Categories
NASIONAL

Tun M, Umno terpaksa telan cabaran ‘parti nyamuk’ kepada Wan Azizah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 19 MAC: Pemimpin Umno khasnya Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa menelan cabaran yang dilontarkan mereka terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya menubuhkan parti politik bagi meneruskan agenda perjuangan beliau.

Cabaran yang dibuat pada 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis itu dilontarkan Barisan Nasional (BN) dengan beranggapan obor perjuangan Dr Wan Azizah dalam gerakan reformasi mudah dimatikan jika beliau menyertai pertarungan di gelangggang politik seperti nasib menimpa parti serpihan Umno, Parti Semangat 46 sebelumnya.

Bagaimanapun, Umno bukan sahaja gagal mematahkan semangat beliau tetapi perjuangan reformasi itu bergabung dengan PAS dan DAP yang terus mendapat sokongan padu rakyat hingga parti yang awalnya disindir dengan panggilan ‘parti nyamuk’ itu berjaya menafikan kemenangan dua pertiga BN dalam dua pilihan raya umum terakhir, selepas 15 tahun cabaran itu dilontarkan.

Azizah123Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata pada awalnya beliau menubuhkan sebuah NGO yang dinamakan Adil sebelum dicabar berkali-kali supaya bertarung dalam gelanggang politik.

“Pada awalnya NGO Adil itu tidak mendapat permit dan memang kita dicabar untuk menubuhkan parti politik. Ketika kita dipanggil ‘parti nyamuk’, memang sukar tetapi Alhamdullilah penerimaan rakyat amat membanggakan.

“Kita akan memberikan satu sistem demokrasi, sistem dua parti dengan saingan, semak dan imbang itu wujud. Ini lebih baik dan berkesan demi rakyat,” katanya kepada Selangor Kini selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Sungai Kantan, di sini, semalam.

PAKATAN RAKYATPada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, Parti Keadilan Nasional (kini PKR) bersama PAS, DAP dan PSRM yang bergabung dalam Barisan Alternatif, berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu serta merapatkan jurang kerusi pembangkang-BN dalam Dewan Rakyat.

Pada PRU 2008, gagasan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR,PAS dan DAP turut berjaya merampas Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan mengekalkan Kelantan serta menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Pada PRU 2013 pula, gabungan itu semakin mendapat kepercayaan di kalangan rakyat apabila bukan sahaja masih menafikan majoriti dua pertiga BN, bahkan turut berjaya memperoleh undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN, 47 peratus.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.