Oleh: NAZLI IBRAHIM
PETALING JAYA, 29 MAC: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan pertembungan antara Exco Negeri Selangor, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.
Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selayang, Amiruddin Shaari dan Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus.
Pengerusi Pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul ketika mengumumkan senarai penuh calon berkata, pertandingan kali ini juga menyaksikan seramai 78 orang merebut kerusi Ahli Majlis Pimpinan Pusat.
Beliau berkata, Pemilihan PKR 2014 membuktikan kesungguhan pimpinan menyuburkan demokrasi dalam parti itu.
“Harus kita ingat walaupun bertanding sesama kita, musuh utama adalah Barisan Nasional. Oleh sebab itu, kita yakin pemimpin yang bakal dipikih ini akan membawa kejayaan untuk kita dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti,” katanya.
-NFN-