Categories
SELANGOR

Tiada hujan punca catuan air di Selangor, Putrajaya berterusan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 MAC: Ketiadaan hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan catuan bekalan air dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membabitkan beberapa kawasan bagi peringkat pertama serta ketiga.

Pelan catuan bekalan air itu dijalankan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) seperti diputuskan Kerajaan Negeri dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Peringkat pertama membabitkan kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang manakala ketiga di kawasan Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Shah Alam.

empangan  air lembah kelangPenolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred, berkata tindakan itu juga diambil berikutan kandungan ammonia di loji rawatan air meningkat pada paras tinggi akibat ketiadaan hujan.

Difahamkan, beberapa kawasan mendapat bekalan catuan air lewat ekoran loji rawatan air menghadapi kekurangan air terawat daripada kadar biasa sebelumnya.

Pengguna di semua kawasan terbabit diminta mengambil langkah perlu dalam menghadapi situasi berkenaan.

“Bagaimanapun, SYABAS terus menjalankan pemantauan di semua kawasan gangguan, yang mana menunjukkan bekalan air mula diterima seperti biasa dan dijangka pulih sepenuhnya selepas itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Catatan bacaan di empat daripada tujuh empangan di Selangor hari ini di bawah paras 70 peratus seperti yang dikeluarkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di www.luas.gov.my menunjukkan pengurangan, berbanding 18 Mac lalu.

Hasil kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), pembenihan awan berjaya dilakukan, yang mana kadar hujan direkodkan adalah di antara 3 milimeter (mm) hingga ke 22.5 mm, pada 15 dan 16 Mac lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.