Categories
SELANGOR

Kepakaran KSSB bantu tingkat kapasiti air

Oleh: Naeem Raffi

KUALA SELANGOR 5 APRIL: Kepakaran Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengepam air di kawasan perlombongan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi membantu meningkatkan kapasiti air di muka sauk Sungai Selangor yang terjejas teruk akibat kemarau sejak Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Datuk Dr Azimuddin Bahari, berkata sekurang-kurangnya 100 million liter sehari (MLD) berjaya disalurkan ke Sungai Selangor menerusi aktiviti mengepam air di bekas lombong pasir di Sungai Darah di sini.

4“Dengan kepakaran yang KSSB miliki, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) memberi kepercayaan kepada kami untuk memastikan air di bekas lombong itu disalurkan masuk ke Sungai Selangor.

“Ia bagi menampung keperluan air di LRA Sungai Selangor yang semakin berkurangan,” jelasnya kepada Selangor Kini ketika melawat aktiviti mengepam air di Bekas Lombong Pasir Sungai Darah di sini baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya bekas lombong Sungai Darah mempunyai enam kolam diatas sebidang tanah seluas 300 ekar.

Ia merupakan bekas lombong bijih timah dan juga pasir satu ketika dahulu.

3Berdasarkan kajian, KSSB mendapati kesemua kolam tersebut berpotensi besar membantu menbekalkan air ke Sungai Selangor sekaligus membantu meningkatkan paras air di LRA Sungai Selangor.

“Kita mulakan dengan kolam nombor lima kerana ia terletak bersebelahan dengan Sungai Selangor. Jadi, kita pam air masuk terus ke Sungai sebanyak 50 MLD.

“Setelah kolam nombor lima ini surut dua meter, kita buka kolam-kolam lain. Bagi menjimatkan kos operasi, kita hubungkan kesemua kolam yang ada dengan mengorek laluan air.

“Kita salurkan air dari kolam ke kolam yang lain menggunakan aliran graviti untuk ke kolam nombor lima sebelum di pam masuk ke sungai,” katanya.

Azimuddin memberi jaminan bahawa bekalan air dari kolam tersebut berpanjangan dan sukar untuk susut ekoran terdapat sumber air bawah tanah di kolam nombor satu.

“Menarikanya, kolam nombor satu ini adalah kolam yang paling dalam, ia sedalam 60 hingga 80 kaki. Dengan kedalaman itu, ia memberi sumber air bawah tanah seperti tasik di bawah tanah.

“Setakat ini kita menggunakan dua pam di (kolam lima dan enam) dan hasil sambungan semua kolam ini, KSSB berjaya membekalkan 100 MLD ke Sungai Selangor setiap hari.

Selangor Kini difahamkan, sejak beroperasi KSSB membelanjakan RM500 ribu yang mana kos bahan api diesel bagi menghidupkan pam selama 10 jam setiap hari menelan belanja sekitar RM4,000.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.