Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Pelancaran tabung “Semarak Rahmat Untuk Semua”

Oleh: AFEEQA AFEERA

KAJANG, 1 APRIL : Bagi membiayai aktiviti kebajikan yang memerlukan kelulusan segera seperti musibah dan bencana alam, sebuah tabung dikenali sebagai ‘Semarak Rahmat Untuk Semua’ dilancarkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bangi, baru-baru ini.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Selangor itu menetapkan sasaran awal sebanyak RM100,000 dengan memfokuskan kepada hasrat menzahirkan masyarakat prihatin dan penyayang.

Ia adalah berdasarkan kepada sumbangan orang ramai untuk tampil menghulurkan sumbangan ikhlas bagi membantu pihak DUN mengeluarkan peruntukan sekiranya berlaku sebarang musibah.

Semasa hari pelancaran di Dewan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Fasa 6 di Bukit Mewah, di sini pada Ahad, sebanyak RM23,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan ikhlas penderma.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata Selangor yang terkenal sebagai ‘negeri berkebajikan’ menyediakan pelbagai insentif bagi membantu rakyat di negeri ini.

Katanya bantuan dari orang ramai untuk turut serta menyertai program kebajikan seperti ini diyakini mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memperkukuhkan konsep berkebajikan.

“Sentuhan ahli parti dan badan bukan kerajaan (NGO) turut diperlukan bagi memastikan segala usaha kebajikan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming; Adun Bangi, Shafie Ngah dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Selangor, Mariam Abdul Rashid.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.