Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan komited laksana sistem pengurusan sisa pepejal lebih teratur

KUALA TERENGGANU, 28 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih teratur dan efektif di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sebagai permulaan, empat tapak pelupusan sampah baharu yang lebih teratur dengan kombinasi beberapa teknologi lebih moden akan dibina dan dinaiktaraf di seluruh Terengganu.

Katanya, empat lokasi yang telah dikenalpasti ialah di Sungai Ikan untuk pelupusan sampah bagi daerah Kuala Terengganu dan Setiu, Bukit Jemalang (Kemaman dan Dungun), Tertak Batu (Marang dan Hulu Terengganu) serta Pengkalan Keling (Besut).

“Dalam taklimat mengenai pengurusan sisa pepejal yang disampaikan kepada saya semalam, terdapat tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu, namun tapak pelupusan sampahnya berterabur dan tidak dikawal selia dengan efektif.

“Oleh itu, ia perlu diselaraskan dengan pemilihan empat lokasi tersebut untuk memastikan Terengganu sebagai negeri pelancongan yang akan mempunyai sistem pengurusan terbaik dari aspek kebersihannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan terminal pengangkutan awam bersepadu di KT Sentral dekat Bandar Baru Bukit Besar di sini, hari ini.

Ketika ini, Terengganu hanya menghasilkan kira-kira 500 tan sampah setiap hari dan jumlah itu dikategorikan sebagai sederhana berbanding negeri maju yang menghasilkan sisa pepejal lebih tinggi seperti Selangor kira-kira 7,000 tan sampah sehari dan Kuala Lumpur sebanyak 3,000 tan.

Zuraida berkata, fokus utama kementerian ialah pengurusan yang teratur dan bersistematik tanpa mengira kuantiti sampah di sesebuah negeri.

“Negeri yang maju lagi banyak sampah, tapi isunya di sini ialah pengurusan yang berkesan, kalau pengurusan tak elok, sikit pun jadi teruk. Sebab tu negeri maju pengurusannya lebih kemas, banyak teknologi baharu dan boleh kitar semula serta menghasilkan duit sebenarnya.

“Jadi kita nak mula dengan Terengganu ni dari peringkat awal sebelum jadi lagi banyak sampah tu. Bila pengurusannya tersusun dan teratur, semuanya akan bersistem dan tidak mendatangkan masalah apabila Terengganu semakin membangun,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu itu, Zuraida berkata kerajaan pusat akan menyokong cadangan pembinaan itu, namun Kerajaan Negeri perlu membuat pembentangan yang lebih terperinci kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan KPKT untuk kelulusan.

“InsyaAllah kita akan serap projek ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Projek ini dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan kos dianggarkan RM156 juta.

“KT Sentral ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Terengganu seterusnya menjadi ‘mini Putrajaya’ kerana kawasan sekitarnya juga pesat dengan pembangunan beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kimia, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Ditanya mengenai hentian bas sedia ada di Jalan Syed Husin di sini, Zuraida berkata kerajaan tidak akan merobohkannya, malah ia akan dinaiktaraf untuk memberi peluang kepada lebih ramai peniaga beroperasi di situ.

“Kedudukannya juga sangat strategik dan akan bertindak sebagai hub sokongan untuk sistem pengangkutan awam bersepadu di Kuala Terengganu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan Teck Ghee tidak bermaruah

SHAH ALAM, 26 OKT: Tindakan penganalisis dasar awam, Dr Lim Teck Ghee menyifatkan Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai bencana tidak terkawal, dianggap sebagai tindakan tidak bermaruah.

Ketua Wanita PAKATAN, Zuraida Kamarudin berkata, kenyataan berkenaan dibuat tanpa mempertimbangkan hakikat bahawa kerajaan baharu sahaja mengambil tampuk pemerintahan selama lebih kurang setahun lima bulan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sejak diberikan amanah, beliau dan rakan menteri bekerja kuat tanpa mengenal erti lelah demi matlamat mahu memulihkan negara.

“Sejak PAKATAN diberikan mandat oleh rakyat untuk memperbaiki dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah kembali, pelbagai usaha sudah dilakukan.

“Hakikatnya, ia bukanlah tugas mudah yang boleh dilakukan dalam sekelip mata,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai membidas dakwaan Teck Ghee bahawa kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin berkembang luas.

Bercakap dalam forum ‘Whiter Maruah Malaysia 2.0’, Teck dilaporkan berkata, buat masa ini adalah jelas pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai bencana dan satu bencana sepenuhnya bagi pembaharuan dari mana-mana aspek atau cara pun umum melihat.

“Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan serta kegagalan politik terus meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, berbanding dengan kerosakan dibuat pentadbiran dahulu, adalah tidak wajar seorang penganalisis dasar awam mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang kajian kukuh, menjadikan pandangannya tidak boleh diguna pakai.

“Di bawah pentadbiran PAKATAN, kerajaan Persekutuan sudah memberi jaminan bahawa keharmonian dan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terus terbela, tanpa mengabaikan kedudukan kaum lain di seluruh negara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT-MoF bincang harga kondominium untuk warga asing

PONTIAN, 13 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung cadangan menurunkan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata ia bagi mengkaji semula cadangan tersebut memandangkan terdapat suara rakyat yang tidak bersetuju dengan had penurunan berkenaan.

“Saya akan rujuk balik dengan Kementerian Kewangan sekiranya perlu dikaji semula. Mungkin melihat respons rakyat harus diberi pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, ramai yang tidak jelas mengenai cadangan berkenaan dengan beranggapan ia dikeluarkan KPKT sedangkan ia di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, KPKT kini lebih menumpukan usaha mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H) dengan menyediakan pakej menarik bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan rancangan itu bagi membantu mengurangkan lambakan unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku 2019.

Beliau menjelaskan pengurangan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 dan tidak merangkumi projek baharu yang belum dilancarkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beri peluang golongan B40 rasai keselesaan

IPOH, 26 JUL: Syarikat korporat disaran memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk merasai keselesaan hidup selain menjana ekonomi sendiri, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha Eastern Decorator, sebuah syarikat pembuat tekstil serta hiasan dalaman yang memberi peluang kepada 30 suri rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini menggunakan perca kain mereka bagi menghasilkan barangan kegunaan sendiri.

“Syarikat ini beritahu perca kain tidak dibuat apa-apa, maka saya minta ia diberikan kepada penduduk PPR, Jalan Hospital untuk mereka sambung (jahit) menjadi sarung bantal atau cadar.

“Kualiti kain (keluaran) syarikat ini amat tinggi, jadi dengan cara ini penduduk (golongan B40) dapat merasai nikmat tidur dengan bantal, cadar yang enak. Mereka berhak mendapat keselesaan, seterusnya mengurangkan tekanan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Eastern Decorator di Kawasan Perindustrian Khantan dekat sini, hari ini.

Menurut Zuraida, usaha tersebut adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan ia wajar dicontohi oleh syarikat-syarikat lain.

Menjelas lanjut, Zuraida berkata, ketika ini suri rumah terpilih akan menjahit perca kain di kilang syarikat itu dan untuk masa akan datang pihaknya merancang kemungkinan menyediakan mesin jahit di PPR yang terlibat.

Selain itu, katanya pihak kementerian dan syarikat juga akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai model perniagaan yang boleh dilaksanakan menerusi usaha itu.

Terdahulu, semasa mengadakan lawatan ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Zuraida memuji pembangunan di bandar raya itu yang dilaksanakan secara teratur.

Beliau turut memuji ketegasan penguatkuasaan undang-undang oleh MBI terutama di pasar yang menyaksikan ia tidak didominasi oleh pendatang asing seperti yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kalau tidak dapat menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dengan baik, maka perancangan yang cantik akan jadi tak cantik,” katanya.

Tambah Zuraida, MBI juga sedang dalam perancangan untuk menggunakan sistem perangkap sampah di longkang, sungai dan tasik bagi mengurangkan pencemaran seterusnya mengelakkan banjir kilat. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pangsapuri rentak: Bancian kumpul data akan dibuat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 29 APR: Kerajaan akan menjalankan bancian secara keseluruhan ke atas pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan serius, Jumaat lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin berkata, pihaknya akan meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan bancian itu bagi mengumpul data penduduk.

“Kita akan buat bancian di seluruh pangsapuri khususnya Blok F, dengan tujuan mengenal pasti dan memisahkan antara pemilik rumah dan penyewa di mana data ini penting buat jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pangsapuri Taman Keramat Permai, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam Dasar Pembangunan Negara wujud program pembangunan semula bagi bangunan lama.

“Program itu dilaksanakan kepada bangunan berusia lebih 30 tahun ke atas dan kita beri tumpuan kepada rumah kos rendah yang terletak di tanah bukit, tinggi dan lembab.

“Bagi pangsapuri ini, saya akan bincang dengan Kerajaan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) jika perlu pembangunan semula,” katanya.

Penghuni blok itu kini ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2.

Seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan terbabit.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

KPKT wujud agensi urus kediaman strata – Zuraida

KUALA LUMPUR, 13 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan satu agensi khusus bagi meningkatkan kecekapan pengurusan strata.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, buat masa ini, hampir 73 peratus kediaman di Malaysia adalah berbentuk strata dan keperluan agensi itu adalah bagi menangani isu berkaitan strata.

“Mungkin kita perlu kaji semula dasar pengurusan rumah strata di bawah Pesuruhjaya Bangunan atau Commisioner of Building (COB) dan pengurusan strata.

“Mesti ada satu kajian untuk wujudkan satu agensi besar, kerana perlu urus isu rumit dalam pengurusan strata ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penganut Hindu di Kuil Sri Raja Rajeswary, Ampang, dekat sini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, KPKT akan turut perkasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS).

“KPKT sedang dalam proses kaji semula, untuk reform polisi tribunal, polisi COB, pengurusan strata dan juga polisi rumah terbengkalai.

“Kita juga sedang mengadakan sesi bengkel bersama pihak berkepentingan, dan pindaan akta (sekiranya perlu) juga akan dilihat dan diharap kajian ini selesai sebelum akhir tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, mengenai perbincangan dengan pihak pengurusan kuil terbabit, Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang berharap pihak kuil dan pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) yang terlibat dalam Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) (projek berhampiran kuil) dapat bekerjasama untuk kesan positif jangka panjang.

“Bilangan penganut ke kuil dikatakan berkurangan akibat daripada pembinaan lebuh raya ini, selain kuarters sami yang terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan SUKE.

“PROLINTAS telah membina kabin sementara bagi sami buat masa ini namun mungkin mereka boleh berbincang dengan pihak terbabit untuk membina penempatan kekal,” katanya.

Projek SUKE yang bermula 2016 itu dijangka selesai pada Mei 2020.

Antara isu lain yang dibangkitkan pengurusan kuil ialah urusan pendaftaran perkahwinan di kuil, menjadikan kuil sebagai hab pelancongan dan menukar status tanah tempat letak kereta sebagai tanah rumah ibadat (sekarang tanah komersial).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Akta kredit pengguna digubal pastikan pinjaman patuh syairah

KUALA LUMPUR, 11 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menggubal Akta Kredit Pengguna dalam usaha memastikan pengguna mendapat pinjaman wang berlesen yang patuh syariah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya telah mengadakan sesi perbincangan (townhall) dengan beberapa agensi kerajaan pada 19 Februari lalu bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

“Penggubalan (Akta Kredit Pengguna) akan dilaksanakan tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan ini sedang diuruskan,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memastikan sistem pinjaman wang berlesen di bawah KPKT adalah patuh syariah.

Zuraida berkata, semua syarikat peminjam wang berlesen atau kredit komuniti yang berdaftar dengan KPKT ketika ini boleh merujuk kepada syarikat panel syariah bagi mendapatkan lesen patuh syariah.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

Zuraida tinjau kawasan terjejas banjir lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin melawat kawasan terjejas akibat banjir lumpur di Taman Siera Ukay Perdana, malam tadi.

Beliau meluangkan masa hampir dua jam di lokasi kejadian pagi ini sambil diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain.

Menerusi perkongsian foto di Twitter @AmpangP99, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut mendengar luahan penduduk setempat berkaitan kejadian.

Selain itu, pihak bomba turut berada di tempat kejadian sejak semalam bagi membantu membersihkan kawasan terjejas.

Dalam perkembangan sama, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, terima panggilan kecemasan pada jam 11.14 malam tadi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dengan kekutan tujuh anggota digerakkan ke tempat kejadian.

“Setibanya jentera dilokasi didapati benar berlaku banjir kilat. Terdapat banyak lumpur di atas laluan jalanraya di sebabkan kerja-kerja pembinaan di hadapan rumah taman tersebut.

“Kerja-kerja pembersihan lumpur di lakukan bagi tujuan mengelakkan sebarang kemalangan yang berlaku. Tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.

Categories
NASIONAL

Zuraida: KPKT buka tender pembelian baju kalis api Rabu ini

PASIR PUTEH, 20 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuka tender bagi pembelian baju kalis api untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 23 Januari ini.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, ia satu keperluan memandangkan banyak baju kalis api tidak menepati standard yang dibenarkan untuk kegunaan ketika operasi.

“Walaupun ketetapan ketika ini hanyalah 6,000 baju kalis api tetapi saya akan minta (dengan kabinet) untuk menaikkan jumlah itu kepada 9,000 helai.

“Kita mesti ada stok sekiranya ada baju kalis api yang rosak dan perancangan perlu mengambil kira rancangan jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin (PBSMarin), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba Sukarela Marin, Tok Bali di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof dan Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood.

PBSMarin adalah pasukan bomba sukarela pertama ditubuhkan di negara ini oleh JBPM bagi membantu agensi itu menjalankan kerja penyelamatan terutama di laut.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang bermula Jumaat lalu akan mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus dapat menegakkan keadilan kepada semua pihak berkaitan.

“Semua saksi berhubung kematian Muhammad Adib telah disenaraikan dan saya difahamkan keluarga Allahyarham turut melantik lima peguam bagi kes itu, selain peguam pemerhati daripada KPKT sendiri.

“Inkues akan mewakili perwakilan yang lebih besar dan semua pihak akan disiasat (bagi mendapatkan kebenaran) dan Mahkamah Koroner akan membuat keputusan (terhadap kes berkenaan),” katanya.

Ditanya prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian trak makanan, Zuraida berkata, KPKT telah membuat penyeragaman polisi untuk semua aktiviti berkaitan perniagaan itu di seluruh negara.

“Ia akan dilaksanakan di seluruh negara dan telah ada garis panduan yang ditetapkan kepada semua pengusaha trak makanan.

“Kita boleh kenakan denda jika mereka tidak mengikut peraturan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT kaji garis panduan bendung kenaikan harga rumah awam

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 25 JULAI: Dasar Perumahan Awam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memuatkan satu garis panduan bagi memastikan kenaikan harga rumah awam dapat dibendung.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, dasar itu akan disiapkan menjelang September nanti.

“Konsep yang kita mahu perkenalkan dalam polisi perumahan awam itu merangkumi perkara yang kita letakkan daripada segi implikasi kos.

“KPKT sedang mengkaji anggaran kos tetapi saya sedang teliti komponennya dan daripada situ, saya akan buat perbandingan sebelum mengeluarkan garis panduan berhubung anggaran kos untuk projek pembinaan rumah awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan tapak projek kompleks rekreasi khas untuk wanita, di Bandar Bukit Puchong, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, Dasar Perumahan Awam KPKT itu akan meliputi semua aspek dalam memastikan kepentingan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

Pada masa sama, ketika menyentuh isu perumahan mampu milik, beliau berkata, KPKT mengadakan perbincangan dengan agensi utiliti seperti pembekal air, elektrik dan perkhimatan telekomunikasi bagi mencari jalan mengurangkan kos pembinaan projek perumahan.

“KPKT turut berbincang dengan Bank Negara Malaysia bagi mencari satu formula memudahkan pinjaman perumahan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Zuraida menteri pertama PAKATAN lawat Sarawak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menjadi menteri Pakatan Harapan (PAKATAN) pertama membuat lawatan rasmi ke Sarawak, semalam selepas kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

Ketika kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), beliau antara beberapa pemimpin PAKATAN yang dihalang daripada memasuki Sarawak.

Ketua Wanita PKR itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11 ​​pagi semalam, lapor The Borneo Post.

Ketibaan Zuraida disambut Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How, Anggota Parlimen Saratok Ali Biju dan Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng bersama hampir 100 penyokong parti itu.

Zuraida akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian sebelum meneruskan lawatannya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau juga dijadual membuat lawatan rasmi ke Majlis Perbandaran Padawan (PMC) serta ke tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tengah, sebelum persinggahan terakhirnya ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba).

Lawatan itu dijangka memberi fokus dalam sektor perumahan dalam usaha menunaikan janji manifesto PAKATAN untuk membina satu juta rumah mampu milik di Malaysia bagi membantu rakyat khusus golongan belia dalam memiliki rumah pertama mereka.

Selain itu, PAKATAN juga berjanji memperbaiki dasar perumahan negara termasuk skim pinjaman perumahan khas.

Zuraida dalam laman facebooknya berkata, beliau terharu menerima sambutan yang luar biasa daripada rakyat di negeri itu sejurus mendarat di Lapangan Terbang Miri.

“Sambutan sangat meriah sebaik sahaja saya mendarat di Kuching, Sarawak. Terharu dengan sokongan rakyat Sarawak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Kali terakhir Zuraida dihalang memasuki ke negeri bumi kenyalang itu pada September tahun lalu, manakala pertama kalinya beliau ditolak adalah pada 2013.

Bagaimanapun, selepas kemenangan PAKATAN, Pengarah Imigresen Sawarak Ken Leben mengesahkan kerajaan Sarawak telah menarik balik larangan masuk yang dikenakan ke atas pemimpin parti itu, pada 23 Mei lalu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga antara pemimpin yang kini bebas masuk ke Sarawak.

Categories
SELANGOR

Majlis rai jasa petugas dan penyokong PAKATAN meriah

OLEH HAZIQ ISMAIL

AMPANG, 12 MEI: Nasi briyani, kambing golek dan daging kawah antara makanan disediakan dalam majlis kesyukuran bagi penyokong dan petugas Pakatan Harapan (PAKATAN) sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), semalam.

Majlis anjuran Ketua Cabang dan Jawatankuasa KEADILAN Cabang Ampang yang berlangsung Bilik Gerakan Kampung Melayu Ampang itu mula dibanjiri orang ramai seawal jam 5 petang.

Majlis itu diadakan selepas kemenangan besar Zuraida Kamarudin mempertahankan kerusi Parlimen Ampang, DUN Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan DUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.

Majlis itu juga dianjur khusus menghargai dan berterima kasih di atas segala jasa mereka terlibat menjayakan proses PRU14.

Terdahulu, PAKATAN menang majoriti mudah  113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Selain mempertahankan elangor dan Pulau Pinang, PAKATAN juga berjaya menawan Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.