Categories
SELANGOR

FOKUS tingkat kemahiran Badan Pengurusan Bangunan

Oleh: Norhayati Umor

SUNGAI PELEK 26 APRIL : Bagi meningkat kemahiran dan bimbingan lebih berkesan kepada Badan Pengurusan Bangunan (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) julung kali di negeri ini mengadakan Kursus Format Kurikulum Bersepadu Pengurusan Strata (FOKUS) Perdana.

FOKUS yang bermula 25 hingga 27 April itu bertujuan untuk membimbing JMB mengurus dan menyelenggara bangunan dengan baik dan berkesan secara terlatih oleh tenaga pengajar yang dilantikoleh Pesuruhjaya Bangunan MPAJ.

MBMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan yang dibaca oleh Adun Tanjung Sepat, Haslin Hassan berkata FOKUS diwujudkan selaras dengan kepadatan penduduk dan perumahan bertingkat yang semakin meningkat setiap tahun di negeri itu.

Katanya, dengan adanya FOKUS, Kerajaan Negeri percaya kepimpinan yang baik mampu melahirkan budaya sihat dan ceria.

“Tahun lalu, terdapat peningkatan 43 peratus keperluan tempat tinggal khususnya bangunan bertingkat daripada 2005.

“Disebabkan pertambahan itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dari Singapura mewujudkan skim ceria iaitu membantu membaiki dan menyelenggara perumahan bertingkat di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata dengan inisiatif FOKUS itu, pihak JMB atau MC dapat menjalankan tugas dengan lebih sistematik dan profesional.

“Kita tahu sebelum ini, pihak ini menghadapi beberapa kelemahan antaranya masalah vandalisme, mesyuarat agung, audit akaun dan sebagainya.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menstruktur semula organisasi dan kaedah pemantauan supaya mereka patuh kepada peraturan yang sedia ada,” katanya.

FOKUS yang julung kali diadakan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sungai Pelek itu disertai oleh 30 ahli jawatankuasa yang mewakili 20 JMB.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah negeri Selangor.

Ia dikendalikan oleh 12 pihak pesuruhjaya bangunan MPAJ yang merangkumi topik pengurusan mesyuarat agung, akaun, insuran, lif, kaedah perlantikan kontraktor, asas penyelenggaraan, psikologi dan kepimpinan serta konsep asas pengurusan bangunan strata.

Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata setiap PBT akan menganjurkan kursus dan latihan sekurang-kurangnya dua kali setahun di kawasan masing-masing.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.