Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM 4 APRIL: Penyelaras badan bukan kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin akan terus memberikan sumbangan tenaga dan pemikiran beliau dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara langsung mahupun tidak langsung.
Badrul Hisham yang pernah memegang pelbagai jawatan peringkat pusat PKR juga berkata beliau juga sudah pun meletakkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Rembau sejak sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.
“Walaupun saya tidak bertanding namun saya telah memikirkan untuk beberapa peranan dalam pemilihan kali ini seperti mengumpulkan suara dan permintaan anggota bawah dan membuat tuntutan bagi penambah baikan parti ini.
“Kita mahu lihat siapa pimpinan yang mampu ‘endorse’ tuntutan yang ditimbulkan nanti. Bagi saya peranan yang harus dimainkan dalam pemilihan kali ini ialah pendidikan politik dan kecelikan hak kepada anggota parti lebih penting,” kata Badrul Hisham dalam satu kenyataan media beliau hari ini.
Badrul Hisham juga yakin kecelaruan yang berlaku dalam Pemilihan PKR 2010 lalu tidak akan berulang apabila beberapa langkah penambahbaikan sistem pemilihan parti sudah pun dilaksanakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
“Dari aspek pengurusan demokrasi ketika pemilihan dimana ia menjadi beban utama saya dalam pemilihan lepas, saya rasakan ia sudah sedikit sebanyak diatasi dengan sistem baru.
“Saya amat yakin dengan penambah baikan yang dibuat oleh Datuk Hj Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agong dalam menangani semua perkara berbangkit sejak pemilihan lepas,” kata Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard itu lagi.
Katanya lagi, PKR juga wajar tidak lagi bercakap soal kuota berdasarkan kaum, negeri dan tempat atau seumpamanya kerana setiap pemimpin haruslah mampu membela semua kaum dan lapisan masyarakat, bukannya golongan tertentu yang diwakilinya sahaja.
“Kepada semua yang bertanding, selamat bertanding. Tampilah dengan idea, pemikiran dan persembahkanlah rekod perkhidmatan anda semua sebelum ini.
Jangan layari pemilihan ini sebagai medan politik sempit. Rakyat sedang melihat dengan harapan PKR selaku parti masa depan Malaysia,” kata beliau lagi.
EZY