Oleh : AFIX REDZUAN
KAJANG, 19 MAC: Proses pembuangan undi awal, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berlangsung lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Pusat mengundi mula dibuka sekitar jam 8.00 pagi dengan 691 orang pengundi berdaftar yang terdiri daripada anggota polis menjalankan tanggungjawab membuang undi.
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat pusat pembuangan undi sekitar jam 9.15 pagi sementara calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun tiba lebih awal, sekitar jam 8.30 pagi.
Secara keseluruhan seramai 1,197 orang pengundi akan membuang undi pada hari ini.
Pengundian awal bagi PRK itu turut berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras dan Dewan Anjung Forensik PDRM.
PRK DUN Kajang bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Rakyat dan BN yang berlangsung, pada 23 Mac ini.
Berita lanjut bakal menyusul
-NFN-