Categories
SELANGOR

Kerajaan perlu semak semula waran peruntukan kepada JKR

Oleh; NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Persekutuan digesa menyemak semula kaedah pemberian waran peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melicinkan lagi pembangunan sesuatu projek.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Yunus Hairi, berkata kelemahan sedia ada itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran dalam kesinambungan kerja pembinaan, tetapi memberi kesan negatif kepada aliran tunai syarikat kontraktor.

“Kelemahan pembayaran sehingga merencatkan pembangunan dan aliran tunai kepada kontraktor adalah tidak munasabah jika wujud dalam projek rundingan terus kerana segala perincian termasuk kos pembinaan diketahui pada peringkat awal.

Yunus Hairi“Begitu juga buat projek yang ditenderkan secara terbuka, sudah tentu harga yang terbaik dipilih dan kerajaan bersedia dengan harga itu. Jadi, adalah tidak wajar jika kelemahan sama turut berlaku,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Perkarangan Dewan Annex di Bangunan SUK, di sini, semalam.

Yunus berkata, mengambil contoh projek pembinaan Politeknik Banting, antara punca pembinaannya terpaksa dilanjutkan turut membabitkan prestasi pembayaran yang lemah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada JKR Selangor.

Perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 dalam pengauditan yang dijalankan badan itu antara Jun hingga Ogos 2013.

Laporan itu berpendapat kelewatan atau kekurangan dalam bayaran daripada amaun yang disyorkan berdasarkan penilaian kerja di tapak boleh memberi kesan negatif kepada aliran tunai syarikat kontraktor, sekali gus menjejaskan kesinambungan kerja pembinaan.

JKR Selangor dalam maklum balasnya pada 13 Februari lalu kepada Laporan Ketua Audit Negara menjelaskan kelemahan itu berlaku ekoran sistem waran peruntukan yang diterima secara berperingkat (Januari, April, Julai dan Oktober) merumitkan proses pembayaran kepada kontraktor.

lampu jalan jkrHal itu terjadi jika baki peruntukan di JKR kurang daripada nilai kerja di tapak pada masa bayaran perlu dibuat.

“Duit perlu disediakan dahulu baru sesuatu projek itu digerakkan. Jika kewangan tidak kukuh, sesuatu projek itu terpaksa dilewatkan dan sudah tentu pertambahan kos akan berlaku.

“Akhirnya, bukan sahaja merugikan duit rakyat tetapi ekonomi yang terkait selepas itu juga akan membebankan rakyat.Sudah tiba masanya Kerajaan Pusat mengkaji semula perkara ini dalam memastikan rakyat tidak lagi menjadi mangsa,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.