Categories
SELANGOR

Tiada pemusatan kuasa, MB amal prinsip bertukar pandangan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APRIL: Exco Kerajaan Selangor menganggap dakwaan pemusatan kuasa oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibarhim adalah tidak tepat kerana pimpinan negeri mempunyai pelbagai tugas selain menumpukan kepada potfolio masing-masing seperti yang diamanahkan.

Exco Kebajikan dan Wanita, Rodziah Ismail, berkata tidak melihat perkara itu berlaku dan Abdul Khalid sendiri banyak memberikan bimbingan serta tunjuk ajar kepada mereka sepanjang dua penggal bekerja bersama beliau.

Beliau yang juga antara ‘Exco Senior’ dalam Kerajaan Negeri berkata, mereka selalunya mengemukakan pendapat balas bersama Abdul Khalid dan mengamalkan prinsip bertukar pandangan sebelum membuat keputusan.

IMG_5537“Pengalaman dua penggal kerja dengan beliau, banyak perkara Tan Sri (Abdul Khalid) bimbing bila lihat kita (Exco) kurang berkeyakinan untuk melaksanakannya. Dalam konteks saya sebagai Exco, tidak nampak benda itu berlaku.

“Pemusatan kuasa itu bukan Tan Sri buat keputusan seorang tetapi kami dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sendiri turut berbincang,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, pandangan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skinchan, Ng Suee Lim lebih menjurus kepada pandangan peribadi dan Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara itu.

“Mungkin itu pandangan dia di luar yang tidak bersama dengan kami. Pandngan Menteri Besar kita ambil kira, tetapi bukan sampai semua kita turutkan kerana saling bertukar fikiran juga pandangan.

“Komunikasi dua hala sangat penting. Sebagai contoh dalam sesi dewan, kita ambil pandangan semua ADUN, melihat serta mencari perkara positif untuk kita perbaiki kepimpinan negeri,” katanya.

Bagi Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Kim, sejak dahulu lagi Menteri Besar memegang Jawatankuasa Tetap Kewangan dan Tanah, bahkan perkara itu perlu dilihat secara holistik.

Beliau berkata, tugasan harian bukan diuruskan sepenuhnya oleh Menteri Besar sebaliknya turut dipertanggungjawabkan kepada Pegawai Kewangan Negeri.

04Beliau yang juga ADUN Sungai Pinang berkata, di peringkat Persekutuan sendiri Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan turut melantik Timbalan Menteri Kewangan bagi menjalankan tugas harian.

“Tugas harian dipertanggungjawabkan kepada Pegawai Kewangan. Sementara itu urusan tanah dikendalikan Ketua Setiausaha Negeri dan dibantu oleh Pengarah tanah dan galian.

“Jika ada keputusan dasar maka ia dirujuk kepada Menteri Besar. Ini sama diperingkat persekutuan, yang mana Perdana Menteri juga lantik Menteri Kewangan II untuk menguruskan tugasan harian dan keputusan dasar juga dibuat beliau (Perdana Menteri),” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.