Categories
NASIONAL

Anwar : Tawaran Konsensus Nasional PR-BN batal

KAJANG, 11 MAC: Pakatan Rakyat (PR) membatalkan serta menarik semula tawaran Konsensus Nasional yang pernah dihulurkan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum ini ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR ketika berucap di Kajang malam tadi turut mengisytiharkan “perang dasar” ke atas pemimpin BN yang didakwa menyalahgunakan kuasa serta memperalatkan badan kehakiman negara.

Beliau mendakwa, panel hakim yang mendengar hujahan kes membabitkannya dengan bekas pembantu peribadinya itu tidak mempedulikan fakta sebaliknya hanya bersetuju dengan hujah peguam pihak pendakwaan, Tan Sri Shafee Abdullah.

Anwar“Sekarang sudah tiada lagi dialog. Tiada lagi Konsensus Nasional. Kita lawan kerana mereka biadab.

“Tiga orang (panel hakim) sama sahaja dengan Shafee. Jatuh hukum tak peduli fakta,” dakwanya seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini.

Ucapan Anwar itu mendapat sorakan ratusan penyokong PR yang kemudiannya melaungkan perkataan “lawan”.

Sebelum ini, Anwar pernah mengajak BN untuk berdialog demi mencapai Konsensus Nasional antaranya bagi mengatasi unsur menggugat perpaduan dan kebencian antara agama yang kian meningkat.

UMNO BN 55Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan kes membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mendapati beliau bersalah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.

Hakim Balia memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA telah tercemar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.