Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat patut ambil alih pengurusan tol bukan terus beri pampasan

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 2 APRIL: Kerajaan Pusat patut mempunyai mekanisme melindungi kepentingan rakyat dalam pengurusan konsesi tol bukannya terus memberi pampasan kepada syarikat konsesi.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, Kerajaan Pusat perlu mengambil alih saham minoriti sebanyak 24 peratus bagi mengurangkan kos mengambil alih konsesi tol kerana mereka mempunyai pegangan terbesar di dalam PLUS.

plaza tol“Kerajaan mempunyai saham terbesar melalui Khazanah sebanyak 76 peratus dan kalau dia bayar balik saham minoriti yang lebih kurang 24 peratus sudah tentu kerajaan boleh mengurangkan kos ambil alih konsesi tol itu,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Kata Hanipa, kini Kerajaan Pusat tetap membayar kepada syarikat konsesi tol walaupun harga tol tidak dinaikkan.

Sebagai contoh katanya, syarikat konsesi untuk lebuh raya LDP dan Litrak mengaut keuntungan besar dengan mendapat pampasan RM89 juta kerana tidak ada kenaikan harga tol.

“Tidak naikkan harga tol pun syarikat konsesi tetap akan untung bermakna mereka dalam keadaan sentiasa untung,” katanya turut diakui Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Jelas Hanipa, Kerajaan Pusat boleh menggunakan kuasa untuk mengambil semula tol kerana ia tidak praktikal dan tidak menguntungkan apabila kerajaan menangguhkan kenaikan tol tetapi dalam keadaan sentiasa rugi.

“Kita kesal dengan cara kerajaan yang menangguhkan tol dengan perjanjian tambahan dan naikkan masa perjanjian yang dilihat tidak menyelesaikan masalah sebab wang rakyat masih digunakan,”tambahnya.

Terdahulu Hanipa dalam pertanyaan lisan semalam mempersoalkan kerajaan yang tidak mahu mengambil alih pentadbiran lebuh raya bagi mengelakkan kerajaan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi akibat tidak menaikkan kadar tol seperti terma perjanjian.

Namun, Menteri Kerja Raya dalam jawapan bertulisnya mengatakan cadangan Hanipa itu akan memberi implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan iaitu melebihi RM400 bilion.

Bahkan pengambil alihan itu akan dianggap sebagai nasionalisasi yang memberi kesan negatif kepada pasaran modal dan imej kerajaan di kalangan pelabur asing.

Jumlah pampasan tol yang telah dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi sehingga tahun berakhir 2012 sbanyak RM2.8 bilion.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.