SHAH ALAM, 9 APRIL: Mahasiswa mendesak Kerajaan Pusat segera menyediakan pelan tindakan bagi memastikan harga getah tidak mengalami kejatuhan yang teruk.
Sekumpulan mahasiswa diketuai Pengerusi Gerakan Mahasiswa SEDAR, Khairol Najib Hashim berhimpun di hadapan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Pusat supaya menyelesaikan isu getah secepat mungkin.
Mereka juga menuntut supaya harga lantai ditetapkan pada kadar RM4 sekilogram dan bertepatan dengan kos sara hidup rakyat Malaysia.
Khairol berkata, beliau kecewa kerana dengan ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang tidak keluar untuk menerima memorandum daripada mahasiswa.
Walaubagaimanapun, mereka sempat menyerahkan memorandum kepada beberapa Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hatta Ramli, Nik Abduh, Khairuddin At-Thakiri, Dato’ Mahfuz Omar dan Nasaruddin Hassan sebagai usaha supaya isu itu tetap dipandang serius untuk dibincangkan di Parlimen.
“Kami daripada Gerakan Mahasiswa SEDAR akan tetap meneruskan usaha bagi menyelesaikan isu ini. Langkah seterusnya,kami akan ke pejabat Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani.” katanya.
Penyerahan memorandum itu turut dihadiri wakil front mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS),Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN) dan Sisters In Movement (SIM).
-NFN-