Categories
SELANGOR

Wan Azizah: PRK Kajang bukti pengundi Melayu kembali sokong PR

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 24 MAC: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang jelas membuktikan pengundi Melayu termasuk anak muda kaum itu kembali memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Hal itu berikutan PR yang diwakili calonnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang hampir semua kawasan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Wan Azizah berkata, kejayaan manis itu dicapai berikutan kerja keras jentera parti dan meningkatnya kesedaran rakyat terhadap isu semasa yang melanda negara.

Kajang2“Alhamdullilah, kemenangan ini memberi momentum kepada PR untuk ke Putrajaya, khususnya pengundi Melayu termasuk golongan mudanya yang memberikan undi mereka,” katanya sejurus diumumkan pemenang dalam PRK kali ini.

Antara kawasan majoriti Melayu yang ditembusi PR, termasuk dua kubu kuat BN membabitkan peti undi Sungai Sekamat dan Taman Delima.

Manakala, peti undi kawasan lain yang turut dikuasai pengundi Melayu juga menunjukkan sama ada berjaya dimenangi PKR atau sekurang-kurangnya berjaya mengecilkan majoriti BN.

Bagi pengundi saluran lima, enam dan tujuh iaitu saluran bagi golongan muda turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Azizah saujanaWan Azizah turut menyanggah tanggapan majoriti yang dimenangi PR kali ini merosot berbanding majoriti yang diperolehi 2013.

“Walaupun seperti yang lazimnya dalam sebarang PRK sudah dijangka jumlah keluar mengundi kurang tetapi peratusan majoriti tidak berkurang. Majoriti tidak merosot,” katanya.

Wan Azizah dalam pertandingan satu lawan satu berjaya memungut 16, 741 undi menewaskan Datin Paduka Chew Mei Fun daripada BN yang memperoleh 11,362 undi.

Keputusan itu menunjukkan peratus sokongan kepada PR meningkat daripada 56.8 peratus kepada 59.7 peratus.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.