Oleh: AFIX REDZUAN
PETALING JAYA, 29 APRIL: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar mengarahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti 2014 (JPP) supaya tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk penipuan yang berlaku dalam pemilihan kali ini.
Mengulas berkenaan dakwaan penipuan yang berlaku di Batang Sadong, Anwar secara sinis menjelaskan, JPP bukan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyembunyikan penipuan dalam proses pemilihan.
Tegasnya, JPP perlu menyiasat segera perkara berkenaan sama ada membatalkan mahupun membuat penagguhan jika terdapat elemen penipuan yang berlaku.
“JPP sudah memberikan penjelasan kepada saya. Arahan kita, sebaik ada elemen kecuaian atau penipuan siasat segera, batal atau tangguh.
“Jangan tolak ansur sama sekali. Ini pendirian kita. Tidak kira siapa calon menang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Jelasnya, JPP tidak terikat dengan pimpinan dan beliau sendiri memberikan kepercayaan penuh kepada JPP.
Difahamkan, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul dan Malek Hussin berada di Sarawak bagi menyiasat dakwaan penipuan yang berlaku.
Selain Batang Sadong, pemilihan di kawasan Dungun, Kemaman dan Setiu turut ditangguhkan kerana mengalami masalah.
-NFN-