehilangan pesawat MH370, kesemua perhatian tertumpu pada peristiwa tersebut.

Bahawasannya, Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berprihatin dengan perkembangan usaha pencarian pesawat MH370 yang penuh dengan misteri. Walau bagaimanapun, KPRU berpendapat bahawa perjalanan dan keputusan kes rayuan terhadap kes fitnah II Anwar Ibrahim, membawa implikasi yang tidak terukur terhadap keadilan dan kesaksamaan badan kehakiman dan sistem perundangan negara ini, bahkan juga menghambatkan perkembangan sistem demokrasi dan pembentukan landskap politik sistem dwi-parti turut harus dititikberatkan.

Betapa janggalnya, Anwar Ibrahim dipancarkan cahaya semula setelah munculnya “penemuan” bahawa juruterbang MH 370 berkaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan khususnya sebagai penyokong beliau.

Roda masa terus mara melangkah ke hadapan tanpa berpatah balik, sejarah diingati dan dijadikan iktibar tetapi tidak mandir. Namun, pada 7 Mac 2014, rakyat Malaysia sekali lagi menyaksikan pengulangan sejarah sedih pilu, seolah-olah kembali ke tahun 1998.

Anwar Ibrahim sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara dengan begitu gegas sekali ekoran kejayaan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafee Abdullah dalam Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2012. 7 Mac sekali lagi menandakan hari kegelapan Badan Kehakiman di Malaysia.

Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut mengejutkan sekali, khususnya berhubung dengan perjalanan kehakiman yang tidak masuk akal. Ia serta-merta menimbulkan kontroversi, bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan, malahan di arena antarabangsa.

Pemimpin-pemimpin luar negara, termasuk Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, Gabenor Bangkok Sukumbhan Paribatra, bekas Presiden Indonesia Yusuf Habibie, serta cendekiawan Islam terkemuka Dr Yusul al-Qaradawi masing-masing membuat panggilan telefon kepada Anwar Ibrahim bagi melahirkan keprihatinan berhubung ketetapan mahkamah yang tergegas tersebut.

Tambahan pula, Anwar Ibrahim turut dikunjungi oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Yun bersama dengan pegawai politiknya di kediaman beliau untuk menunjukkan keprihatinan mereka dan komited untuk menyampaikan hal tersebut kepada Presiden Obama secepat mungkin.[1]

Pada pendapat KPRU, keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac itu sesungguhnya ‘Rencana Kajang’ (Kajang Move) versi UMNO yang bertujuan merampas kembali prakarsa daripada tangan Pakatan Rakyat (PAKATAN) atau secara khusus KEADILAN yang mengambil inisiatif untuk membentuk lanskap politik Malaysia melalui Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

Dalam artikel KPRU bertajuk ‘’Kajang Move’ kickstarts PAKATAN’s Road to Putrajaya 2.0’ [2]sebelum ini, KPRU telah menunjukkan bahawa Rencana Kajang merupakan langkah strategik yang diambil oleh PAKATAN dengan mengadakan peraturan sendiri dan muncul sebagai ‘game master’ tanpa diduga UMNO BN.

UMNO BN kini yang ketangkusan idea untuk bertindak balas secara bertamadun melalui politik pilihan raya, maka pemimpin PAKATAN terpaksa dijadikan sebagai sasaran serangannya, seolah-olah dengan tindakan menumbangkan pemimpin-pemimpin PAKATAN, perjalanan PAKATAN menuju ke Putrajaya akan menemui jalan buntu, maka UMNO akan menguasai tampuk pemerintahan buat selama-lamanya tanpa cabaran.

Selepas Anwar Ibrahim, siapa lagi?

Pada hakikatnya, ia bukan sesuatu yang aneh dan ganjil apabila badan kehakiman dipergunakan untuk mengenakan pemimpin yang tidak bersehaluan politik dengan UMNO. Pada 23 Januari tahun ini juga, Ahli Parlimen Batu Tian Chua dijatuhkan hukuman penjara 1 bulan dan denda RM1,000 selepas didapati bersalah tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraya Malaysia (Pulapol), 2 tahun lalu.

Walau bagaimanapun, ketetapan mahkamah tersebut tidak menjejaskan kelayakan Tian Chua sebagai ahli parlimen, kerana menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz, kelayakan sebagai ahli parlimen hanya akan hilang sekiranya mereka yang berkenaan dihukum penjara lebih setahun dan denda RM2,000.

Namun, bagi Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh pula, beliau berkemungkinan berhadapan dengan kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen akibat didapati bersalah atas kesalahan menghasut dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac, iaitu 4 hari selepas rakan sepejuangannya, yang juga merupakan anak gumannya, disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun.

KPRU menjangka bahawa lebih ramai pemimpin PAKATAN atau aktivis sivil berprofil tinggi bakal diambil tindakan undang-undang, di antaranya termasuklah Tian Chua, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Hishamuddin Rais dan sebagainya.

Sesungguhnya, pada tahun 2001 selepas Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara, rakyat Malaysia pernah menyaksikan tindakan kuku besi yang diambil oleh Kerajaan pada masa itu di bawah genggaman bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad yang menguasai pentadbiran Malaysia selama 22 tahun sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Menurut laporan Human Rights Watch pada tahun 2004, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah digunakan untuk sekali gus meredamkan suara bantahan terhadap penahanan Anwar Ibrahim yang semakin kuat di kalangan masyarakat.

Dalam tempoh 2 minggu sahaja, seramai 10 orang aktivitis berprofil tinggi, termasuklah aktivitis hak asasi manusia Badaruddin Ismail, aktivis sosial dan bekas pemimpin pelajar Hishamuddin Rais, pemimpin kanan KEADILAN seperti Tian Chua dan lain-lain lagi, telah diheret dengan alasan bahawa protes kekerasan berniat menggulingkan kerajaan telah dirancang, malahan terdapatnya pencubaan untuk mendapatkan senjata dan bahan letupan.[3]

Kini, memandangkan nasib yang menimpa Anwar Ibrahim, Tian Chua dan Karpal Singh, tindakan seterus yang bakal diambil oleh Najib yang begitu terdesak mempertahankan kedudukannya dalam parti UMNO adalah tidak sukar diduga.
Persoalannya, adakah rakyat jelata rela lagi sudi didiamkan dan dieksploitasi serta dimanipulasi oleh rejim kejam ini selamanya dan sudi mengakur kepada segala perbuatan yang tidak munasabah lagi membelakangi prinsip keadilan? Ataupun, pengamal-pengamal undang-undang dalam badan kehakiman yang sepatutnya menjunjung tinggi prinsip keadilan sudi dijadikan alat kerajaan dengan buta hati sekadarnya bagi menentang mereka yang tidak berpolitik sehaluan?

Krisis MH307 membayangkan ketidakupayaan pentadbiran Najib

Pada keesokan hari kes rayuan berkaitan Anwar Ibrahim digegaskan dan ditetapkan keputusannya, masyarakat sejagat dunia pula tergegar dengan misteri kehilangan pesawat MAS MH370, yang sehingga kini masih tidak ditemui.

Apa yang lagi mendukacitakan, kecekapan kerajaan dalam menangani krisis tersebut telahpun menimbulkan pertikaian di arena antarabangsa.

Pada pandangan KPRU, sesungguhnya kebenaran dan ketepatan liputan-liputan media antarabangsa seharusnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum kesimpulan dibuat dengan sewenang-wenangnya, namun adalah sukar menafikan bahawa prestasi Malaysia dalam mengendalikan insiden kehilangan pesawat MH370 yang membawa sebanyak 239 penumpang termasuk krew pesawat patut diperbaiki dan ditambahbaikkan.

Dari segi pengendalian krisis yang kekurangan profesionalisme, perhubungan awam yang lemah, penyebaran maklumat yang kekurangan effisiensi, sehinggalah pemeriksaan imigresen yang longgar, aspek-aspek tersebut seolah-olah membayangkan pelbagai penyakit kronik yang lama dijangkiti dan membelenggu negara Malaysia selama ini tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan rapi, malahan tidak dipandang serius sekali pun.

Rupa-rupanya, pelan transformasi bercita-cita tinggi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Wawasan 2020 yang dipandu oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir yang senantiasa disanjung tinggi dan dikagumi, sekadarnya solekan bagi menyembunyikan muka pucat lesi.

Masih ingatkah kita terhadap pesanan mantan Perdana Menteri Tun Ahmad Abdulllah Badawi bahawa, tidak cukup sekadar mempunyai infrastruktur kelas dunia pertama, kita juga perlukan minda kelas dunia pertama untuk terus maju ke depan?

Adakah pemimpin Negara ini, termasuklah Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinetnya terlalu sibuk berpolitik sehingga mengaibkan transformasi yang menuju ke mercu Wawasan 2020?

Kes Fitnah yang tidak berhujung

Anwar Ibrahim telahpun mengalami gangguan yang begitu konsisten daripada pihak pemerintah selama bertahun-tahun, malahan secara terang-terangan demi meredam atau memiutkan suara ketidakpuasan dan bantahan terhadap rejim menindas ini.

Saga berterusan antara kerajaan dengan beliau pula sering membabitkan mahkamah. Nyata sekali, kes Fitnah I dan II adalah tindakan politik yang menyamar sebagai prosedur undang-undang, ia adalah lebih kepada ‘penganiayaan bermotifkan politik’ daripada ‘pendakwaan’ (persecution instead of prosecution).

Dalam kes rayuan yang baru-baru diputuskan dan menyabitkan kesalahan Anwar Ibrahim serta menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun tersebut, terdapat pelbagai keraguan yang harus diberi penekanan, khususnya berhubung dengan tindakan tergesa-gesa mempercepatkan kes rayuan tersebut:-

Prosiding mahkamah yang tergesa-gesa

Pada asalnya, kira-kira 2 minggu sebelum pendengaran kes tersebut diadakan, iaitu pada 21 Februari, pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan telah memaklumkan kepada pejabat pegum bela untuk mengosongkan tempoh antara 7 hingga 10 April bagi pendengaran kes tersebut dan pegum bela pun bersetuju dengan tarikh tersebut.

Namun, pada 27 Februari, defendan dimaklumkan bahawa kes rayuan tersebut akan didengar pada 6 dan 7 Mac 2014, malah peguam bela Karpal Singh hanya mendapat notis 7 hari untuk membuat persediaan.

Di samping itu, prosiding kes tersebut didengar sehingga pukul 6 atau 7 petang pada kedua-dua hari, malahan Majlis Peguam pun menyifatkan prosiding sebegini adalah amat jarang berlaku.

Lazimnya, Mahkamah Rayuan akan menangguhkan penghakiman selama beberapa hari mahupun beberapa bulan sebelum membuat keputusan, terutamanya bagi prosiding perbicaraan yang bertempoh panjang dan melibatkan isu besar.

Dalam kes rayuan Anwar Ibrahim pula, Hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil kira-kira 90 minit untuk mempertimbangkan penghujahan dan kemudian menetapkan keputusan sebulat suara untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Septermber 2012 yang membebaskan Anwar Ibrahim tanpa disabit kesalahan, pada kira-kira pukul 5 petang.

Selepas itu, pihak pendakwa dan Mahkamah Rayuan masih bertegas meneruskan pendengaran mitigasi dan hukuman, sedangkan lazimnya mahkamah akan ditangguh pada pukul 5 petang.

Peguam Karpal Singh telah minta agar Mahkamah ditangguh sehingga minggu berikutnya bagi mendapatkan laporan perubatan mengenai keadaan kesihatan defenden memandangkan ia adalah relevan dalam mempertimbangkan hukuman yang bakal dikenakan terhadap anak guamannya.

Namun demikian, Mahkamah Rayuan menolak permintaan tersebut dan hanya memberi masa satu jam kepada peguam defenden bagi penyediaan mitigasi dan hukuman. Pada kira-kira pukul 7 petang, Mahkamah Rayuan pun menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar Ibrahim.

Perjalanan dan ketetapan Mahkamah Rayuan telah menimbulkan kecurigaan sama ada ia dirancangkan awal lagi bagi merampas hak Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon dalam PRK DUN Kajang pada 11 Mac 2014, di mana hari pengundian ditetapkan pada 23 Mac

Integriti bukti yang dipertikaikan

Tumpuan utama pihak pendakwa dan peguam defenden bergantung pada integriti bukti, iaitu sampel air mani, memandangkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mendapati ia tidak selamat untuk membuat sabitan kerana sampel itu mungkin telah diganggu dan lalu membebaskan Anwar Ibrahim.

Menurut Danthong Breen dari Union for Civil Liberty, Bangkok, keadaan keaslian bukti DNA seperti yang didakwa oleh ahli kimia Dr. Seah Lay Hong adalah konflik dengan jangkaan kerosakan yang mungkin berlaku akibat kelewatan yang tidak dapat dijelaskan dalam keseluruhan proses pemeriksaan DNA.

Tambahan pula, pemeriksaan yang dijalankan oleh ahli kimia juga mengesan DNA pihak ketiga selain daripada DNA Mohd Saiful Bukhari dan Anwar Ibrahim dalam sampel tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa sampel tersebut sememangnya telah dikontaminasi.

Selain itu, dalam prosiding perbicaraan pada 6 dan 7 Mac, sekurang-kurangnya seorang pakar dalam bukti DNA sepatutnya bersiap sedia untuk menjawab pertanyaan teknikal mengenai bukti tersebut, memandangkan prosiding tersebut sememangnya tertumpu pada isi teknikal bukti DNA.

Dukacitanya, Mahkamah Rayuan hanya membincangkan pendapat-pendapat Timbalan Pendakwa RAYA Noorin Badaruddin mengenai fakta-fakta kes dengan begitu tergesa-gesa dan pantas sekali, malah ulasan-ulasan tersebut tidak dapat dinilai oleh sesiapa dalam mahkamah disebabkan pengetahuan teknikal yang terhad.

Akhirnya, Hakim Datuk Balia Yusof Wahi telah memutuskan bahawa defenden bersalah atas pertuduhan dan keputusan tersebut adalah keputusan sebuat suara panel hakim. Penting sekali, Hakim Mahkamah Rayuan itu menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat tafsiran salah berhubung integriti sampel, justeru membuat kesilapan dalam keputusan sebelum itu.

Pendakwa yang berkepentingan peribadi: Siapakah Shafee Abdullah?

Selain daripada permasalahan teknikal berkaitan pengesahan DNA dan sebagainya, satu lagi aspek yang tidak harus terlepas tumpuan adalah mengenai pelantikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafee Abdullah bagi mewakili pihak pendakwa, iaitu pihak kerajaan.

Untuk makluman umum, Shafee merupakan seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO, di mana beliau ialah Penasihat Perundangan (Legal Advisor) bagi UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia, masing-masing sejak tahun 1996 dan 1998 sehingga kini, seperti yang ditunjukkan dalam vitae kurikulumnya yang terpapar dalam laman sesawang ASEAN.

Tambahan pula, beliau pernah mewakili beberapa pemimpin UMNO dalam kes mahkamah terdahulu, misalnya menjadi peguambela bagi bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam satu kes fitnah, dan sebagai peguam bagi Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kes Datuk T.Beliau juga didakwa pernah dilantik oleh Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor untuk tugasan sulit di luar negara antara 2 hingga 25 April 2012.

Dalam kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan membebaskan Anwar Ibrahim, secara spesifiknya, pertikaian terhadap pelantikan Shafee wujud bukan sekadarnya disebabkan hubungan rapat beliau dengan UMNO, tetapi juga kerana kepentingan peribadinya dalam kes tersebut.

Shafee adalah antara individu yang hadir ketika Saiful Bukhari Azlan, iaitu “mangsa yang mendakwa diliwat”, bertemu Najib Razak di kediaman Perdana Menteri. Meninjau kembali pemecatan Anwar Ibrahim dan juga kes fitnah I pada tahun 1998, Shafee pada ketika itu memainkan peranan sebagai penasihat kepada Mahathir.

Selaku salah seorang penguambela bagi Anwar Ibrahim, Sivarasa Rasiah yang juga merupakan Ahli Parlimen Subang, pernah membuat aduan bahawa Shafee telah melanggar, antara lain, Peraturan 3, 4, 5, 10, 16, 17, 18, 28, dan 36 Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 dengan menerima fiat Peguam Negara untuk bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes Mahkamah Rayuan terhadap Anwar Ibrahim.

Selain itu, Naib Pengerusi KEADILAN, N. Surendran juga mempersoalkan keputusan pelantikan Shafee sebagai pendakwa raya dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana tidak pernah dalam sejarah perundangan Komanwel seseorang berstatus seperti Muhammad Shafee (peguam peribadi Perdana Menteri) dilantik sebagai pendakwa raya, malah hal tersebut bakal mengakibatkan keyakinan umum terhadap sistem kehakiman negara semakin parah.

Kini, kes rayuan terhadap kes fitnah II pun diputuskan dan malangnya, Anwar Ibrahim sekali lagi disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

Kebimbangan dan keraguan pengamal-pengamal undang-undang terhadap kredibiliti Shafee pula menjadi disahkan menjadi kenyataan.

Menarik sekali, Tan Sri Muhammad Shafee pernah mendedahkan keinginannya untuk memegang jawatan penasihat undang-undang Negara dan pendakwa raya.

Persoalannya, adakah kejayaan Shafee dalam memenangi kes rayuan terhadap kes fitnah II dan memaksa Anwar Ibrahim sekali lagi “kembali” ke penjara, malahan sekali gus menamatkan riwayat politik Ketua Pembangkang yang dipandang sebagai “musuh utama UMNO” bakal dibalas budi dengan jawatan Peguam Negara yang diimpi-impikan beliau?

Kenaikan pangkat Hakim dan Pendakwa Raya kes fitnah Anwar Ibrahim

Sesungguhnya, kajian selanjutnya yang dibuat oleh KPRU telah mendapati perkembangan yang amat menarik sekali, bahawa tiga orang hakim yang terlibat dalam perbicaraan kes fitnah Anwar Ibrahim pada tahun 2003 lalu telah dinaikkan pangkat, secara kebetulan.

Dua Hakim Mahkamah Tinggi, iaitu Augustine Paul dan Arifin Jaka yang merupakan antara 4 hakim Mahkamah Tinggi telah dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Hakim di Mahkamah Rayuan, Pajan Singh Gill yang menolak permohonan ikat jamin Anwar Ibrahim mengenai kes fitnah I juga dinaikkan pangkat menjadi Hakim di Mahkamah Persekutuan.Abdul Gani Patail, iaitu Peguam Negara sejak tahun 2002 sehingga kini, turut terlibat dalam kes fitnah I Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Kanan Pendakwa Raya.

Merenung kembali, Abdul Gani pernah didakwa memalsukan keterangan dalam kes “mata hitan” Anwar Ibrahim pada 1998. Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Mat Zain Ibrahim sebelum ini mengesahkan bukti-bukti yang digunakan terhadap Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah 1998 dipalsukan.

Beliau yang menyiasat insiden mata lebam Anwar Ibrahim juga pernah membuat pendedahan dalam surat-surat terbukanya kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Beliau mengesahkan pemalsuan bukti itu dilakukan pegawai penyiasat polis pada masa itu, Tan Sri Musa Hassan dan ketua pasukan pendakwa raya, Tan Sri Abdul Gani Patail. [8]

Selain itu, Augustine Paul pula bertanggungjawab mengendalikan kes rasuah yang membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang bermula pada November 1998.

Dalam tempoh perbicaraan, nama Hakim Mahkamah Tinggi tersebut senantiasa muncul dalam liputan media berikutan keputusan yang “tidak relevan” ditetapkan oleh beliau. Beliau menjatuhkan hukuman 6 tahun terhadap Anwar Ibrahim.

Pada tahun 2003, Augustine Paul telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan pada tahun 2005 pula dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Hakim Arifin Jaka – Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 9 tahun terhadap Anwar Ibrahim pada 8 Ogos 2000, selepas menetapkan bahawa Anwar Ibrahim disabit kesalahan melibat bekas pemandu keluarganya – dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada tahun 2003.

Akhir sekali, Hakim Pajan Singh yang merupakan antara 3 hakim yang menolak kes rayuan Anwar Ibrahim pada April 2003 turut dilantik sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2003, iaitu selepas 4 bulan berlalunya kes rayuan Anwar Ibrahim.

Melihat kembali sejarah hitam tersebut. Melihat kepada perkembangan sistem kehakiman dan keadilan negara yang penuh dengan kemusyikilan, tidak susah untuk kita fahami, mengapa gerakan Reformasi 2.0 bakal dilancarkan jumaat (21 Mac 2014) ini di Stadium Kajang.

Categories
BERITA UTAMA

Pahit getir kumpulan pendapatan pertengahan Lembah Klang, termasuk penduduk Kajang

Oleh: Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Minggu lalu, penduduk di Lembah Klang dikejutkan dengan Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah yang dijalankan oleh Sime Darby Property Bhd bersama dengan kerjasama Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM), yang menyatakan bahawa rata-ratanya pendapatan isi rumah bulanan RM14,580 diperlukan bagi memiliki sebuah rumah di Lembah Klang atau, secara spesifik, RM12,300 di Kajang dan seumpamanya.

Tambahan pula, kajian turut mendapati bahawa sesetengah penduduk di kawasan-kawasan tersebut berkemampuan untuk memiliki kediaman yang bernilai 56 kali ganda gaji mereka, dan juga mampu menampung perbelanjaan sehingga 26 kali ganda pendapatan isi rumah bulanan mereka bagi bayaran gadai janji!

rumahKajian mengenai trend perbelanjaan isi rumah semasa, harga rumah dan kadar gadai janji tersebut dilancarkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, dan ia dikatakan bertujuan menentukan indeks berdasarkan lokasi untuk menggambarkan tahap mampu milik melibatkan 12 kawasan di sekitar Lembah Klang, termasuk Subang Jaya, Putra Height, Ara Damansara, Mont Kiara, Kajang, Nilai, Bukit Jelutong, Denai Alam, Bandar Bukit Raja dan Subang.

Selepas timbulnya kekeliruan dan juga kritikan di kalangan masyarakat, Sime Darby Property Berhad tampil menjelaskan bahawa kajian indeks tersebut adalah untuk memberi maklumat kepada akses perumahan, khususnya bagi penduduk Lembah Klang yang ingin menaik taraf atau melabur dalam rumah kedua.

Menurut pihak Sime Darby Property Berhad, seramai 1,529 responden dengan 1,183 orang di antaranya merupakan pemilik rumah di kawasan terpilih, dengan pendapatan purata RM14,580 yang diperlukan untuk memiliki kediaman di Lembah Klang.

Kajian ini tidak mencerminkan tahap pendapatan purata Negara. Lebih-lebih lagi, kajian tersebut tidak melibatkan pembeli rumah kali pertama, dan ia juga tidak merangkumi aspek perumahan mampu milik.

Kemelut Kumpulan Pertengahan 40% yang terpinggir

Sementara penjelasan diberi bagi meredakan kritikan, Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah, walau bagaimanapun, telah mendedahkan trend harga perumahan yang kian melonjak tinggi, terumatanya di kawasan Bandar.

Logo-KPRUiiiBadan pemikir, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, kajian indeks yang hanya boleh diambil sebagai rujukan oleh golongan berpendapatan tinggi tersebut bukan sahaja gagal mencerminkan tahap pendapatan rakyat Malaysia, seperti yang diakui oleh pihak Sime Darby Property Bhd, malahan memberi ruang kepada spekulasi yang bakal menyebabkan harga rumah di kawasan-kawasan tersebut membumbung tinggi.

Bagi kumpulan yang berpendapatan tinggi, sudah tentu mereka berpeluang lagi berkemampuan untuk menaiktaraf rumah yang sedia ada atau melabur dan membeli rumah yang kedua atau selebihnya; ini juga rasional syarikat atau korporat besar yang menetapkan sasaran mereka pada kumpulan berpendapatan tinggi 20% untuk memacukan pertumbuhan jualan dan keuntungan syarikat masing-masing.

Namun, menyedihkan sekali, 40% kumpulan pertengahan – di mana pendapatan isi rumah bulanan mereka masih berada dalam lingkungan kurang daripada RM5,000 secara purata, berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk memiliki sebuah kediaman di kawasan Lembah Klang, seperti yang disenaraikan.

Menurut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012, pendapatan isi rumah bulanan purata di kawasan Bandar pada tahun 2012 ialah RM5,742, meningkat 6.6% berbanding dengan RM4,705 yang dicatat pada tahun 2009.

Apabila ditelitikan pendapatan isi rumah bulanan purata masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor, agar lebih sesuai dibandingkan dengan Kajian Indeks Pendapatan Isi Rumah yang dikemukakan bagi memiliki kediaman di Lembah Klang, pendapatan isi rumah bulanan purata di negeri-negeri tersebut pun masih belum mencatat pendapatan seperti yang dinyatakan oleh Sime Darby Bhd dan Fakulti Alam Bina, UM.

Bagi kumpulan pendapatan pertengahan 40%, harapan bagi memiliki kediaman idaman adalah agak sukar direalisasikan, memandangkan gaji tidak dinaikkan selari dengan peningkatan harga rumah. Maka, pilihan adalah terhad: sama ada sewa rumah ataupun membeli rumah mampu milik.

Sememangnya, kerajaan pusat telah melancarkan dan melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dikatakan untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan mampu milik bagi penduduk Bandar berpendapatan sederhana, iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM7,500.

Namun demikian, kemajuan pembinaannya terlalu lambat bagi menampung keperluan rakyat berpendapatan sederhana.

Dalam persidangan Dewan Rakyat yang lalu, apabila ditanya tentang pelaksanaan projek PR1MA sama ada sasaran kerajaan untuk pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik dapat dicapai menjelang akhir tahun 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pula cuba berdalih bahawa proses pembinaan adalah begitu rumit, dan projek pembinaan bagi sebanyak 44,223 unit rumah PR1MA daripada sasaran 80,000 unit telah diluluskan di seluruh Negara setakat 30 September 2013.

Diluluskan tidak sama dengan siap dibina! Persoalannya, berapakah unit rumah mampu milik di bawah PR1MA yang telah disiapkan dan sedia dipindah masuk?

Ironi sekali, kumpulan pertengahan 40% tersebut yang berkemungkinan masih belum memiliki rumah sendiri pula terpaksa menyumbangkan cukai bagi menampung penggunaan utiliti elektrik dan air untuk kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mencecah kira-kira RM2.5 juta (RM2,237,788.13) pada tahun 2012!

Jumlah bayaran bil tenaga elektrik dan air bulanan bagi Kompleks Seri Perdana di Putrajaya itu adalah sekitar 40 kali ganda pendapatan isi rumah purata bulanan bagi kumpulan pendapatan pertenghan tersebut!

Sememangnya, inilah elegi atau pahit getir yang penuh dengan rintihan dan keluhan rakyat jelata yang bertungkus-lumus demi kehidupan.

Sebaliknya, terdapat pula pemimpim-pemimpin rakyat yang cukup bertuah menikmati keselesaan dan kemewahan.

Categories
NASIONAL

Beri pelabur asing kuasa besar, KPRU desak bentang isi rundingan TPPA

Logo KPRU

SHAH ALAM 13 OGOS: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal memberi kuasa keterlaluan kepada pelabur asing atas nama ‘perdagangan’ hingga meminggirkan kepentingan negara.

Mengikut Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), pelabur asing boleh mencabar kerajaan mengikut saluran undang-undang jika sistem perundangan atau dasar sesebuah negara menjejaskan kepentingan mereka.

Ia berikutan, katanya, Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) memperuntuk klausa yang menganugerah kuasa dan hak undang-undang lebih besar kepada entiti perniagaan asing atau syarikat antarabangsa.

Malah, kata KPRU, klausa itu juga memberi hak kepada pelabur asing untuk menuntut pampasan kewangan tanpa had melalui tribunal timbang-tara antarabangsa.

“Apakah rasional kerajaan menyertai suatu perjanjian yang memberi kuasa yang keterlaluan kepada syarikat asing bagi mencabar undang-undang dan peraturan negara kita di luar mahkamah domestik?” kata KPRU.

KPRU hari ini menerbitkan artikel bertajuk ‘Miti wajar bentang laporan di Parlimen pada 23 September’ berikutan isu TPPA menjadi kontorversi kebelakangan ini.

Rundingan ke-18 TPPA berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah antara 15 hingga 25 Julai lalu dan rundingan seterusnya dibuat di Brunei dari 22 hingga 30 Ogos ini.

Pada artikel itu, KPRU kesal berikutan kerajaan membuka pintu dan menerima kemasukan industri yang berisiko tinggi tanpa mengambil kira keutamaan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Antara yang mendukacitakan ialah pelaburan dan kemasukan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan; kilang perlombongan emas yang menggunakan cyanide di Bukit Koman, Kuo Kuang di Pengerang dan sebagainya.

“Pembabitan Malaysia dalam rundingan TPPA seakan-akan menyerahkan diri ke tangan pihak luar untuk menentukan nasibnya.

“Apakah kepentingan rakyat akan diutamakan dan terbela jika TPPA ditandatangani dan dimuktamadkan nanti?” katanya.

KPRU menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membentang perkembangan rundingan pada sidang Parlimen akan datang bagi merungkai kebimbangan masyarakat.

Kata badan itu, kebimbangan dizahirkan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan rundingan dijalankan secara ‘penuh rahsia’.

“Apabila berdepan dengan kontroversi, kerajaan harus lebih bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat yang berhak mengetahui status dan pendirian negara berkenaan rundingan itu.

“Laporan sedemikian mustahak bagi mengetengahkan dan menjamin kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL

KPRU : Henti Politik Serang Peribadi

Parlimen Malaysia 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : Pemimpin BN digesa menghentikan serangan peribadi ke atas pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dengan menghormati Ikrar Integriti Pilihan Raya yang ditandatangani oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berkata, tindakan serangan peribadi itu mencerminkan semangat kebencian dan tidak matang yang bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh BN.

“Serangan peribadi ini merupakan amalan politik murahan yang tidak wajar mendapat tempat di sebuah masyarakat bertamadun seperti Malaysia.

Malangnya, ianya dijangka politik murahan ini akan berlangsung sehingga selesainya Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) kerana kebencian BN terhadap Pakatan Rakyat tidak mengenal erti moral atau batasan,” kata KPRU dalam kenyataan medianya.

Ujar Badan Pemikir itu, rakyat sudah meluat dengan politik murahan seperti itu yang tidak membawa sebarang faedah kepada mana-mana pihak.

Ianya tidak membawa sebarang kesan positif kepada ekonomi atau politik negara dan hanya mencerminkan obsesi Malaysia dengan politik murahan terutamanya politik seks di mata dunia.

“Kegagalan BN untuk menghentikan politik murahan ini membuktikan tandatangan Najib Razak di Ikrar Integriti Pilihanraya hanyalah sebuah retorik di samping menghina konsep pilihan raya bebas dan adil,” tegas kenyataan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gantung Tugas Azrul Azwar, Tindakan Tidak Wajar – Nik Nazmi

nik nazmi

SHAH ALAM 15 JAN : Tindakan menggantung tugas Ketua Ekonomi Bank Islam kerana meramalkan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) akan datang disifatkan tidak masuk akal dan sama sekali tidak wajar.

Pegawai tersebut, Azrul Azwar Ahmad Tajudin didakwa bercakap dalam satu seminar di Singapura minggu lalu, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU 13 dengan perolehan kerusi antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Percaya terdapat desakan daripada kuasa politik, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi berkata tindakan tersebut juga mencemar kredibiliti golongan professional dalam bidang ekonomi mahupun politik tanah air.

“Beliau hanya menjalankan tugas untuk beri analisa dari segi ekonomi dan politik dan kerana pembentangannya tidak menyebelahi BN, maka beliau telah digantung tugas.

“Sebagai golongan professional, saya percaya tugas dan integriti kerja beliau bukanlah untuk memuaskan hati BN.

“Tetapi, tugas beliau adalah untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pakar ekonomi dengan telus dan amanah tanpa prejudis kepada mana-mana pihak atau parti,” tegas Nik Nazmi yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Ujarnya lagi, jika BN tidak bersetuju dengan kajian dan analisa yang dijalankan Pakar Ekonomi Bank Islam itu, BN seharusnya tangkis dengan pembentangan analisa lain yang difikirkan sesuai.

“Tetapi untuk memaksa Bank Islam menggantung tugas, itu adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak matang sama sekali,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Azrul Azwar yang masih terkejut mengesahkan tindakan penggantungan tugasnya untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan atas dakwaan ‘salah laku yang serius’.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan demi kepentingan majikannya ekoran majikannya kini menerima tekanan daripada pemimpin atasan BN.

Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataan medianya berkata, Bank Islam disaran menyemak semula keputusan menggantung tugas Azrul Azwar dan mengembalikan jawatan dan tugasnya.

“Azrul Azwar mempunyai pengalaman selama melebihi sepuluh tahun dalam bidang ekonomi.

“Beliau telah bertugas sebagai penganalisa di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Islamic Financial Services Board (IFSB),” kata KPRU.

Ujar KPRU, badan pemikir itu menyarankan individu seperti Azrul Azwar yang berpengalaman tinggi, dalam bidang ekonomi diangkat penggantungannya dan dilayani sebagai aset dan bukannya musuh politik