Categories
SELANGOR

Kementerian terus membisu, halang hasrat Selangor jalin kerjasama sukan

OLEH: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus membisu tanpa sebarang maklum balas terhadap usaha Kerajaan Selangor untuk menjalinkan kerjasama dan membincangkan hala tuju pembangunan sukan di negeri itu.

Exco Belia dan Sukan negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pihaknya masih berharap waalupun sudah menunggu hampir setahun untuk tujuan berkenaan.

“Kita memegang kepada petikan ucapan Khairy Jamaluddin ketika beliau mula dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan. Beliau menzahirkan hasrat untuk bersikap adil dan memberi kerjasama baik tanpa mengira latar belakang politik.

Yunus Hairi“Justeru, saya selaku Exco Belia dan Sukan mewakili Kerajaan Negeri menghantar surat bagi mengadakan pertemuan dengan KBS untuk membincangkan bentuk kerjasama dan beberapa agenda pembangunan sukan di Selangor dan peringkat nasional.

“Malangnya, sehingga kini masih belum ada maklum balas berhubung surat terbabit,” katanya kepada Selangor Kini di Dewan Annex, di sini. baru-baru ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri pada Jun 2013 mengutuskan surat kepada KBS bagi mengadakan pertemuan bagi membincangkan kerjasama dan hala tuju pembangunan sukan di Selangor.

Tindakan itu diambil dengan harapan peruntukan daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri tidak lagi dianaktirikan seperti yang dialami Selangor penggal lalu.

KHAIRY“Jika kita mahu lihat belia dan sukan negara ini membangun hebat dan terus memberi impak positif kepada negara, saya berharap Khairi tidak berpaling daripada katanya sebelum ini.

“Saya cukup khuatir, sehingga ke saat ini masih tiada respon daripada KBS dan Khairi untuk bekerjasama dengan Selangor. Hal itu seperti memperlihatkan politik menjadi tembok cukup besar yang menjadi penghalang antara Selangor dan KBS dalam pembangunan belia dan sukan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.