Categories
SELANGOR

Speaker DNS : Wan Azizah angkat sumpah 7 April

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 24 MAC: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, pada 7 April ini.

Perkara itu diumumkan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh dalam sidang media selepas Dr Wan Azizah diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, malam tadi.

“Langkah seterusnya untuk Wan Azizah, beliau akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang yang baru, pada 7 April ini. Dengan kemenangan ini, bermakna bertambah lagi ADUN Wanita dalam DNS menjadi 15 orang,” katanya pada sidang media di Pusat Pengiraan Undi, Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini, malam tadi.

DSC_6928Dr Wan Azizah menggantikan Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN terbabit, sekali gus menjayakan apa yang dinamakan Langkah Kajang, pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, hasrat Anwar dihalang dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan beliau bersalah dalam kes liwat, sekali gus menyebabkan PKR menukar strategi dengan menggantikan Dr Wan Azizah sebagai calon.

Dr Wan Azizah walaupun dianggap sebagai calon pilihan kedua untuk menduduki kerusi ADUN Kajang, namun kemampuan beliau menyelesaikan isu rakyat tidak diragukan apabila sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lebih dua penggal dan pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 1999 hingga 2004.

Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 selepas memperoleh 16,741 berbanding pencabarnya Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional dengan undi 11,362 undi.

Keputusan itu juga menunjukkan peratusan undi yang diperoleh PKR meningkat daripada 56.8 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu kepada 59.7 peratus dalam PRK kali ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.