Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan pengecualian catuan air ke perumahan bertingkat ekoran kawasan terbabit sering terputus bekalan akibat catuan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perkara terbabit akan dikemukakan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Air, Datuk Khusrin Munawi.
Katanya, setakat ini hanya beberapa kawasan yang dikecualikan termasuk bangunan kerajaan, hospital kerajaan dan perindustrian.
“Bagaimanapun, kita akan bincang sama ada perumahan bertingkat perlu dikecualikan kerana jika pengaliran air dibuat secara fizikal, ia memerlukan pertambahan pekerja.
“Saya akan mengemukakan kepada Khusrin supaya kawasan itu diberi keutamaan,” katanya ketika sesi penggulungan rang undang-undang pembekalan tambahan di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.
Cadangan itu di kemukakan Haniza Talha (PKR- Taman Medan) dan R Rajiv (DAP- Bukit Gasing).
Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, catuan air tidak akan diteruskan dalam jangka masa panjang kerana Kerajaan Negeri bercadang untuk membuka kolam simpanan dalam menghadapi peringkat kritikal termasuk rancangan menggunakan air bawah tanah.
“Buat masa ini, langkah catuan adalah lebih baik sebab kita mengharapkan kadar hujan yang turun masih banyak. Setakat ini, kita merancang untuk membuka 37 kolam simpanan dan 10 kawasan air bawah tanah yang boleh digunakan.
“Rancangan itu masih dalam kajian jawatankuasa terbabit,” katanya.
Abdul Khalid berkata, ketika ini empangan Sungai Selangor mencatatkan 60 peratus kegunaan penduduk Lembah Klang yang menyebabkan ia adalah paling penting, namun paras empangan baru mencecah 40 peratus.
“Jika empangan terbabit mencecah 50 peratus, catuan air akan dihentikan. Kita tidak perlu menunggu ke paras 55 peratus kerana ketika ini musim hujan,” katanya.
-NFN-