Categories
NASIONAL

40 NGO desak pertuduhan terhadap Mejar Zaidi digugurkan

SHAH ALAM 7 APRIL: 40 Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan semua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.

Dalam satu kenyataan bersama, 40 NGO itu berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang digunakan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

“Persoalannya, kenapa tindakan diambil terhadap Mejar Zaidi bilamana beliau bercakap demi kepentingan awam?,” kata kenyataan itu.

MejarZaidiKenyataan itu menyatakan Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13.

Katanya, tiga daripada tujuh pertuduhan yang dikenakan adalah kerana beliau membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan yang “berbau politik”.

“Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau berkemungkinan akan kehilangan hak pencen dan faedah-faedah lain.

“Ini merupakan ketidak-adilan yang tidak boleh diterima bila kita bercakap soal demokrasi. Mejar Zaidi sebenarnya seorang wira,” katanya.

Kenyataan itu juga menyatakan, jika kesemua rakya seperti Mejar Zaidi, yakni berani menyuarakan yang hak, benar dan adil, pastinya sistem pentadbiran negara kurang kepincangannya.

Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan umum.

Namun, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap SPR yang secara jelas berpihak, dan kegagalan mereka dalam pengendalian dakwat kekal.

Sebaliknya, seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah.

“Kami mengajak semua orang awam yang prihatin mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil, untuk memberikan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan beliau pada 8 hingga 10 April 2014, Mahkamah Tentera Pengkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kami juga menuntut Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.