Categories
NASIONAL

4 April 2014: PKR 15 tahun, terus semarak perjuangan reformasi

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 4 APRIL : Hari ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut ulang tahunnya yang ke 15 selepas mula-mula ditubuhkan pada 4 April 1999 atas nama Parti Keadilan Nasional (PKN).

Dengan slogan ‘Reformasi’, pada tahun itu juga, PKR yang ketika itu dikenali sebagai PKN berjaya memenangi lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

PKR 15Selain kerusi Parlimen, PKR juga berjaya memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak.

“Salam Reformasi! 15 tahun kita bersama, pahit getir perjuangan KEADILAN, semoga perjuangan, persahabatan ini mendapat keberkatan dan rahmat Ilahi.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendokong perjuangan Reformasi,” ucap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melalui Twitter.

“Selamat Ulang Tahun Ke-15 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)! Dibina atas asas reformasi, kini berkembang menjadi parti masa depan,” ucap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sekalipun dikira berjaya melewati usia 15 tahun, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan setiap ahli PKR untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan usaha musuh menjatuhkan PKR.

“Sabitan bersalah ke atas Anwar Ibrahim baru-baru ini telah menunjukkan bahawa kerajaan “transformasi” ini masih lagi menyalahgunakan sistem perundangan untuk tujuan politik mereka.

“Tambahan pula, penyalahgunaan isu kaum dan agama dalam berhadapan pihak pembangkang negara ini tidak terhenti malah telah bertambah,” kata Nik Nazmi dalam kenyataannya hari ini.

Selepas dibentuk, Parti Keadilan Nasional kemudiannya membentuk Barisan Alternatif dengan PRM, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur namun Pendaftar Penubuhan (RO) enggan meluluskan pendaftaran parti.

Maka pada Pilihanraya Umum 2004, calon-calon PRM bertanding di atas platform Keadilan dan calon tunggal yang menang ialah Wan Azizah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Selepas pilihan raya itu, akhirnya PKR diluluskan penubuhannya.

PKR mendapat suntikan baru selepas pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas enam tahun di dalam tahanan dan penjara pada 2 September 2004.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.